SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

11 Jan 2011

Umno Kedah: Badrul pula bidas Syed Sobri

ALOR SETAR, 9 Jan: Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrol Hisham Hashim meminta Naib Ketua Umno bahagian Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim supaya tidak campurtangan dalam isu membabitkan Pemuda Umno Kedah atau Pemuda Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya.

Kenyataan terbaru Badrul itu merupakan reaksi keras beliau ekoran kritikan terbuka yang dilemparkan oleh Syed Sobri beberapa hari lalu berhubung tindakannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Sepatutnya beliau (Syed Sobri) memberi tumpuan terhadap perkhidmatannya sebagai wakil rakyat bagi kawasan yang diwakilinya, bukannya berlagak seperti wakil rakyat pembangkang (Pakatan Rakyat)," tegas Badrul.

Sebelum ini tindakan Badrol yang mengadakan protes terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di hadapan pejabat SPRM Kedah disifatkan oleh Syed Sobri tidak kena pada tempatnya, kerana ia sepatutnya diadakan di Wisma Darul Aman.

Syed Sobri juga mempertikaikan tindakan Badrul kerana laporan yang dibuat terhadap GLC kerajaan negeri Kedah itu hanya bersandarkan penulisan blog semata-mata tanpa penyelidikan yang lebih terperinci.

Malah dalam kritikan pedasnya, Syed Sobri berkata tindakan tergesa-gesa Badrul itu "boleh membahayakan parti sendiri."

Dalam pada itu, perkembangan melibatkan hubungan dua tokoh pemuda Umno Kedah yang dilihat sebagai gambaran kepada kemelut Umno negeri itu, turut disifatkan para pemerhati akan menyeret Umno ke dalam masalah lebih besar melibatkan ketidakserasian pimpinan Umno Kedah.

Konflik kepimpinan yang berlaku dalam Umno Kedah bukan satu perkara baru. Sebelum ini masalah kepimpinan tercetus dalam Umno bahagian Sungai Petani yang dipimpin oleh Ketuanya Ali Yahaya selain dalam Umno Padang Terap sendiri.

Dalam perkembangan lain, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib melantik Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah sebagai Pengerusi baru Perhubungan Umno Kedah menggantikan Datuk Shafie Afdal juga disifatkan sebagai usaha untuk cuba mengendurkan ketegangan dalaman Umno yang berlaku.

- Harakah Daily

Memo isu pelantikan Pengerusi MPN Perak

Memo isu pelantikan Pengerusi MPN Perak

"Hai orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu..."

"Katakanlah: "lnilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata"



TARIKH: 6 JANUARI 2011

Yang Berbahagia
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya

MEMORANDUM
PERLANTIKAN PENGERUSI MAJLIS PIMPINAN NEGERI PERAK

PREMIS

1. "Hai orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu..."

2. "Katakanlah: "lnilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutikau mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata "

3. Makna kepada kehidupan manusia adalah mereka yang benar-benar hidup menghayati peraturan, undang-undang dan nilai-nilai hidup yang luhur yang ditetapkan Allah. Tanpa berperaturan manusia akan terus meraba-raba dalam kegelapan/kesamaran untuk mencari kebenaran yang hakiki.

4. Kejayaan Rasulullah s.a.w adalah ketika mana Baginda Menjadikan Islam Sebagai Peraturan Yang Sempurna Yang Mentadbir Hidup Manusia – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dan menentukan nilai-nilai manusia dan benda. Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas syariat itu suatu sistem atau peraturan.

5. Sebagai sebuah parti politik yang berjuang membentuk sebuah masyarakat yang adil dan negara yang demokratik dan progresif sudah pasti menghayati suatu sistem atau peraturan sebagai asas perjuangan. Sistem atau peraturan dalam parti berasaskan kepada perlembagaan parti yang dipersetujui bersama dalam Kongres Khas menerima perlembagaan baru dengan semangat muafakat pimpinan dan anggota parti

6. Para pimpinan dan anggota parti dituntut untuk mewujudkan budaya dan prinsip demokrasi yang didasarkan pada konsep (rule of law), antara lain menyatakan “ Tidak adanya kekuasaan yang sewenang-wenang “.

7. Dalam konteks pemilihan pengerusi MPN, fasal 16.6 dalam perlembagaan parti diguna pakai sebagai asas mewujudkan budaya Rule of Law dengan semangat berperaturan. Justeru kehadiran Dr Mansor Osman Naib Presiden , diarah oleh Biro Politik bertemu 24 Ketua-ketua Cabang di Perak pada 16 Disember 2010 adalah bagi melaksanakan fasal 16.6 melalui pendekatan undian. Proses ini berjaya dilakukan dengan baik dan meyakinkan.

8. Hasil daripada proses ini, Dr Mansor Osman mengumumkan bahawa 2 orang calon untuk Pengerusi MPN dicapai seperti berikut :-

* Sdr Mustaffa Kamil Ayub mendapat undian 13 undi
* Dr Muhammad Nur Manuty mendapat undian 10 undi
* Sementara seorang Ketua Cabang berkecuali

9. Adalah menjadi tandatanya kenapa kehadiran Puan Fuziah Salleh, Naib Presiden pada 23 Disember 2010 yang diarah oleh Ketua Umum dan Presiden untuk bertemu 5 orang pimpinan kanan cabang dengan misi mendapat konsensus bagi perlantikan Pengerusi MPN. Ini bertentangan dengan fasal 16.6 yang termaktub dalam perlembagaan. Bukan itu sahaja, situasi dan kondisi ini menimbulkan keraguan dan konflik pada pimpinan cabang dalam konteks mewujudkan budaya Rule of Law dalam parti.

10. Dalam saat parti yang sedang tercemar imejnya, berikutan manipulasi dalam pemilihan MPP, hubungan sesama ahli-ahli yang masih belum dipulihkan, tiada indikator yang serius untuk menyelesaikan bantahan yang dikemukakan oleh cabang-cabang yang terlibat. Kini timbul satu lagi keadaan yang memualkan khususnya di Perak yang mengundang bencana kepada parti dalam menghadapi PRU13 yang sangat hampir.

11. Sesungguhnya kami :-

1. Md Nasib Rahin, Ketua Cabang Bagan Serai,

2. Mohd Yunus Hashim, Ketua Cabang Lenggong,

3. Tun Ali Tun Hamzah, Ketua Cabang Kuala Kangsar,

4. Mohamad Aun Yob Abas, Ketua Cabang Sungai Siput,

5. Zulkifly Ibrahim, Ketua Cabang Tambun,

6. M.A. Tinagaran , Ketua Cabang Ipoh Barat,

7. Kapt ( B ) Usaili Alias, Ketua Cabang Parit,

8. Vijayanathan , Ketua Cabang Beruas,

9. MP Shanmugam, Ketua Cabang Lumut,

10. Ridzuan Bani, Ketua Cabang Tapah,

11. Mohamad Hashim, Ketua Cabang Teluk Intan,

12. Mejar (B) Kamal Badri, Ketua Cabang Tanjung Malim,

13. Alias Zenon, Ketua Cabang Padang Rengas, dan

14. Madhi Hj Hasan, Ketua Cabang Bagan Datok

merayu serta meminta Y. Bhg Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat mempertimbangkan butiran berikut:-

a. Menghormati fasal 16.6 dalam perlembagaan parti;

b. Melaksanakan keputusan undian yang dinyatakan dalam perenggan no. 8 dalam Memorandum ini.


12. Bersama-sama Memorandum ini dilampirkan tulisan bertajuk Pendapat Perundangan Mengenai Perlantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak untuk perhatian Dato’ Seri agar keputusan yang tepat dapat diambil.

* PENDAPAT PERUNDANGAN
* MENGENAI PERLANTIKAN
* PENGERUSI MAJLIS PIMPINAN NEGERI PERAK

1. Jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (PMPN) adalah salah satu daripada jawatan lantikan Presiden yang dinyatakan dalam Fasal 16.5 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat.

2. Fasal 16.6 pula adalah fasal baru yang dimasukkan setelah pindaan Perlembagaan Parti pada tahun 2009 yang memberi hak perundingan (consultative right) kepada Ketua-ketua Cabang dalam negeri berkenaan dalam hal perlantikan PMPN.

3. Fasal 16.6 berbunyi:

“Pengerusi Majlis Pimpinan setiap Negeri dan Wilayah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Presiden setelah berunding dengan Ketua-ketua Cabang di Negeri-negeri berkaitan dan Wilayah Persekutuan. Perundingan tersebut perlu dibuat di dalam suatu mesyuarat setelah notis diberi kepada semua Ketua Cabang Dalam Negeri berkaitan dan Wilayah Persekutuan.”

4. Empat elemen penting dalam fasal tersebut adalah:

(i) Kewajipan mengadakan perundingan

(ii) Hak eksklusif ketua-ketua cabang untuk dirundingi

(iii) Keperluan memanggil suatu mesyuarat dengan ketua-ketua cabang

(iv) Notis kepada ketua-ketua cabang

5. Secara ringkas, fasal 16.6 menekankan tentang ‘perundingan dengan ketua-ketua cabang’ walaupun tidak memperincikan bagaimana proses perundingan dan pembuatan keputusan itu dilakukan. Oleh itu, kaedah mengendalikan perundingan itu adalah bergantung kepada budi bicara Presiden.

6. Fasal 16.6 juga memberikan peruntukan khusus tentang siapa yang perlu dirundingi (iaitu ketua-ketua cabang sahaja), keperluan mengadakan satu sidang mesyuarat khas Presiden dengan ketua-ketua cabang dan pemberian notis secukupnya untuk memelihara hak ketua-ketua cabang untuk hadir dan terlibat dalam menjalankan agenda tersebut.

7. Tujuan Perlembagaan Parti memberikan hak perundingan kepada ketua-ketua cabang adalah kerana dalam struktur organisasi KEADILAN, entiti yang berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan adalah parti induk dan cabang-cabang sahaja.

8. MPN tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, maka kewujudannya adalah atas legitimasi yang diperolehi daripada cabang-cabang yang berdaftar. Fungsi asal MPN pada asasnya hanyalah sebagai badan penyelaras bagi cabang-cabang dalam negeri berkenaan.

9. Fasal 16.6 tidak pula menyebut perkataan “konsensus”. Namun, tidak dinafikan dalam apa-apa organisasi pun, tanggungjawab pemimpin atau pengerusi mesyuarat sememangnya adalah seboleh-bolehnya untuk membentuk dan mendapat konsensus.

10. Dalam konteks fasal 16.6, satu-satunya konsensus yang perlu didapatkan oleh Presiden adalah konsensus ketua-ketua cabang dalam satu mesyuarat yang khas dan bernotis.

11. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, kaedah penjalanan proses perundingan dengan ketua-ketua cabang dan pembuatan keputusan adalah terbuka kepada budi bicara dan kebijaksanaan Presiden. Sekiranya mesyuarat itu gagal mendapat suatu keputusan yang disepakati semua ketua cabang, maka Presiden boleh memanggil satu undian dari ketua-ketua cabang.

12. Konvensyen yang diterima dalam amalan ‘representative democracy’ (demokrasi perwakilan) adalah apabila Pengerusi atau Presiden membuat keputusan agar sesuatu keputusan itu diputuskan melalui pengundian maka keputusan pengundian oleh perwakilan-perwakilan itu mestilah dihormati. Dalam konteks MPN, ketua cabang mempunyai peranan perwakilan sebagai ahli Parlimen atau ADUN iaitu mereka telah dipilih oleh majoriti ahli-ahli dalam konstituensi iaitu cabang masing-masing. Oleh itu, melalui konsep “majority shall rule” maka suara majoriti dalam undian perwakilan-perwakilan mestilah diterima.

13. Sebarang penyimpangan dari konsep ini amatlah tidak wajar. Pemahaman mengenainya telah terbentuk sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila guru kelas membuka undian untuk memilih ketua kelas. Apabila undian dibuka, maka guru kelas telah mengenepikan kuasanya untuk membuat lantikan terus. Guru kelas mesti menghormati keputusan majoriti anak-anak murid, jika tidak maka proses itu adalah satu ‘mockery’.

14. Hak eksklusif ketua-ketua cabang dalam perihal MPN bukan sahaja dinyatakan di dalam fasal 16.6. Dalam fasal 22.6 dan 22.7, dinyatakan bahawa mana-mana ahli MPP, ahli Parlimen dan ADUN yang menghadiri mesyuarat MPN tidak boleh mengundi. Dalam kes pemilihan PMPN, ahli-ahli MPN pada masa tersebut hanyalah ketua-ketua cabang kerana jawatan-jawatan lantikan belum diisi. Oleh itu, hanya ketua-ketua cabang boleh mengundi dalam hal ehwal pemilihan PMPN.

15. Penglibatan atau undian daripada pihak-pihak lain seperti ketua-ketua AMK Cabang, ketua-ketua Wanita cabang, Ahli Parlimen atau ADUN adalah tidak wajar dan tidak sah. Wilayah dan batasan kuasa antara MPN, Majlis Pimpinan AMK Negeri dan Majlis Pimpinan Wanita Negeri adalah jelas. Sebarang masalah yang ingin disampaikan oleh ketua-ketua Wanita atau ketua-ketua AMK cabang boleh dibawa oleh Ketua AMK Negeri dan Ketua Wanita Negeri dalam mesyuarat MPN kelak.

16. Dalam kes rampasan kuasa Negeri Perak tahun 2009, isu yang utama ialah tiadanya usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dalam sidang DUN yang sah. Walaupun isu itu nampaknya bersifat prosedural, tetapi ia membawa kepada satu krisis perlembagaan kerana berlaku penafian kepada peranan institusi DUN dan hak wakil-wakil rakyat di bawah konsep ‘representative democracy’.

17. Dalam kes MPN, institusi cabang dan hak eksklusif ketua cabang dalam undian dan perundingan tidak boleh dinafikan. Ini kerana ketua-ketua cabanglah yang secara automatik akan menganggotai, menyumbang dan bertanggungjawab kepada MPN, bukannya pihak-pihak lain. Sekiranya pertanggungjawaban daripada mereka diperlukan, maka hak mereka sebagai perwakilan mestilah dihormati. Ini berdasarkan kepada kaedah “no taxation without representation”.

18. Perlembagaan Parti tidak menetapkan pemilihan PMPN melalui undi popular secara terus. Pendekatan ini ada hikmahnya kerana MPN itu sendiri pada asasnya adalah badan penyelaras. Dalam tradisi Islam, syura oleh ‘ahlul halli wal aqdi’ ternyata berkesan kerana tidak semua isu-isu dalaman dan sulit boleh dihadam dan dibincangkan oleh semua orang. Mereka yang tidak mempunyai kelayakan untuk ikut serta dalam memutuskan satu perkara yang sulit dengan mudah boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

19. Dalam pengalaman demokrasi moden, parti-parti seperti Parti Konservatif di Britain memberikan hak eksklusif memilih “the Leader of the Conservative Party” kepada kelompok Ahli-ahli Parlimen mereka sahaja. Perkara yang sama juga diamalkan dalam Parti Buruh Britain sehingga tahun 1983. Di negara barat sendiri, pendekatan pemilihan pemimpin utama yang hanya melibatkan kelompok terpilih masih diamalkan dalam kebanyakan parti-parti politik.

KES PENGERUSI MPN PERAK

20. Dalam kes pemilihan MPN Perak, Presiden telah menurunkan kuasanya kepada Naib Presiden untuk memenuhi kehendak Fasal 16.6. Dalam mesyuarat pertama, Naib Presiden Dato’ Mansor Othman telah menjalankan mesyuarat. Kehadiran dalam mesyuarat tersebut boleh dipertikaikan kerana ianya turut dihadiri oleh mereka yang bukan ketua cabang termasuk bekas pegawai parti, bekas ahli MPN lantikan, bekas Ketua Wanita Negeri dan lain-lain. Satu salinan memorandum yang ditandatangani oleh 16 Ketua Cabang yang menyokong Sdr Mustaffa Kamil Ayub telah disampaikan. Di samping itu, ada cadangan juga untuk Dr Mohd Nur Manuty dan Dr Lee Boon Chye dilantik. Naib Presiden akan membawa cadangan-cadangan tersebut kepada Presiden.

21. Presiden memutuskan untuk menyerahkan mandat untuk memutuskan keputusan dengan secara undian. Mesyuarat kedua diatur oleh Dato’ Mansor dengan notis secukupnya kepada ketua-ketua cabang sahaja. Daripada 24 ketua cabang, Sdr Mustaffa Kamil mendapat 13 undi, Dr Mohd Nur 10 undi dan satu undi berkecuali. Dr Lee Boon Chye telah menarik diri sebelum pengundian. Ketua-ketua cabang mengundi dengan keyakinan bahawa mereka telah menjalankan hak demokratik yang mereka miliki dan keputusan melalui suara majoriti adalah penentu yang muktamad.

22. Tanpa diduga, mesyuarat ketiga dipanggil oleh Naib Presiden yang lain iaitu Puan Fuziah Salleh yang melibatkan 5 orang dari setiap cabang untuk membincangkan perkara yang disangkakan sudah muktamad. Tindakan ini adalah bercanggah dengan Fasal 16.6 kerana ia menafikan “consultative and representative rights” yang dimiliki oleh ketua-ketua cabang yang dipilih oleh ahli-ahli. Perkataan “konsensus” telah dijadikan alasan untuk mengikut sertakan pihak-pihak yang bukan ketua cabang dalam proses pemilihan PMPN. Pemulangan semula mandat penuh kepada Presiden sepertimana yang kononnya diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah tidak sah. Hanya ketua-ketua cabang melalui persetujuan majoriti di kalangan mereka boleh memulangkan mandat tersebut dan membatalkan keputusan undian dalam mesyuarat yang lalu.

23. Kesimpulannya, perlantikan mana-mana pihak selain daripada yang diputuskan oleh suara majoriti ketua-ketua cabang adalah bercanggah dengan Perlembagaan Parti, konvensyen yang diamalkan dalam tatacara mesyuarat parti-parti siasah dan prinsip demokrasi yang adil dan bebas. Ini kerana Presiden telah memberi hak mengundi kepada ketua-ketua cabang sebagai kaedah pemutus dalam satu sidang yang sah dan teratur. Oleh itu, keputusan tersebut mestilah dilaksanakan bagi mengelakkan pertikaian dan keraguan terhadap integriti parti dan pimpinannya.

Tarikh: 6 Januari 2011

Sumber: Citra Madani

Catatan:
Memo ini telah diserahkan ke Pejabat Presiden PKR oleh dua orang wakil, Ustaz Zulkefly Ibrahim (Ketua Cabang Tambun) dan Kapt. (B) Usaili Alias (Ketua Cabang Parit) manakala 12 orang Ketua Cabang lain tidak dibenarkan masuk.

8 Jan 2011

Tuduh Mahfuz bakar kelambu, Buluhmadu dijilat api

Minggu lalu media maya dihidangkan dengan sebuah artikel yang membelasah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Kononnya kerana mahu menghalau nyamuk, beliau membakar kelambu.

Artikel ditulis oleh Buluhmadu, Sungai Petani (tidak mesti orang Sungai Petani). Isi penulisan menggambarkan seolah-olah si Buluhmadu seorang aktivis PAS. Secara peribadi saya tidak terfikir penulis adalah ahli yang lahir dari acuan tarbiyah PAS yang sempurna.

Dia mengganyang Mahfuz bagai orang mabuk samsu, lebih menggunakan kreativiti nafsu dari akal. Lebih meletakkan aulawiyat ‘kepuasan serakah’ dari ‘keluhuran hasil’. Maaf, teremosi. Sebab pantang tok nenek saya tengok penulis hentam orang lain guna nama samaran. Tak bertanggungwab dan tak bertelur.

‘Kesalahan’ yang dilakukan oleh Mahfuz sangat besar baginya, iaitu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd. Akibatnya Ahli Parlimen Pokok Sena itu diserang secara peribadi yang hakikatnya tiada kena mengena langsung dengan isu Kedah Sato.

Betul Mahfuz letak jawatan tetapi dia tidak pernah menyusul peletakan jawatan dengan apa-apa kenyataan. Dia tidak memburukkan sesiapa. Dia tidak mengkritik kepimpinan parti di peringkat negeri mahupun kerajaan. Dia tidak bakar apa-apa. Dia tidak bertindak macam Zulkifli Nordin.

Walaupun Mahfuz menyepi tapi 1Malaysia tahu bahawa isunya berhubungkait dengan projek menyiapkan kampus Insaniah. Enam syarikat menghantar tender tetapi ia diberi secara terus kepada IJM.

Di Parlimen, Mahfuz orang yang lantang mengkritik projek pembinaan Istana Negara yang diberi secara anugerah. Sampai menteri tak panggung kepala. Bila tiba-tiba, dibawah syarikat di mana belia adalah pengerusi, pemilihan kontraktor dibuat secara runding terus bukan tender terbuka.

Buluhmadu bercakap soal aulawiyat. Secara aulawiyatnya tentu wajar dia letak jawatan dari dicop cakap tak serupa bikin, tuduhan yang sangat menyakitkan bagi seorang ahli politik.

Adakah Mahfuz tidak setuju pemilihan IJM? Siapa kata…? Orang bahlol saja yang tuduh macam tu. Tender terbuka bukan bermakna memilih yang terendah tetapi memberi peluang semua kontraktor membuat tawaran, lalu syarikat memilih yang terbaik.

Kalau macam tu, sertakan IJM bersama 6 kontraktor yang lain. Lembaga pengarah bermesyuarat dan pilih satu yang terbaik. Berdasarkan prestasi, kemampuan dan keupayaan, kontraktor yang layak semestinya IJM. Semua maklum bahawa IJM ibarat gajah, manakala 6 yang lain macam semut dan kuman. Tak apalah, pilihlah IJM dalam mesyuarat lembaga pengarah yang boleh dibuat atau diputuskan tak sampai lima minit! Yang penting dasar tender terbuka yang dicanangkan dalam manifesto direalisasikan.

Di pihak CEO Kedah Sato dan pihak yang membuat keputusan terhadap IJM, ia tidak semestinya salah. Mereka juga ada hujah dan alasan. (Saya telah menghuraikan untuk Nota Utara keluaran akan datang). Kesimpulannya, tindakan Mahfuz betul dan CEO Kedah Sato pun tidak silap.

Yang salah, silap dan tidak betulnya ialah tindakan Buluhmadu membelasah Mahfuz di luar konteks isu sebenar. Sebahagiannya prasangka dan fitnah. Mahfuz memulakan perjuangan dalam PAS bukan selepas pencen kerajaan tetapi sejak dibangku sekolah. Beliau pernah ditahan ISA dan pernah merengkok dalam penjara kerana perjuangan. Kalau pengalaman hingga ke tahap itu pun nak dilihat sebagai ‘poligame’ Mahfuz, maka elohlah Buluhmadu menukar nama kepada Butuhmadu… (jangan marah nanti kena jual).

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

5 Jan 2011

Isu SS Selangor - Hormati semangat Persekutuan.

Isu SS Selangor - Hormati semangat Persekutuan.

Isu perlantikkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor masih belum reda. Apa kesudahan terhadap isu ini belum lagi kita dapat jangkakan. Tetapi saya percaya isu itu akan dapat diselesaikan apabila setiap pihak yang terbabit itu kembali kepada kepangkal jalan dan selesaikan masalah itu dengan cara dan tata-cara perlantikkan dengan baik dan ikut cara dan semangat serta sistem bernegara yang lazim kita praktikkan.

Kita mesti kembali kepada asas, iaitu mengakui bahawa negara ini adalah negara Persekutuan (Federation) dan negara kita bukannya negara ‘unitary’ seperti Thailand dan negara jiran yang lain. Kita ada perjanjian Persekutuan yang ditandatangani pada 2hb Februari 1948 dahulu semasa perjanjian ini ditanda tangani diantara negeri-negeri bersekutu dan bukan bersekutu. Perjanjian Persekutuan itu adalah untuk menggantikan Malayan Union (MU), dan Persekutuan itu diwujudkan untuk menggantikan usaha keparat British mewujudkan sebuah negara ‘unitary’ disemenanjung ini.

Jika kewujuddan perjanjian Persekutuan itu dibuat untuk menggantikan MU, kenapa pula kita sekarang hendak mentadbir negara ala MU itu? Kita sepatutnya memperkayakan semangat Persekutuan itu kerana terbukti dalam banyak negara Persekutuan yang benar-benar mengamalkan semangat itu telah mencapai kejayaan untuk memajukan negara dan rakyatnya.

Negeri Selangor adalah salah sebuah negeri dalam Persekutuan ini Negeri Selangor seperti juga dinegeri-negeri lain mempunyai Lagislatifnya sendiri, kerana Selangor ada Dewan Undangan Negerinya sendiri. Selangor ada kerajaannya sendiri dan ada ketua kepada kerajaan negeri itu dan dianya dinamakan Menteri Besar yang dipilih diantara ahli-ahli Lagislatif yang dipilih oleh rakyat Selangor. DAN Menteri Besar itu ialah Abdul Khalid Ibrahim yang mewakili Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Ijok.

Bagi seorang rakyat yang menjunjung semangat Persekutuan ini, kerajaan persekutuan mesti mempunyai perhubungan dengan Selangor berlandaskan kepada semangat persekutuan dengan negeri Selangor, sebuah negeri yang berdaulat. Kerajaan Persekutuan mesti berhubung dengan Selangor dalam semangat itu dan kerajaan persekutuan mesti menghormati negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

Jika kerajaan persekutuan tidak menghormati pandangan kerajaan negeri Selangor ianya bermakna persekutuan tidak menghormati rakyat negeri Selangor. Ini adalah ‘basic’. DiPutrajaya itu adalah Pusat Pentadbiran kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan Pusat. Kedaulatan kerajaan Persekutuan itu datangnya dari kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri yang berada didalam Persekutuan ini.

Sepatutnya kerajaan pusat mesti bertanya kepada rakyat Selangor dalam isu perlantikkan Setiausaha Kerajaan ini. Cara untuk bertanya rakyat Selangor itu ialah bertanyakan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besarnya yang mewakili rakyat Selangor seperti yang dipilih oleh mereka didalam pilihanraya yang lalu. Itu caranya yang patut dilakukan oleh kerajaan dan pemimpin persekutuan jika benar menghormati rakyat yang telah membuat pilihan secara demokrasi.

Yang sepatutnya mengadap Kebawah Duli Tuanku Selangor itu ialah TS Abdul Khalid Ibrahim kerana Khalidlah yang sepatutnya menasihati DYMM Tuanku, bukannya dari sesiapa yang datang dari Persekutuan. Jika ada usaha dari kerajaan Persekutuan untuk menasihati DYMM Tuanku Selangor itu merupakan usaha yang cuba untuk memecah belahkan Raja dan kerajaan Selangor yang berdaulat.

Ketua Setiausaha Negara (Sidek Hasan) wajib menjaga dan menghormati kedaulatan Negeri Selangor dan mesti mengakui yang Negeri Selangor adalah salah sebuah negeri yang berdaulat yang menganggotai Persekutuan ini. Hormatilah diri kita sebagai seorang rakyat negara Persekutuan. Ikut cara dan semangat Persekutuan itu. Negara kita bukan negara kominis.

TETAPI kenapa agaknya isu seperti ini berlaku? Pastinya kerana politik kepartian. Kalau itu sebabnya betullah kata banyak pihak ini merupakan usaha pemimpin parti yang berkuasa dari Putrajaya untuk memcahkan keutuhan kerajaan Negeri Selangor sebab pilihanraya akan tiba dan BN sedang berusaha untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan Selangor, negeri yang terkaya dalam Persekutuan ini.

Kalau itulah sebabnya saya tidak mahu melanjutkan komen ini. Perkara yang sama telah dilakukan diPerak dan hasilnya memudharatkan rakyat Perak. Bolehlah mendapat kuasa dengan ‘arm-twisting’ seperti ini tetapi ramai menjangkakan yang rakyat Perak akan memberikan pengajaran kepada pihak yang sudah hilang hidayah ini. Kata mereka yang PR akan kembali mentadbir dibangunan Setiausaha Kerajaan diIpoh.

Kalau BN hendak mengambil alih kerajaan Selangor buatlah cara yang ‘gentleman’. Lakukan semasa pilihanraya nanti. Kempen kuat-kuat dan yakinkan rakyat Selangor yang BN perlu memerintah Selangor kembali. Janganlah menggunakan taktik kotor untuk mencapai kuasa politik dinegeri ini kerana mendapat kuasa dengan bermain kotor tidak akan sampai berkatnya.

Tetapi siapa pula yang akan menerajui kerajaan Selangor jika BN menang?? Noh Omar? Khir Toyo? Atau siapa? Oh! Ezam Mohd Nor? Kalau inilah nama-nama yang tersenarai ramai rakyat Selangor berkata biarkanlah negeri Selangor diperintah oleh Pakatan Rakyat sepenggal lagi, sehingga BN boleh mencari pemimpin yang ‘viable’.

Buat masa sekarang BN, bagi pendapat mereka belum lagi berjaya mencari pemimpin yang diyakini rakyat Selangor. Jika permainan seperti ini diteruskan juga maka percayalah rakyat akan lebih menyampah kepada kita. Apabila rakyat menyampah dan menolak kita, kita juga yang terloncat kesana kemari macam cacing dalam kepanasan. Lepas itu salahkan orang lain pula.

“Tak payah nak ganti-ganti!” kata mereka.

DILANGKAWI DEPA JUAL 1KG: RM2.80


Jemaah Menteri hari memutuskan harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini.

NONEMenteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa harga bahan tersebut akan dinaikkan menjelang sambutan Tahun Baru Cina kelak.

"Sehubungan itu, kepada pengguna yang panik membeli (minyak masak) secara banyak, cukuplah buat kerja itu," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Beliau juga menjelaskan kekurangan minyak masak yang berlaku di sesetengah tempat adalah akibat tindakan sebuah syarikat yang menghentikan penjualan sebanyak 4,000 tan metrik bahan itu pada bulan lepas, selain berlaku penyelewengan pada kalangan pemborong dan syarikat membungkus semula minyak.

Sebagai penyelesaian, Ismail Sabri berkata bekalan bahan itu akan ditambah sebanyak 14,000 tan metrik, menjadikan jumlah pengeluarannya meningkat kepada 84,000 tan metrik pada bulan ini.

sundry shops kedai runcit everyday goods 250907 cooking oilSelain itu, pihaknya bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengatasi isu penyelewengan tersebut, kata beliau.

"Pasukan petugas khas ini ditubuhkan untuk mengambil tindakan dan menyiasat semua syarikat membungkus semula dan kilang-kilang penapis minyak masak yang melakukan penyelewengan termasuk menjual semula minyak masak kepada industri," kata beliau.

Mengulas mengenai harga petrol RON 97 dan minyak tanah yang masing-masing naik sebanyak 10 sen seliter mulai hari ini, beliau berkata hal itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana harga kedua-dua bahan bergantung kepada harga pasaran minyak mentah dunia.

"Memanglah kita tidak umumkan, melainkan minyak Petrol RON 95 yang dikawal kerajaan," katanya.

Semalam Presiden Persatuan Penjual Petrol Malaysia Datuk Hashim Othman memberitahu dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan naik kepada RM2.40 seliter (sebelum ini RM2.30 seliter) sementara minyak tanah kepada RM2.50 seliter.

komen : Kebanyakan diLangkawi harga minyak kg@paket dijual RM2.80 bukan RM2.50
dah lebih seminggu bekalan terputus, banyak pekedai menjual dengan sembunyi-sembunyi
dengan harga lebih dari harga sepatutnya.

PKR SABAH BERMASALAH?

dari: Malaysiakini

PKR Sabah dilaporkan menghadapi masalah kepimpinan apabila 15 daripada 25 ketua cabang meluahkan rasa tidak yakin terhadap ketua PKR negeri, Ahmad Thamrin Jaini dan mahu Ansari Abdullah dilantik meneraju parti itu.

Gesaan itu yang dibuat beberapa jam sebelum bekas naib presiden parti, Datuk Jeffrey Kitingan membuat pengumuman rasmi keluar parti, adalah bersandarkan pandangan bahawa hanya melalui Ansari, PKR Sabah mampu memberi cabaran pada pilihan raya umum akan datang.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Anthony Mandiau yang juga ketua cabang Kota Marudu berkata, semua mereka kecewa dengan cara Thamrin menguruskan parti.

"Beliau (Thamrin) tidak melakukan apa-apa untuk memimpin parti. Sebagai ketua peringkat negeri beliau tidak ada hala tuju dan telah gagal dalam menjalankan tugasnya, malah juga melemahkan PKR Sabah," katanya pada sidang akhbar, di Kota Kinabalu hari ini.

Anthony berkata, sebagai ketua peringkat negeri, adalah penting bagi Thamrin menggubal dan melaksanakan strategi untuk menjadikan PKR Sabah rakan yang kuat dalam pakatan pembangkang di negeri itu.

- Bernama

4 Jan 2011

KR SARAWAK: KAMI ANAK TIRI ANWAR IBRAHIM

PKR SARAWAK: KAMI ANAK TIRI ANWAR IBRAHIM

Oleh ILLAM KUBONG AK DAGANG

Ramai sekali teman-teman berkongsi rasa kesal dengan apa yang berlaku kepada PKR. Akibat dari pemilihan parti tempohari sampai hari ini, PKR tidak henti-henti dengan dilanda berbagai-bagai masalah dan kontroversi. Banyak sudah anggota PKR di bawahan ini sudah hilang kepercayaan kepada barisan pimpinan. Ada antara mereka yang semakin kurang aktif malahan ada yang merancang mahu keluar ikut SNAP dan DAP. Sudah pasti perkembangan ini merisaukan jika PKR Pusat merasakan bahawa PKR Sarawak penting.

Pilihanraya Negeri Sarawak sudah semakin dekat. Pilihanraya ini amat penting untuk rakyat Sarawak yang selama ini diperbodohkan oleh Taib Mahmud. Pilihanraya ini sangat penting untuk rakyat di Sarawak yang mahu melihat Taib dan kroni-kroninya tumbang. Pilihanraya ini adalah harapan dan penantian rakyat Sarawak tidak kira bangsa Iban atau Cina atau Melayu.

Sebagai ahli PKR saya ada hak mahu menegur pemimpin atasan, khususnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membuat Sarawak seperti anak tiri beliau. Ramai ahli PKR Sarawak kesal apabila Ketua Umum tidak menjaga sensitiviti PKR Sarawak. Semua pemimpin PKR Sarawak kalah dalam pemilihan PKR baru-baru ini. Tidak ada seorang pun dari PKR Sarawak yang menang dalam peringkat tertinggi iaitu MPP. Seumpama ahli PKR tidak mengiktiraf pemimpin Sarawak untuk dimenangkan dalam MPP. Saya berkongsi pendapat dengan ramai ahli di Sarawak yang merasakan bahawa ini semua adalah disebabkan tidak ada usaha kepimpinan Dato’ Seri membawa pimpinan Sarawak (Suara Sarawak) ke peringkat MPP pusat. 12 pemimpin Sarawak menawarkan diri jadi calon, tetapi tidak ada seorang pun yang dipilih.

Keikhlasan perjuangan PKR di Sarawak nampaknya tidak serius. Sehingga hari ini selepas lebih satu bulan MPP ditubuhkan, Pengerusi PKR Sarawak masih belum dilantik. Untuk pengetahuan Dato’ Seri Anwar, pilihanraya Sarawak akan diadakan tidak lama lagi. PKR Sarawak masih belum ada ketua. PKR Sarawak masih tidak tahu siapa pemimpin. Pilihanraya semakin tiba dan jentera parti belum ada. Bagaimana PKR mahu menang kalau sampai hari ini tidak dilantik ketua?

Propaganda BN cuba menghasut rakyat Sarawak supaya jangan percaya PKR. PKR adalah parti semenanjung. Bila difikirkan ada betulnya kata-kata “PKR ialah parti Semenanjung”. Semenanjung dahulu kemudian Sarawak dan Sabah.

Ahli PKR di Sarawak risau apabila sehingga hari ini masih belum apa-apa penerangan tentang persediaan menghadapi pilihanraya Sarawak. Sehingga hari ini tidak ada latihan dan persiapan PKR sebagai sebuah parti yang mahu melawan Taib Mahmud di Sarawak. Sehingga hari ini masih tiada lagi bajet pilihanraya yang turun kepada cabang-cabang untuk bergerak.

Janji Dato’ Seri Anwar Ibrahim tahun lalu bahawa ahli parlimen PKR akan diarahkan bergilir-gilir setiap bulan datang ke Sarawak tidak menjadi kenyataan. Tidak nampak batang hidung YB-YB ahli parlimen PKR dari semenanjung datang Sarawak apatah lagi bertanya bagaimana persiapan PKR di Sarawak melawan rejim Taib. Pemimpin Kuala Lumpur datang minta undi, bikin janji baru, kemudian pulang ke Kuala Lumpur.

Jadi, bagi pihak ahli PKR Sarawak saya menegur kepimpinan Dato’ Seri Anwar dan ingin menyatakan akibat kelewatan melantik Ketua Negeri, PKR Sarawak berpuak-puak, berdendam sesama sendiri, berlawan sesama sendiri sampai hari ini.

Apa yang dikesali ahli bawahan parti, kelewatan ini bukan kali pertama. Tahun lalu (2009) perkara yang sama juga berlaku. Isunya juga sama – perlantikan jawatan Ketua PKR Sarawak digantung oleh pusat dan pengumuman Ketua PKR Sarawak ditangguh-tangguhkan.

Persiapan pilihanraya di Sarawak bukan seperti di Semenanjung. Kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri amat besar dan kemudahan jalanraya amat terhad. Soalnya sekarang di mana PKR Sarawak? Ada atau tiada? Serius atau tidak?

1 Jan 2011

Kemelut SUK: Selangor menuju krisis perlembagaan, kata pakar

Oleh G Manimaran dan Shazwan Mustafa Kamal
December 31, 2010

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan telah mempersembahkan tiga nama untuk pertimbangan Sultan Selangor
KUALA LUMPUR, 31 Dis — Pelantikan kontroversi Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual untuk diadakan 6 Januari ini, diteruskan, kata pakar-pakar perundangan dan perlembagaan.

Pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai “tidak sah” memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga dikatakan telah mempersembahkan tiga nama untuk pertimbangan Sultan Selangor bagi mengetuai perkhidmatan negeri yang paling kaya itu.

Sedangkan Khalid menganggap pelantikan itu belum muktamad tetapi Istana Selangor menegaskan, keputusan melantik Khusrin yang akan berkuat kuasa esok adalah muktamad.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Difahamkan Datuk Ramli Mahmud yang akan bersara sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Mac depan juga pernah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mac 2006 ketika negeri itu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Ini kali pertama seorang Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mac 2008.

Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan ini boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

“Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan.

“Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian.

“Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu kata beliau, langkah tersebut bercanggah dengan perlembagaan negeri memandangkan ia tidak tertakluk kepada Undang-undang Tubuh Selangor.

“Perlembagaan negeri tidak membenarkan perkara ini . . . tetapi saya berharap ini tidak berlaku, itu sebabnya Sultan perlu berhati-hati sebelum meneruskan perkara ini,” kata beliau lagi.

Karpal juga berkata, beliau juga secara peribadi telah diminta oleh Khalid agar melihat aspek itu dari sudut kesahihan perundangan.

“Saya sebenarnya sedang lihat pada aspek perundangan sekarang. Saya diminta membantu bagi pihak Menteri Besar,” kata wakil rakyat DAP itu.

“Tindakan Sultan (menyempurnakan majlis angkat sumpah) boleh dibawa ke mahkamah,” kata Karpal.

Artikel 52(4) perlembagaan negeri Selangor menyebut bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri perlu menyempurnakan majlis angkat sumpah kerahsiaan tugas di hadapan Menteri Besar.

Tiada sebutan mengenai majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai “amalan baru” yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan,” kata beliau.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan Sultan.

Sehubungan itu beliau juga melihat perkembangan tersebut akan membawa implikasi baru dalam politik negara ini dan kesan ke atas negeri-negeri lain.

“Ia seolah-olah sesuatu yang tidak dibolehkan mula diguna pakai dalam keadaan tertentu, macam Speaker DUN tiada kuasa mengambil tindakan ke atas ahli dewan sebagaimana disaksikan di Perak dulu, tetapi di Parlimen Speaker dikatakan boleh,” katanya yang melahirkan rasa hairan dengan perkembangan semasa.

Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin mengesahkan Pejabat Menteri Besar menerima jemputan majlis angkat sumpah tiga hari lalu.

“Surat undangan diterima dua tiga hari yang lalu,” kata beliau ketika dihubungi, yang turut mengesahkan majlis angkat sumpah kerahsian tugas perlu disempurnakan oleh seseorang Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan Menteri Besar.

Khalid juga membayangkan beliau tidak akan menerima Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

“Itu peruntukan dalam perlembagaan negeri,” katanya lagi.

Ketika majlis solat hajat di kediamannya di Shah Alam malam tadi, Menteri Besar Selangor menekankan, beliau ada opsyen untuk tidak menerima Khusrin dengan tidak memberikan persetujuan bagi majlis angkat kerahsiaan.

“Jika Khusrin tidak mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan Menteri Besar, maka beliau tidak boleh menyempurnakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sepenuhnya.

“Beliau tidak boleh hadir mesyuarat Exco Kerajaan Negeri atau ada kuasa untuk akses dokumen-dokumen rahsia kerajaan. Sudah pasti beliau akan bertindak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri atas nama bukan dari segi tugas dan tanggungjawab.

“Menteri Besar membayangkan ini opsyen yang Selangor ada, tidak membenarkan Setiausaha Kerajaan Negeri angkat sumpah,” kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau antara mereka yang hadir pada majlis malam tadi di mana Menteri Besar Selangor membuat kenyataan terbuka buat kali pertama.

Kelmarin, kerajaan negeri Selangor menyangkal dakwaan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, bahawa ia lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Faekah berkata tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh masa tertentu.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut pada 27 November lepas dengan menubuhkan sebuah panel temu duga sejajar dengan nota amalan.

“Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon (bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan) dan Menteri Besar pada 17 Disember lepas mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan Selangor.

“Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Selangor mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab.

“Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan,” kata Faekah.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan Khusrin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa esok oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011

Kami ingin mengucapkan selamat tahun baru 2011

Semoga tahun baru kita dapat melakukan perubahan
segala tindakan kedepan juga fokus tanpa melalui
politik sempit.

LangkawiFM tingkatkan kandungan pelancongan

LangkawiFM melangkah tahun baru 2011 dengan membawa imej baru bagi menjadikan siaran itu radio pelancongan yang digemari ramai, kata Pengarah LangkawiFM Zainal Abidin Asri Abdul Wahid.

Beliau berkata ini akan dilakukan menerusi beberapa perubahan, antaranya jadual siaran, pengisian rancangan dan segmen yang lebih relevan dengan cita rasa pendengar.

LangkawiFM menjadi pilihan terbaik untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan oleh orang ramai di pulau pelancongan dan bebas cukai ini, katanya menerusi satu kenyataan di Langkawi hari ini.

Zainal Abidin berkata berdasarkan kajian sebuah firma penyelidikan media baru-baru ini, lebih 50,000 orang atau kira-kira 50 peratus penduduk Langkawi menjadi pendengar LangkawiFM, satu jumlah yang membanggakan bagi sebuah stesen daerah dengan kekuatan pemancaran satu kilowatt.

Siaran LangkawFM juga boleh diikuti sebahagian penduduk di Perlis, pantai barat tanah besar Kedah dan bahagian utara Pulau Pinang, katanya