SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

28 Apr 2008

KERAJAAN KEDAH MANSUHKAN PERANAN JKKK

Oleh: Tun Telanai- Laman M@RHAEN

Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil tindakan memansuhkan peranaan yang dimainkan oleh JKKK sebelum ini. Peranan JKKK akan diambilalih oleh Penghulu Mukim. Oleh itu, tidak ada sebarang perlantikan JKKK baru yang akan dibuat oleh Kerajaan negeri, tetapi sistem pemilihan [bukan melalui perlantikan] Ketua Kampung akan dilaksanakan semula. Perkara ini sedang diteliti oleh kerajaan Negeri. Demikian dinyatakan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan bin Abdul Razak di Majlis Kesyukuran PAS Kawasan Padang Terap pada 26 April lalu.
Dalam majlis yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun ini Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.7 juta untuk menambahbaikan Sekolah Agama Rakyat [SAR] yang terdapat di seluruh negeri Kedah. Kerajaan Negeri juga kata beliau telah mengambil tindakan untuk menaikkan gaji kakitangan SAR setaraf gaji mengikut Skim Saraan Baru [SSM] bagi meningkatkan prestasi pendidikan di SAR serta menjaga kebajikan kakitangannya. Guru-guru Lembaga juga akan turut menikmatinya sedikit masa lagi.
Ustaz Azizan juga memberitahu, sebaik sahaja Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan, tindakan pertamanya ialah membatalkan MoU dengan sebuah syarikat luar negeri yang merancang membina sebuah projek Zon Industri Petroleum Yan [ZIPY] di atas tanah sawah orang Melayu yang subur seluas 3,000 hektar. Sebaliknya,Kerajaan Negeri memindahkan projek tersebut ke kawasan laut yang ditambak agar tanah rakyat dapat diselamatkan dan in membuktikan bahawa kerajaan tidak anti kepada pembangunan yang membawa keuntungan kepada rakyat.
Kerajaan katanya akan berusaha menambah tanah sawah sebagai satu peluang pekerjaan, menambah pendapatan rakyat serta meningkatkan pengeluaran padi bagi menampung kekurangan bekalan beras dunia. Beliau telah mengarahkan MADA mencari jalan supaya para petani dapat menanam padi sebanyak 5 kali dalam tempoh 2 tahun.
Beliau juga memaklumkan Kerajaan Negeri telah menubuhkan Lembaga Pertanian Kedah yang fungsinya ialah memasarkan buah-buah tempatan yang dianggapnya berpontensi untuk dieksport ke luar negara.
Gambar-gambar disekitar Majlis Kesyukuran Pas Kawasan Padang Terap: