SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

31 Ogo 2011

MEMALUKAN:Malaysia tidak mempunyai obligasi perundangan untuk melindungi SUAKA POLITIK

Mahkamah Australia: Perjanjian hantar pencari suaka ke Malaysia tak sah

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Mahkamah Tinggi Australia hari ini memutuskan perjanjian berhubung urusan pertukaran pencari suaka antara Canberra dan Putrajaya sebagai tidak sah.
Akhbar Sydney Morning Herald memetik Australian Associated Press melaporkan, Ketua Hakim Robert French memutuskan “deklarasi yang telah dibuat... dibuat tanpa kuasa dan oleh itu tidak sah.”

Justeru, mahkamah memutuskan tiada pencari suaka politik boleh dihantar ke Malaysia oleh kerajaan Australia.

Mahkamah mengadakan sidang khas minggu lalu untuk mempertimbangkan hujahan oleh para peguam yang mewakili sekumpulan ‘orang hanyut’ yang mahu rancangan penghantaran 800 pencari suaka ke Malaysia dibatalkan.

Barisan peguam itu berpendapat Menteri Imigresen Chris Bowen tidak mempunyai kuasa untuk menghantar pencari suaka ke Malaysia kerana negara itu tidak mempunyai obligasi perundangan untuk melindungi mereka.

Mereka juga berhujah bahawa penghantaran kanak-kanak tanpa ditemani orang dewasa ke Malaysia merupakan pengabaian tugas Bowen sebagai penjaga di sisi undang-undang untuk bertindak demi kepentingan mereka.

Mewakili seorang pencari suaka remaja yang tiba di Australia selepas perjanjian dengan Malaysia dimeterai bulan lepas, peguam remaja itu, Richard Niall, memberitahu mahkamah minggu lalu bahawa penghantaran ke Malaysia bukan merupakan kepentingan anak guamnya itu.

Mengikut perjanjian dengan Malaysia, Australia akan menghantar 800 pencari suaka yang tiba di negara itu dengan bot, ke Malaysia bagi diproses tuntutan mereka untuk diisytiharkan sebagai pelarian.

Australia pula akan menerima 4,800 pendatang dari Malaysia yang sudah diberi status pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan yang diperoleh menyebut, “selepas pendengaran yang dipercepatkan di hadapan panel penuh, mahkamah dengan suaka majoriti mengekalkan injunksi yang dikeluarkan sebelum ini dan menghalang menteri daripada membawa keluar dua pencari suaka, yang tiba di Christmas Island ke Malaysia, sebagai sebahagian daripada kumpulan besar, kurang empat minggu lalu.”

Mahkamah juga memutuskan bahawa pencari suaka bawah 18 tahun yang tidak ditemani oleh sesiapa tidak boleh dibawa keluar dari Australia tanpa kebenaran bertulis menteri.

Mahkamah memutuskan menteri tiada kuasa di bawah Akta Migrasi untuk memindahkan pencari suaka dari Australia, yang permintaan perlindungan mereka belum dipastikan lagi.

Pencari suaka hanya boleh dibawa ke sebuah negara yang secara sah telah diisytiharkan di bawah akta itu, yang boleh menyediakan akses dan perlindungan selain memenuhi standard-standard yang ditetapkan.

Laporan semalam menyebut kerajaan Australia menawarkan kepada pencari suaka yang bakal dihantar ke Malaysia, geran sehingga A$4000 (kira-kira RM12,725) untuk pulang ke negara asal mereka.

Kerajaan telah menyerahkan geran itu kepada 77 pencari suaka sejak program “bantuan integrasi semula” diperkenalkan pada November lalu.

Program itu menawarkan kepada pencari suaka yang gagal mendapatkan suaka, wang tunai dan pembayaran lain untuk pulang ke negara asal dan ratusan dijangka menerima pakej kewangan bagi tahun ini selepas kerajaan memperuntukkan bajet A$7 juta (kira-kira RM22.2 juta) bagi program itu.

Pada 25 Julai lalu, Malaysia dan Australia menandatangani perjanjian bersejarah bagi pertukaran pelarian dan pemohon suaka di antara kedua-dua negara.

Perjanjian itu, yang pertama seumpamanya ditandatangani di dunia, dengan matlamat jangka panjang untuk mengekang aktiviti sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia serta jenayah rentas sempadan.

Perjanjian itu adalah bagi pertukaran 4,000 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dengan 800 orang dari Australia dalam tempoh empat tahun. Kesemua pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Program pertukaran selama empat tahun itu dianggarkan menelan belanja A$296 juta dan akan dibiayai kerajaan Australia.

Perjanjian itu membenarkan pihak berkuasa Malaysia menyaring para pelarian bagi memastikan mereka bukan dalam senarai pengganas dikehendaki atau pendatang asing tanpa izin sebelum dihantar ke Malaysia.

Pelarian yang tersenarai dalam perjanjian pertukaran akan mempunyai kad pengenalan khas dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Australia.

Putrajaya berkata ketika berada di Malaysia, pelarian berkenaan akan ditempatkan di pusat persinggahan selama 45 hari sebelum ditempatkan dalam masyarakat.

Malaysia tidak menandatangani konvensyen PBB mengenai Pelarian kerana negara tidak mampu untuk memberi akses keperluan utama seperti peluang pendidikan, pekerjaan, rumah perlindungan kepada pelarian kerana masih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan daripada aspek ini.-tmi