SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

21 Jan 2011

Dr.Mahathir dah nanyuk

Bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjadi topik hangat di sini apabila ulasan-ulasannya mengenai nasib Melayu Singapura menjadi polemik dan mendapat kritikan pedas beberapa orang Melayu setempat.

Akhbar Berita Harian Singapura telah menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang telah terpinggir dan ketinggalan.

Dalam ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca Haji Sallim Haji Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr Mahathir yang membuat kenyataan yang tidak berasas bahawa Melayu republik itu terpinggir dan tertinggal.

"Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoalkan masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr Mahathir.

“Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia,” kata Sallim.

Tak tagih subsidi

Katanya Dr Mahathir yang terbuai dengan populariti di alam siber dan blog suka menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh.

Penulis itu juga mempertahankan kedudukan Melayu Singapura dengan menyatakan kaum itu maju tanpa menagih subsidi dan kedudukan agama Islam di Singapura terpelihara dan berkembang walaupun ia bukan agama rasmi.

“Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah. Rasuah di sini wujud, tetapi tahapnya tidak mengejut. Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi. Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan,” ungkap Sallim.

Seorang lagi pembaca, Hajah Kamariah Lim Li Hwa menegur Dr Mahathir bahawa sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang orang Melayu Singapura, diharap beliau “menyelidik dulu keadaan kami.“

“Kami orang Melayu Singapura berasa senang hati dan bersyukur kerana pemerintah Singapura menjalankan amanah dengan telus,” katanya.

'Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi'

Menurutnya, walaupun Singapura bukan negara Islam, kebanyakan undang-undang di Singapura tidak ada yang bercanggah, malah sejajar, dengan ajaran Islam.

Hajah Kamariah berkata kemungkinan Dr Mahathir (bersikap demikian kerana) berurusan dengan seseorang individu (rakyat Singapura) yang tidak berpuas hati atas beberapa dasar pemerintah Singapura kerana tidak dapat memenuhi kepentingan diri sendiri.

Seorang lagi pembaca, Eusope Musawa menulis Melayu Singapura hidup dengan selesa dan 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi', dan mereka ada kebebasan dalam hal agama dan pelajaran mereka juga setaraf dengan penduduk masyarakat lain.

“Tun Dr Mahathir sepatutnya menasihatkan orang Melayu Malaysia agar belajar daripada orang Melayu Singapura bagaimana boleh maju. Saya berharap kenyataan beliau akan membakar semangat orang Melayu setempat untuk terus maju,” tulis Eusope.

Bagaimanapun, seorang pembaca yang menamakan diri beliau, Walid Jumblatt Abdullah menulis dalam forum akhbar itu semalam, bahawa beliau amat gembira sekali apabila melihat masyarakat Melayu Singapura bergegas menyangkal kritikan Dr Mahathir.

Katanya, “Alangkah baiknya kalau masyarakat Melayu begitu cepat sekali bertindak ketika masalah-masalah seperti keluarga pincang, keruntuhan akhlak, keputusan pelajar kurang memuaskan berbanding kaum lain dan sebagainya timbul untuk menangani masalah-masalah tersebut.”

Dr M banyak berjasa

Menurutnya, memang tidak dinafikan, Dr Mahathir sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kontroversial dan tidak semestinya semua yang dinyatakan beliau adalah benar.

Namun, setiap manusia ada kelemahannya, katanya, dan beliau amat terkejut apabila melihat surat-surat yang mengutuk Dr Mahathir, malah, ada yang menggunakan kata-kata agak keras sehingga mengecapnya “seorang tua yang nyanyuk”.

Walid berkata walaupun jika seseorang yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tidak perlulah digunakan bahasa sedemikian kerana sikap serupa itu memang bukan daripada budaya Melayu itu sendiri.

20 Jan 2011

NELAYAN MAHU JETI BARU DIPERCEPATKAN PEMBINAANYA


Jumlah bot meningkat

KEDAWANG - Kira-kira 200 nelayan mendesak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempercepatkan projek pangkalan nelayan baru di Kuala Chenang.

Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Sungai Chenang, Asri Shaaban berkata, pembinaan pangkalan itu perlu dipercepatkan kerana sering kali berlaku kesesakan bot nelayan hampir setiap hari.

Menurutnya, jumlah bot kini semakin meningkat dari kira-kira 200 bot nelayan tertumpu ke kawasan pangkalan itu.

“Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke pangkalan ini Februari tahun lalu, hingga kini keadaannya masih sama.

“Ketika itu beliau berjanji meluluskan peruntukan sejumlah RM7 juta dan terdapat pertambahan RM2 juta lagi, namun hingga kini keadaan masih sama,” katanya.

Asri berkata, pihak KPSP memohon pihak berkaitan membina pangkalan nelayan lengkap dengan restoran dan kemudahan lain seperti yang dijanjikan dengan segera ketika lawatan Perdana Menteri lalu.

Menurutnya, keadaan pangkalan kini hanya berubah sedikit selepas LKIM menyiapkan pangkalan sedia ada bernilai RM470,000 yang dimohon ketika tahun 2007.

“Projek menaik taraf ini dipohon empat tahun lalu dan siap pada Disember lalu, jika projek bernilai jutaan ringgit seperti yang dijanjikan, tidak tahu bila akan siap.

“Pangkalan ini berupaya menggamit pelancong dan berpotensi besar, pada Februari nanti pertandingan sauk sotong akan dilakukan di sini,” katanya.

Beliau berkata, kini penduduk kampung giat menyiapkan sebuah restoran ikan bakar sebagai tarikan baru pengunjung.

19 Jan 2011

PKR pecat bekas bendahari Selangor Kottapan

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat keanggotaan bekas bendahari PKR Selangor K.S. Kottapan berkuatkuasa semalam.
Kotappan berkata beliau menerima surat pemecatan itu kira-kira pukul 7.33 petang semalam menerusi e-mel dari pejabat setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya terima pemecatan itu menerusi satu e-mel dari pejabat setiausaha agung kira-kira pukul 7.33 petang sebaik saya balik dari mengadakan satu sidang akhbar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air oleh ketuanya Datuk Zaid Ibrahim di sini hari ini.

Kottapan berkata surat itu menyatakan bahawa dia telah melakukan kesalahan mengikut perkara 29 (1) (2) perlembagaan parti tetapi beliau tidak menjelaskan sebab dipecat.
Beliau juga diberi peluang membuat rayuan dalam tempoh 14 hari tetapi bertegas menolak untuk berbuat demikian.

Semalam beliau mencabar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat berhubung soal keadilan yang gagal diamalkan dalam pemilihan parti itu September tahun lepas sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan anggota dan pemimpinnya.
Pada 30 September tahun lepas, Kotappan mendakwa pemilihan PKR cabang Kota Raja, Klang, yang dimenangi exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar tidak sah kerana hanya diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Ditanya mengenai kehadirannya pada majlis hari ini, Kottappan berkata beliau dijemput oleh Zaid dan sudah bersetuju untuk menyertai Kita.
Beliau yakin akan membawa masuk antara 30 dan 40 orang bekas penyokong PKR menyertai Kita. — Bernama

18 Jan 2011

Imelda Rosmarkus semakin biadap dan derhaka!

PETALING JAYA: Dua memorandum akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agung dan Perdana Menteri berhubung tindakan Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggap biadap serta derhaka ekoran menggunakan gelaran wanita pertama dan mencampuri urusan rasmi kerajaan.

Seorang jurucakap memberitahu bahawa kumpulan dari pelbagai latar belakang akan dianggotai oleh pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam isu yang melibatkan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini.

Menurut jurucakap kumpulan yang bakal menggerakkan penyerahan memorandum ini menjelaskan dua memo berasingan dengan isu yang hampir sama akan diserahkan kepada Seri Paduka dan Najib setiap satu.

Menurut sumber itu, antara isi kandungan memorandum kepada Seri Paduka ialah memohon agar pihak istana campur tangan atau menyatakan pendirian berkenaan penggunaan gelaran Wanita Pertama oleh Rosmah.

“Sebagai rakyat yang kasihkan Rajanya, kami hanya memohon pihak istana menyatakan pendirian dan membuat teguran tegas kepada sesiapa sahaja yang menggunakan gelaran Wanita Pertama selain Permaisuri Agung.

Katanya lagi, lebih malang lagi apabila Rosmah turut menunjukkan sikap angkuhnya apabila dengan beraninya menggunakan gelaran Wanita Pertama walaupun telah dikritik hebat sebelum ini.

‘Rosmah semakin angkuh’

“Rosmah semakin angkuh dan keterlaluan nampaknya. Ini bukan kali pertama. Dahulu pun masa lawatannya ke Amerika Syarikat dan menganjurkan Persidangan Wanita Pertama pun telah dikritik hebat tetapi mungkin tidak ditegur oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional menyebabkan dia semakin berani. Ini adalah biadap dan derhaka kepada Agong dan Permaisurinya.

“Tindak-tanduk Rosmah semacam mahu cuba menjadikan gelaran wanita pertama sebagai gelaran yang sah dan gelaran rasmi untuk isteri PM, iaitu dia sendiri,” menurutnya lagi.

Beliau juga memberitahu, keputusan untuk menghantar memorandum kepada Istana Negara tersebut dibuat apabila melihat Najib dan pemimpin Umno lain gagal menasihati Rosmah apatah lagi untuk mengambil tindakan yang wajar.

“Memandangkan situasi sekarang seolah-olah menggambarkan tiada apa yang dapat dibuat oleh Najib dan pemimpin Umno lain, maka kerana itulah kami berharap pihak istana campur tangan dalam hal ini.

Lebih-lebih lagi isu wanita pertama ini memang melibatkan pihak istana secara langsung,” ujar beliau.

Perkasa tidak bersuara

Menurut salah seorang dari kumpulan tersebut yang mengaku sebagai ahli Perkasa berkata, beliau kecewa apabila pemimpin tertinggi Perkasa tidak bersuara berhubung isu yang melibatkan pihak istana ini.

“Selalunya Perkasa tegas dengan sebarang isu yang membabitkan institusi raja-raja Melayu. Tetapi dalam isu ini, yang jelas nampak ada pihak yang sewenang-wenangnya guna gelaran yang sepatutnya untuk Permaisuri Agung, Perkasa tak keluar apa-apa kenyataan pun.

“Itu yang saya kecewa. Sebab itulah saya sertai kumpulan ini tetapi bukannya kapasiti sebagai ahli Perkasa, ini adalah secara peribadi saya dan dua rakan saya yang lain juga dari Perkasa.

Menurutnya lagi, selain individu dari Perkasa, beberapa pemimpin dan ahli beberapa parti politik yang berlainan idealogi daripada Pakatan Rakyat dan BN turut terlibat dalam rancangan itu.

“Selain saya dan dua rakan dari Perkasa, rakan kami yang lain ialah dari Umno, PKR dan PAS. Mereka sama juga seperti saya, bertindak bukan atas kapasiti parti politik masing-masing.

“Lagipun tiada sesiapa di antara kami yang memegang sebarang jawatan di peringkat pusat dalam parti atau pertubuhan masing-masing. Paling tinggi pun hanya dua, tiga orang peringkat daerah dan mungkin akan disertai oleh seseorang di peringkat negeri nanti,” katanya lagi.

Menyeru parti politik dan NGO turut bertindak

Jurucakap kumpulan ini juga menyeru agar mana-mana pihak tanpa mengira parti politik yang mampu mengatur gerakan penyerahan memorandum ini turut berbuat demikian.

“Saya menyeru kepada mana-mana pemimpin tak kira parti politik atau NGO, agar turut mengatur satu rancangan untuk menyerahkan memorandum ini kepada Seri Paduka seperti yang telah dibuat dalam isu air negeri Selangor.

Mungkin jika mereka yang mengaturnya ia lebih mendapat sambutan rakyat, ada pengalaman untuk menyusun dan merancang strategi berbanding kami dan boleh beri kesan yang lebih baik,” ujar beliau.

Manakala, memorandum yang dirancang untuk diserahkan kepada PM pula akan menyentuh penglibatan Rosmah dalam urusan rasmi kerajaan termasuk membantah kewujudan Pejabat Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di Putrajaya.

Menurut mereka penglibatan Rosmah dianggap semakin serius sehingga membelakangkan menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam sesuatu kementerian seperti Kementeriaan Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rosmah mencampuri urusan negara

“Nampaknya semakin lama, Rosmah semakin galak mencampuri urusan kerajaan hinggakan kadang-kala lagaknya seperti seorang Menteri Pelajaran, Menteri Hal Ehwal Wanita pun ada dan sebagai duta pun ada,” menurut sumber itu lagi.

Beliau turut mempersoalkan dan melahirkan kekesalan apabila Najib bukan sahaja dilihat gagal untuk menegur isterinya itu, malahan turut pada masa tertentu menyerlahkan pendirian beliau yang menggalakkan tindakan isterinya itu.

“Mengapa Najib tidak menegur atau mungkin juga PM sendiri yang memberikan galakan kepada Rosmah?” soal beliau.

“Yang hairannya, takkanlah Najib tidak nampak apa-apa yang tak kena tentang ini? Penasihatnya butakah untuk memahami ia memberi impak negatif kepada PM?

“Terus terang saya katakan isu ini bukan sahaja menjadi bahan serangan PR tetapi orang-orang dalam Umno sendiri pun ramai yang mengadu meluat dengan situasi ini,” tambah beliau.

Selatan Online - dipetik drp Al-Risalah

15 Jan 2011

Bunuh, rogol, rasuah & nilai Melayu

oleh Hishamuddin Rais

Dunia Melayu kini telah berubah. Ini bukan sekali air bah, sekali emak meninggalkan abah. Yang berubah ini bukan emak dan abah. Yang berubah ialah nilai manusia Melayu. Ini satu perubahan yang amat besar. Dalam masa hanya satu generasi telah dilihat satu perubahan budaya nilai Melayu yang amat jelas. Satu anjakan atau lebih tepat lagi satu lonjakan nilai telah berlaku.

Lonjakan nilai manusia Melayu ini bukan dibawa oleh tok lebai atau oleh sasterawan negara atau cikgu sekolah. Nilai ini bukan datangnya dari sekolah pondok atau sekolah kebangsaan. Yang bertanggungjawab membawa nilai baru ini ialah struktur ekonomi.

Struktur ekonomi ini telah diperkenalkan kepada manusia Melayu oleh United Malays National Organisation. Selama hampir 30 dahulu, Mahathir Mohamad melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memasukkan satu nilai dan budaya baru dalam roh manusia Melayu.

Tiga puluh tahun sebelum hari ini, manusia Melayu adalah manusia pertanian. Ekonomi Melayu adalah ekonomi pertanian. Justeru, nilai yang dilahirkan oleh manusia Melayu ketika itu menggambarkan sopan santun dan damai mesra masyarakat pertanian.

Apabila DEB diperkenalkan, dasar ini menolak manusia Melayu ke satu dunia dan alam yang baru – alam jual beli atau alam perniagaan. Pada tahun tahun 70-an, manusia Melayu telah digalakkan datang berhijrah ke bandar dan kota. Dari kampung yang permai, manusia Melayu telah mula memasuki pekan dan bandar yang adat budayanya amat berbeza.

Perubahan yang dibawa oleh DEB ini bukan satu perubahan yang perlahan lahan, bukan evolusi. DEB ini telah mengheret dan memaksa manusia Melayu untuk menerima satu nilai dan budaya yang baru. Justeru, roh manusia Melayu ini pada tahun-tahun 90-an dahulu telah dipopularkan sebagai roh Melayu baru. Ini adalah garis pisah antara Melayu pertanian dengan Melayu peniagaan.

Sistem ekonomi yang dimunculkan oleh DEB pada asasnya ialah ekonomi sistem kapitalis. Tetapi dengan United Malays National Organisation, sistem kapitalis ini telah diubahsuai. Sistem kapitalisme ini tidak lagi menjadi satu perniagaan bebas, tetapi kapitalisme kroni. Kapitalisme jenis ini telah memilih anak bini kawan dan sahabat menjadi rakan niaga untuk menerima dana dan kontrek dari kerjaaan. Kapitalisma kroni inilah yang selama ini bertanggung jawab melahirkan satu nilai baru kepada manusia Melayu.

Asas nilai baru yang sedang dianjurkan oleh United Malays National Organisation ialah mengumpul pangkat, darjat, harta dan kekayaan. Tamak dan haloba dianggap nilai yang baik dalam budaya niaga.

Mementingkan kontrak dan tender

Hari ini jati diri Melayu - siapa Melayu, apa kepercayaan manusia Melayu, apa agama manusia Melayu – semuanya telah didifinasikan oleh United Malay National Organisation. Semua pengtakrifan baik dan buruk sedang dimonopoli oleh United Malays National Organisation.

Naratif yang berbeza dari apa yang diajar oleh United Malays National Organisation akan dianggap salah atau akan termasuk ke dalam bab ajaran sesat. Ajaran agama Islam juga telah didifinasi oleh United Malays National Organistation. Halal haram, baik dan buruk bukan lagi dirujuk melalui kitab kitab suci, tetapi melalui 'juruheboh' dan jurucakap agama yang dilantik oleh United Malays National Organistion.

Tidak dibenarkan, malah dilarang dan diharamkan apa sahaja naratif yang berlainan dari cerita yang dimulutkan oleh penyokong United Malays National Organistion. Kebenaran kini, telah dan sedang dimonopoli oleh United Malays National Organistion.

Rasuah yang pada satu ketika dahulu tidak ditemui atau berani menyerang masyarakat pertanian kini telah menjadi satu jalur budaya Melayu. Rasuah kini dilihat sebagai ciri budaya untuk menjalankan apa sahaja bentuk perniagaan. Malah kaum pemodal dan orang berniaga kini telah menerima pakai budaya rasuah. Dalam perhitungan jual beli, mereka telah menyediakan belanjawan khusus untuk merasuah sesiapa yang patut dirasuah – dari budak pejabat hingga ke ketua pegawai eksekutif (CEO).

Nilai Melayu baru ini tidak berhenti di tahap rasuah sahaja. Satu contoh klasik: Lebih dari satu dekad dahulu ada satu kes di mana seorang ketua menteri dikaitkan dengan anak sekolah bawah umur yang hamil. Kes ini menjadi heboh. Tetapi dengan nilai Melayu baru, kes 'rogol bawah umur' ini tidak mendatangkan mudarat kepada si perogol.

Manusia Melayu yang menganuti nilai baru ini telah tidak menyatakan rasa mual, benci atau merasa bersalah kerana kes rogol anak bawah umur telah dikaitkan dengan seorang ketua menteri. Nilai baru yang dihayati oleh manusia Melayu ini lebih mementingkan kontrak dan tender yang akan diperolehi daripada mementingkan salah atau benar seorang budak bawah umur yang dirogol.

Ketika tulisan ini ditulis, satu lagi kes rogol sedang heboh dan rancak dibincangkan dalam laman sesawang. Telah diperkatakan bahawa seorang menteri kanan dalam pentabiran Abdullah Badawi dahulu dikatakan terlibat merogol seorang pembantu rumah dari Indonesia.

Sama ada kes ini sahih atau tidak, bukan persoalannya. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana manusia Melayu baru ini telah menjadi lali. Mereka tidak lagi teperanjat apabila membaca berita ini. Malah mereka tidak hairan yang berita ini telah tenggelam timbul selama dua tahun.

Nilai salah dan benar

Rasuah, rogol dan tipu ini telah menjadi satu yang lumrah. Ini kerana, ia sering berlaku atau dilakukan oleh mereka duduk di puncak kuasa, maka orang awam kini telah mula menerima perkara ini sebagai jalur nilai dan budaya Melayu.

Mari kita lihat satu lagi kes klasik yang telah membuktikan lonjakan perubahan nilai manusia Melayu ini. Kes yang dimaksudkan ini ialah kes pembunuhan model dari Mongolia. Dari apa yang umum baca, dengar dan lihat - ketika kes ini dibicarakan - umum telah tahu tentang kawan baik kepada Najib Razak (ketika itu timbalan perdana menteri) telah dituduh bersubahat dalam pembunuhan ini.

Malah dari apa yang umum diberitahu, mengikut laporan mahkamah Najib Razak bukan hanya kawan kepada orang yang tertuduh. Dari mulut saksi, perbicaraan umum telah diberitahu bahawa model yang dibunuh ini telah bertemu dengan Najib Razak di Paris. Malah melalui satu akuan bersumpah umum juga telah diberitahu yang Najib Razak ini adalah bekas kekasih model yang terbunuh. Najib bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
oleh Hishamuddin Rais
Persoalan yang timbul di sini, bukan siapa yang membunuh. Atau siapa yang memberi arahan agar model ini dbunuh. Bukan ini yang ingin dibincangkan. Apa yang ingin ditimbulkan ialah bagaimana tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisation telah menjadi lali dan tuli bila berhadapan dengan kes pembunuhan model dari Mongolia ini.

Ketulian dan kelalian perasaan tiga juta ahli parti United Malays National Organisation ini terjadi kerana mereka telah menerima dan menghayati nilai dan budaya baru. Tiga juta manusia Melayu ini kini hanya boleh melihat melihat kontrak dan tender. Mata dan jiwa mereka tidak berupaya lagi melarikan diri dari kuasa, pangkat dan harta benda.

Jalur nilai baru ini tidak memiliki nilai salah dan benar. Malah salah dan benar telah pun ditakrif oleh juruheboh dan 'juruagama' United Malays National Organisation. Apabila juruheboh dan juruagama mengatakan Najib Razak ini suci dan bersih, maka tiga juta manusia Melayu ini juga akan mengangguk menerima perkara ini umpama wahyu.

Nilai baru ini menjadi amat merbahaya kerana sesiapa yang menghayati nilai ini tidak lagi ada keupayaan untuk menilai mana yang salah dan mana yang betul. Kerana ramai yang sanggup menerima dan berkongsi dengan nilai ini maka mereka merasa selamat dan betul. Angka dan jumlah yang banyak menjadikan mereka merasa kebal.

Anjakan nilai manusia Melayu ini telah menjadi bagitu songsang. Dari manusia pertanian yang jujur dan bersopan santun kini manusia Melayu akan berkira-kira tentang untung rugi sebelum membuat apa-apa keputusan. Mereka tidak lagi menilai sesuatu dengan salah benar atau halal haram. Akhirnya, tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisations bukan hanya menganggap sosok Najib ini suci dan bersih malah Najib Razak ini telah diangkat dan dinobatkan untuk menjadi ketua mereka.

Inilah krisis yang sedang dihadapi oleh manusia Melayu – krisis nilai. Maka terpulang kepada manusia Melayu lain – yang bukan termasuk dalam kategori tiga juta ini - jika mereka masih memiliki nilai salah benar untuk bangun dan bersuara. Krisis nilai orang Melayu ini akan berpanjangan dan membawa mudarat yang amat sangat ke atas negara bangsa. Mudarat akan sampai jika ramai orang Melayu yang bersopan santun dan jujur tidak melakukan sesuatu.
'Tempeleng' DSAI sebelum PKR jadi Keadilan Sdn. Bhd.
Oleh: Tinta Tun Adil@blog marhaen

Keadilan berpasak kukuh pada prinsip mempertahankan yang hak dan memerangi yang batil. Prinsip ini akan terus kekal konsisten tidak kira sama ada seseorang itu menyokong Pakatan mahupun Barisan, atau sekadar seorang rakyat biasa yang tidak mengikuti arus perkembangan politik semasa.

Sekadar berdiri melaungkan KEADILAN tidak bermakna kita mengamalkan prinsip keadilan. Dalam membicarakan soal hak, gagasan keadilan mestilah disertai dengan pelaksanaan kata-kata. Setakat bercakap "kami tentang kezaliman!" tidak membawa apa-apa makna jika dalam masa yang sama kita menzalimi orang lain.

Akhir-akhir ini khabar buruk mengenai Parti Keadilan Rakyat benar-benar mengguris hati saya. Seperti sudah ada kecenderungan politik 'cas keting' di dalam PKR, beberapa pemimpin kanan parti itu telah pun dianiaya dan dizalimi oleh sosok-sosok tertentu yang berselindung di sebalik aura saudara Anwar Ibrahim.

Memandangkan Suara Keadilan dan media sekutunya memilih untuk menyorok sampah di bawah tikar mengkuang, maka kita di BMI tiada pilihan lain selain bersuara menegur dan menempelak amalan jijik politik matlamat menghalalkan cara yang sedang bermaharajalela di kalangan pemimpin tertinggi PKR.

Eloklah kita mengkritik dahulu sebelum politik jahat ala Umno ini bersepah dan meloroh masuk memusnahkan benteng perjuangan PKR, lalu menghakis kepercayaan rakyat lantas memusnahkan harapan kita untuk menawan Putrajaya.

Biarlah tulisan ini dibaca sebagai peringatan sebelum PKR tinggal 3 orang Ahli Parlimen (Lembah Pantai, Permatang Pauh dan Gombak), sebelum Selangor terlepas dari tangan Pakatan Rakyat, sebelum PR menerima nasib yang buruk seperti Barisan Alternatif dan sebelum Najib Razak angkuh mendabik dada di atas kejayaan BN menguasai 90% kawasan parlimen hasil penipuan undi dan gerrymandering pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Dalam politik Malaysia di mana BN mengatasi undang-undang dan perlembagaan, segala-galanya adalah mungkin.

Saudara saudari yang saya hormati,

Suka saya bertanyakan jika Najib Razak menang di Parlimen Pekan hasil penipuan undi pos, apakah kita mengiktiraf kemenangan beliau? Sudah pasti TIDAK!

Kalau kita boleh mengatakan tidak, mengapa pendirian kita berbeza apabila Azmin Ali diangkat sebagai Timbalan Presiden walaupun jelas terdapat kesangsian wujudnya kecurangan di dalam Pemilihan PKR 2010, terutamanya di cabang Libaran dan Sandakan?

Bukankah sikap bias dalam menangani isu politik bermakna prinsip keadilan itu sendiri telah selamat dibakul sampah?

Kalau Umno yang memandang enteng soal hak dan asas prinsip keadilan kita fahamlah kerana puak mereka berjuang demi ketuanan lahanat melayu.

Tetapi jika parti yang menggunapakai nama KeADILan tidak mengamalkan keadilan, pada saya ini sangat jelik lagi meloyakan!

Kes kedua, andai kata SPR membuat pengumuman:-

"Dengan ini, encik Pirdaus dari Barisan Nasional telah dipilih sebagai ahli Parlimen P044 Permatang Pauh dengan majoriti..... aaa.... RAHSIA!"

Sudah pasti saudara Anwar Ibrahim meraung meradang marah kerana jumlah majoriti undian tidak diketahui.

Sudah pasti kita di medan Reformasi bangkit melaung tentangan melawan kemenangan yang tidak bermoral itu.

Mengambil contoh yang sama, bagaimana kita boleh menerima Shamsul Iskandar sebagai ketua Angkatan Muda tanpa mengetahui majoriti undi yang telah diperolehinya?

Taktik dan modus operandi jahat ini tidak berhenti di situ sahaja, terbaru di Perak Mustafa Kamil Ayub telah kecundang akibat percaturan politik kotor apabila nama Muhamad Nur Manuty telah dilantik sebagai Pengerusi PKR Perak sekalipun 13 ketua cabang mengundi Mustafa berbanding 11 memihak kepada Nur Manuty.

Silap mata ala David Copperfield telah berjaya memukau hadirin hadirat yang akhirnya percaya angka 11 lebih besar dari 13.

Pakar silap mata ini bukan baru sehari dua menunjuk belang, malah virus Kurang Kasih Sayang (KKS) ciptaan magiknya telah terbukti berjaya mengukuhkan cengkaman beliau sejak dari dulu lagi.

Virus KKS akan dilempar kepada mana-mana sosok yang dilihat berpotensi mencabar kedudukan beliau di dalam organisasi Parti Keadilan Rakyat.

Hasil virus KKS ini ramai pemimpin PKR tewas seorang demi seorang. Ada yang berubah menjadi barua katak lalu berubah lagi menjadi senatak. Ada yang dahulunya disanjung dan dihormat alih-alih dibuang macam sampah, lalu berkira-kiralah dia membelot membentuk parti baru.

Mutakhir ini sang pencipta virus KKS merasakan Mustafa Kamil Ayub memiliki kredibiliti yang mampu menghakis pengaruhnya. Sudah hampir pasti, Mustafa bakal menjadi mangsa seterusnya.

Nasib baiklah intrik beliau terhadap MB Selangor tidak mendapat sokongan, jika tidak... Wallahulalam.... kucar kacir punah ranahlah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Selalunya pembelot akan menuduh orang lain sebagai pembelot.

Okay, dia boleh menggelarkan sesiapapun kuda trojan, tetapi siapa tahu rupa-rupanya dialah bapak segala trojan!



Berkaitan:

* Apakah PKR Perak Akan Berkecai?
* PKR Perak: Siapa Yang Sudah Nyanyuk?

PANDANGAN CEHGU BARD BERHUBUNG PMPN

Respon terhadap jawatan lantikan
Sebuah media arus perdana melaporkan mengenai komen saya yang seolah saya mempertikaikan lantikan jawatan oleh KEADILAN. Ramai yang keliru di sini saya ingin tegaskan;

1. Adalah menjadi hak Presiden dan MPP menamakan jawatan lantikan khususnya ketua - ketua perhubungan namun elok juga diambil pandangan dari bawah. Saya tidak menolak tetapi menerima lantikan tersebut cuma menimbulkan beberapa keraguan untuk sama fikirkan.
2. Kita (KEADILAN) mencanangkan isu autonomi dan memperkasa semula semangat federalisma namun jika dilihat dalam mentadbir parti kita agak membelakangkan penegasan tersebut. Walaupun kita belum punya kekuatan mengadakan Kongres Negeri yang merialisasikan semangat autonomi / federalisma dalam hal biar anak negeri tersebut menamakan pimpinan negeri tersebut, namun kita juga masih boleh punya cara pungutan suara dikalangan pimpinan negeri. Namun kelihatan dalam beberapa perkara ia agak dipinggirkan. malah ada negeri yang dihantar ketua dari luar negeri tersebut.
3. Lantikan dari mereka yang kalah dalam proses demokrasi di cabang mungkin boleh dilihat tidak memperakui demokrasi. Ia perlu diterangkan dengan anggota dibawah.
4. Alasan yang tidak konsisten juga dilihat boleh mengelirukan anggota. Seperti ada pimpinan yang menolak jawatan pusat untuk membolehkan dia mentadbir negeri...tetapi dalam masa yang sama ada pimpinan yang memegang jawatan utama dan tanggungjawab besar masih dibenar menjadi ketua negeri.
5. Dalam satu hal kononya dilantik Ketua negeri bukan dari ketua cabang atas alasan untuk ketua cabang beri tumpuan membina cabang dan oleh kerana itu Ketua negeri dilantik dari mereka bukan ketua cabang untuk tumpu usaha penyelarasan negeri. Malangnya di negeri yang lain Ketua cabang boleh pula dilantik ketua negeri.

Ini antara perkara yang saya khuatirkan akan mengelirukan anggota jika tidak ditangani dan diterangkan dengan betul KEADILAN akan menghantar isyarat mengelirukan dengan alasan yang tidak konsisten dan dilihat tidak mengangkat demokrasi dan semangat autonomi serta federalisma yang dipertegaskan sendiri.

Saya faham ramai rasa kurang senang dengan kenyataan saya, tetapi saya akan gusar jika saya duduk dalam parti tua yang jumud. Perbezaan pendapat dan ransangan pemikiran bagi parti reformasi seperti KEADILAN sudah tentu diperlukan untuk memperkukuh parti.

14 Jan 2011

SEMUA PARTI MENGAMALKAN BUDAYA CANTAS

Mahathir bimbang budaya 'cantas-mencantas' dalam Umno Kedah
Muhayat Jasmin

KUBANG PASU, 14 Jan: Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed mendakwa wujudnya amalan 'cantas-mencantas' dalam Umno Kedah yang boleh menggugat usaha parti tersebut merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Kata Mahathir, tabiat yang sekian lama menjadi amalan pimpinan Umno ini harus segera dikikis sekiranya ingin memenangi semula pilihan raya.

"Masalah ini kerap berlaku dalam pimpinan Umno. Apabila ada orang lain hendak naik, maka yang tidak dapat naik akan cuba mencantas yang hendak naik. Manakala apabila ada orang yang tidak naik mendapat kenaikan, maka yang lain pula akan mencantas yang ini.

"Sikap buruk ini, sepatutnya tidak menjadi amalan dan dihapuskan sekiranya Umno dan BN ingin merampas kembali kerusi yang terlepas dalam pilihan raya umum yang lalu, " katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Giat Mara Prima di sini semalam.

Kata Mahathir lagi, tabiat buruk pimpinan Umno ini perlu dihapuskan bukan saja diperingkat kepimpinan tetapi juga sehingga ke peringkat 'grass root' .

Baru-baru ini Umno membuat rombakan kepimpinan di Kedah melibatkan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai pengerusi dan Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Sehubungan itu, ramai pemerhati melihat kenyataan terbaru Mahathir itu berkaitan dengan perlantikan anaknya yang dikatakan tidak disenangi sesetengah pimpinan Umno negeri itu.

Sebelum ini Mahathir juga pernah menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau terbabit dalam mempengaruhi keputusan pucuk pimpinan Umno dalam melantik anaknya sendiri sebagai timbalan pengerusi Umno Kedah atas tujuan untuk mempersiapkan tokoh muda itu sebagai Menteri Besar pada masa depan.

Siapakah KITA?

Siapakah KITA? / Who is KITA

Parti KITA (Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air) akan dilancarkan pada 19hb Januari nanti. Pelancaran ini bererti KITA akan memperkenalkan pendirian, rangka dan imej parti untuk pertama kalinya. Saya juga akan menghuraikan pada hari itu intipati prinsip perjuangan parti.

Ramai yang sudah menulis tentang betapa sukarnya untuk parti kecil ini mendapat sokongan; malah ramai pemerhati politik sudah pun meramalkan bahawa ia tidak akan kekal lama. Yang saya hairan: kalaulah begitu nasib KITA, mengapa pula ada yang marah kerana kononnya ini akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat dalam pilihan raya nanti? Kalau KITA ini tidak ada penyokong dan tidak akan kekal lama, mengapa perlu bimbang?

Buat masa ini saya hanya ingin menarik perhatian pembaca bahawa KITA adalah jauh berbeza daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pertama, KITA akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab. KITA tidak akan membantah semata-mata kerana dasar dan cadangan itu datangnya dari kerajaan. KITA akan menjadi pengkritik yang membina dan tertumpu pada isu-isu yang boleh memperbaiki kepentingan rakyat. KITA tidak akan menumpukan kepada masalah peribadi pemimpin ataupun menyerang hal-hal yang tidak ada dasar fakta yang jelas.

Kedua, KITA tidak akan takut untuk memperjuangkan perkara yang benar. Misalnya, KITA akan memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih berkesan dan meluas. KITA ingin melihat kaum bumiputera lebih berupaya mencari ilmu dengan penguasaan yang lebih meluas di dalam bahasa itu. Anwar Ibrahim akan berdiam diri kerana isu ini boleh menghilangkan sokongan pengundi, tetapi KITA tidak takut kehilangan undi kalau perkara itu penting untuk rakyat negara ini.

Ketiga, KITA tidak akan membuat janji yang tidak berasas. Misalnya, KITA tidak akan berjanji untuk memberi itu dan ini secara percuma kepada rakyat tanpa turut memberitahu rakyat beban baru yang perlu mereka pikul ekoran daripadanya. Kenyataannya, dalam dunia kewangan ini tidak ada yang percuma. Kemudahan yang diberi percuma mesti dibiayai oleh pihak lain, seperti melalui percukaian dan sebagainya. Gambaran yang penuh mesti diberi. Sumber baru kewangan mesti dicari dan diusahakan. Inilah tindakan parti yang lebih bertanggungjawab.

Keempat, KITA tidak akan menjadi parti yang mengampu dan memuji sesiapa. KITA juga tidak mahu berpolitik secara agresif dan selalu melawan, atau yang hanya tahu menentang sahaja. KITA akan berusaha untuk menjuruskan ke arah cara berpolitik yang lebih sihat, berdialog dan mencari konsensus secara baik.

Nantilah perkembangan KITA secara terperinci pada 19hb ini.

Selamat Bersua...Alhamdulillah.

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang melanjutkan umur kita semua, dengan tugasan masing-masing sebelum dipanggil kita balik untuk diperiksa dan dibalas seadil-adilnya.

Sepanjang 'bercuti', banyak isu timbul dan saya ketinggalan banyak hal kerana tidak mengaktifkan 'blackberry' di Mekah...kosnya terlalu tinggi. Lagipun, tak ada cybercafe atau internetcafe macam tempat kita. Mungkin orang tak peduli sangat hal 'dunia' kerana suasana hanya meransang jemaah untuk berulang ke masjid dan ibadat khusus fardhu haji.

Jadual asal 42 hari, tapi saya diarah pulang segera melalui telefon Ustaz Hasan " Bos kata mu ni macam orang Padang **** ... gi mekah lama-lama...dah habih keja haji dok tungu bok pa lagi, kelek cepat". Mu gi haba ke Hj Abu suruh urus balik cepat"...lebih kurang gitulah arahan yang mai. Saya pun keluar kad kredit pi beli tiket Saudi Arabia Airline, penerbangan paling awal dari Madinah ke Kuala Lumpur. Ambil teksi ke Madinah, sempatlah 4 hari saja di sana dan pulang seperti di arah. 35 hari sajalah...tak tau bila pulak Allah nak jemput sebagai tetamuNya lagi...harap-harap masuk senarai sekali lagi!

Masuk saja pejabat, banyak yang 'berselerak' dan terkalih...tidak seperti yang disusun seperti sebelum pergi. Rupanya, apa yang kita atur pun orang kalih mudah-mudah saja bila kita tak ada. Inilah dunia... habih berteraboq amanah yang kita genggam erat, bila ada pihak letak kepentingan diri di depan dari sebuah amanah di saat genggaman kita longgar dan ada yang mengidam. GLC oh GLC! Teguran saya sebelumnya tidak berbekas, malah makin merodak mencanak mencucuk mata!

Tak cukup dengan itu, kita pulak jadi mangsa fitnah dan sasaran tuduhan. Amboi mak! Besarnya ujian yang Allah susun untuk kita... Selepas membuat semua tindakan yang wajar dan perlu dalam kerangka diplomasi dan perundingan... peperangan juga satu alternatif. Maka terjadilah apa yang diperkatakan orang sebagai 'tindakan tidak bertamaddun'...tau ka depa apa disebalik itu? Tidak ada ayat untuk saya gambarkan tentang sikap beberapa kerat manusia yang suka mencipta masalah kepada orang lain.

Dalam waktu sama, Boooommmm! meletup lagi sebiji bom yang tak tau dari mana puncanya. GLC lagi! Dato' Hj Mahfuz... seorang Pemimpin Kanan Parti, sahabat, kawan, bekas majikan dan mentor saya meletak jawatan dalam Kedah Sato sdn bhd. tanpa sebarang kenyataan dan penjelasan. Dia memang sentiasa 'panas' dengan tindakan dan sikapnya dalam politik Malaysia. Dia menelefon saya memaklumkan dia sudah buat keputusan dan surat akan dikirim melalui fax. Katanya"Hang jangan berundur...Hang kena berdiri sebagai seorang pejuang, bukan orang salah! kes hang dengan aku tak sama. hang kena stay... aku harap hang boleh buat sesuatu untuk membetulkan keadaan".

Sepanjang tempoh panas itu, dia tidak memberi sebarang sebab musabab perletakan jawatannya. Sejak rapat dengan beliau pada 1997, dia tidak pernah mendedahkan apa-apa kalau perkara itu adalah 'rahsia'. Dia tidak akan bercerita tetapi sering bertanya. Sewaktu di KL sebelum berangkat ke Jakarta minggu lepas, dia menyebutkan "Aku tak buat apa-apa statement kepada media, depa cuma tanya apakah benar khabar aku letak jawatan...aku jawab YA! Takkan aku nak bohong kot. Hang tengok sat internet sebab ada orang dah hentam aku kata aku gila media. Aku nak pi Jakarta ni... Aku tak dak niat nak bertelagah dengan sesiapa. Aku letak jawatan sebab aku tak setuju dengan cara keputusan dibuat dalam syarikat, tak berniat langsung nak bertelagah dengan Ustaz Azizan atau Kerajaan Negeri." Esoknya, saya diseret dalam isu GLC dengan sebaran saya nak letak jawatan! (Saya akan mengulas dalam posting yang lain)

Saya belum ada akses internet di rumah, gara-gara banjir, saya terpaksa pindah rumah dan mulakan sekali lagi proses 'berumah'. Talian astro dan streamix belum dipindahkan. Di pejabat, akses internet ditapis...hanya laman web rasmi kerajaan sahaja boleh diakses. Saya 'buta' dan 'bisu' internet hingga berpeluang 'belayar' di Grand Season KL kelmarin. Wah! Wah! Banyak yang 'bersipongang' dalam internet dalam isu ini. Saya tak ada maklumat lengkap dalam isu tersebut sebab tak ada siapa nak bercerita sepenuhnya. Hanya setakat apa yang saya tahu, saya beri penjelasan ala kadar kepada kawan-kawan yang bertanya.

Kurang ajarnya si Buluhmadu.

Apapun kata buluhmadu, saya setuju dengan tulisan Zulkifli Yahya. Buluhmadu serang peribadi, dengan alasan andaiannya sendiri. Ya, asasnya betul dalam membuat justifikasi dalam keperluan projek Insaniah...tetapi dia terlalu biadap dengan menghina peribadi Mahfuz. Dia memberi komen diluar konteks isu ini. Tokoh sebesar Menteri Besar pun tidak membuat sebarang kenyataan, selain menyerahkan kepada siasatan...jika betul ada yang tidak betul, maka tiada siapapun yang akan dilindungi. Itu saja kenyataan MB.

Tak ada sebarang kenyataan rasmi dari mana-mana pihak yang terbabit dalam isu ini hingga kini. Hanya laman blog helangkedah.blogspot.com yang paling awal mencanangkan khabar, malah lebih awal dari Dato' Hj Mahfuz mengutus surat meletak jawatan. Ketua Pemuda BN membuat tindakan 'bangang' menggesa MB letak jawatan, dan lapor kepada SPRM, berasaskan laporan blog ini. Mana dia dapat maklumat lain saya tidak pasti. Saya berbincang dengan Ketua Pemuda Ustaz Ahmad Yahya untuk membuat kenyataan media tentang isu yang keluar di akhbar... membuat statement mendedahkan butiran yang dilaporkan kepada SPRM adalah menyalahi Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009.

Eh! panjang pulak posting ni...saya akan menulis sedikit sebanyak tentang Hj Mahfuz yang saya kenal untuk menjawab tuduhan kurang ajar itu. Susah nak berhenti bila menulis semula kerana banyak hal yang berlaku...tak mungkin saya mampu menjawab semua. Apapun, saya yakin Dato" Hj Mahfuz tenang dan 'firm' atas pendiriannya. Tolang pun kena sabar dan tenang juga. Antara tulisan lain yang nak kena komen sikit-sikit "Kolam dan Tuan kolam"...menarik jugak tu!

SETPOL MB KEDAH