SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

28 Apr 2008

PKR: Azizah bukan ketua pembangkang lemah
Apr 28, 08 1:07pm
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail - dengan gayanya yang lemah lembut dan tidak agresif - tidak akan menjadi ketua pembangkang yang lemah di Dewan Rakyat, kata naib presidennya Mohd Azmin Ali. "Walaupun dalam kelembutannya tetapi mesej yang akan disampaikan itu cukup tegas untuk memastikan agenda reformasi diteruskan. "Dan saya percaya beliau sedang menyiapkan ucapan sulungnya yang akan disampaikan pada pertengahan minggu depan," kata Azmin, yang juga ahli parlimen Gombak, dalam wawancara dengan Malaysiakini, Jumaat lepas.

Wan Azizah, ahli parlimen Permatang Pauh, terpilih sebagai ketua pembangkang selepas partinya menguasai 31 kerusi, manakala DAP 28 dan PAS 23.Beliau mencipta sejarah sebagai ketua pembangkang wanita pertama di parlimen. Ketua pembangkang sebelum ini Lim Kit Siang, seorang tokoh utama DAP yang lantang, memegang jawatan itu hampir tiga dekad. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah memegang jawatan itu selepas menggantikan allahyarham Datuk Mohd Fadzil Noor antara 1999 hingga 2004.Sesi pertama sidang parlimen ke-12 bermula hari ini dengan upacara angkat sumpah semua anggota Dewan Rakyat dengan dimulakan dengan yang dipertua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan diikuti perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Seramai 222 ahli, termasuk 82 ahli parlimen Pakatan Rakyat, menyertai upacara itu di depan yang dipertuanya pagi ini.Ia diikuti timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri kanan dan menteri-menteri yang baru sebelum disusuli ahli-ahli Dewan Rakyat.

Penggal pertama akan berlangsung sehingga 27 Mei, diikuti sesi kedua yang dijadualkan 23 Jun hingga 15 Julai dan ketiga antara 18 Ogos hingga 11 Disember. Mesyuarat mingguan itu antara Isnin hingga Khamis bermula jam 10 pagi hingga 5.30 petang dengan waktu rehat selama 90 minit selepas 1 petang. Kabinet dan BN berdepan dengan senario baru dalam Dewan Rakyat kali ini apabila majoriti dua pertiganya berjaya dinafikan dalam pembangkang.Seramai 99 daripada 222 wakil rakyat terdiri muka baru. Jumlah wakil pembangkang meningkat empat kali ganda, daripada 20 orang penggal lalu kepada 82 kali ini.