SADA dikorporatkan bukan diswastakan
Oleh: AMELIA HASHIM
ALOR SETAR, 11 Januari: Menteri Besar Kedah melahirkan rasa kesal dengan pihak-pihak tertentu yang telah mencetuskan keresahan di kalangan rakyat dengan isu kenaikan tarif air di negeri ini setelah Jabatan Bekalan Air (JBA) dikorporatkan awal tahun ini.
Katanya, rakyat hendaklah faham antara pengkorporatan dengan pengswastaan. Pengkorporatan dari JBA ke Syarikat Air Darul Aman (SADA) masih dalam proses penyusunan pentadbiran.
“Pengswastakan banyak dilaksanakan oleh kerajaan dahulu dan kerajaan sekarang tidak bercadang menswastakan mana-mana jabatan pun. Amalan kita dalam menerajui pemerintahan adalah ke arah memberi kesejahteraan kepada rakyat, kita tidak akan membebankan rakyat,” katanya kepada kepada wartawan selepas majlis perjumpaan bersama pentadbir dan pelajar Kolej Universiti Insaniah di sini.
Menurutnya, pengkorporatan JBA kepada SADA adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan pusat di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
Katanya, pengalaman pengswastaan di negeri ini banyak merugikan. Contohnya kerajaan dahulu telah mengswastakan bekalan air di Langkawi kepada Teliworks. Ekoran dari itu tahun lalu sahaja Kerajaan Negeri terpaksa membayar sebanyak RM 39 juta kepada Teliworks sedangkan kutipan hasil air hanya mencecah RM14.5 juta. Ini tidak termasuk bayaran kepada Loji Air Utara di Sungai Petani dan bebanan bayaran ini akan ditanggung Kerajaan Negeri sehingga tahun 2020.
“Kita tidak mahu mendedahkan kepada siapa projek ini diswastakan dan cara syarat pengswastaan yang merugikan Kerajaan Negeri, pihak syarikat tidak bertanggungjawab ke atas jumlah kutipan balik. Mereka juga tidak bertanggungjawab terhadap kerugian akibat kecurian air atau kerosakan, paip bocor akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Rakyat hendaklah faham bahawa tujuan JBA dikorporatkan adalah untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan kepada pengguna. Untuk itu kerajaan melalui SADA sedang giat memperbaiki paip-paip yang bocor dan akan memastikan setiap premis kediaman atau perniagaan akan mendapat bekalan air yang memuaskan.