SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

25 Mei 2008

Tian Chua saran penduduk pertahankan tanah rizab Melayu
Adnan Ibrahim Sun May 25, 08 3:04:02 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyeru penduduk Kampung Padang Balang, Gombak, di sini supaya mewujudkan satu mekanisme bertujuan mendapatkan keputusan terbaik apabila kerajaan mengambil tanah mereka nanti. -->-->
Bercakap dalam satu majlis dialog bersama penduduk di situ, beliau menasihatkan penduduk mempertahankan tanah rizab Melayu dan tradisi serta budaya kampung supaya tidak mudah diambil kesempatan pihak berkuasa untuk kepentingan mereka.
Menurut beliau, Kampung Padang Balang termasuk dalam laluan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) dalam draf pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagaimanapun penduduk diberi masa sehingga Ogos ini bagi menyatakan masalah mereka terutama tanah yang akan diambil untuk projek tersebut. "Kita harap penduduk boleh buat satu jawatankuasa yang diwakili pelbagai pihak terutama tuan punya tanah terlibat. Kita harap pada Jun ini kita boleh bincang dengan jawatankuasa tersebut," ujarnya yang juga terkenal sebagai aktivis perjuang tanah rizab Melayu sebelum menjadi ahli Parlimen lagi.
Dalam perjumpaan tersebut, beliau juga menerima banyak aduan terutama kawasan kampung yang disenarai hitam denggi, banjir setiap tahun, pengurusan sampah kurang sempurna, penagih dadah, penduduk asing dan keselamatan kampung.

Perkara ini disuarakan Iman Masjid Kampung Padang Balang, Muhammad Besar dan Ketua PAS Cawangan Padang Balang, Shamsudin Yaakob.
Mengenai permintaan agar pihak polis mengadakan rondaan kampung, beliau berkata ia boleh dilakukan dan pihak polis kebiasaannya membuat kawalan tersebut apabila ada permintaan tetapi selepas itu ia akan kembali seperti biasa.
"Perlu ada perbincangan bagaimana bentuk yang lebih sesuai supaya soal keselamatan itu boleh ditangani secara berterusan," ujarnya dalam majlis itu semalam di Pasti Kampung Badang Balang yang dihadiri lebih 100 orang.
Mengenai denggi beliau berkata, penyemburan asap yang sering dilakukan di kawasan yang dikenal pasti denggi tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya perlu ada perubahan mentaliti bagaimana mewujudkan kampung yang bersih dan selamat.
"Ini soal perparitan dan saliran. Jika parit sempurna secara tidak langsung kampung bersih. Saliran yang baik juga dapat mengatasi masalah banjir," katanya.

Bagaimanapun dalam soal banjir itu beliau menyifatkan kerajaan tidak serius menangani masalah rakyat sebaliknya apa yang diambil kira kerajaan projek yang menguntungkan mereka.
"Bukan tidak ada cadangan projek atasi banjir dikemukakan kepada kerajaan tetapi yang mereka lulus projek yang mereka fikir boleh dapat wang. Seperti lorong smart kerana lorong itu boleh buat tol, dapat duit," ujarnya.
Dalam lawatannya ke kawasan parlimen, beliau juga menerima banyak cadangan terutama mewujudkan kemudahan perubatan seperti klinik desa dan mengadakan sistem pengurusan sampah yang sempurna.
"Tanggapan pembangunan hanya bangunan besar dan tinggi perlu dihapus. Pembangunan juga meliputi infrastruktur seperti parit saliran yang baik, perkampungan bersih serta kemudahan kelas pertama. Pembangunan inilah yang boleh mengatasi masalah banjir dan denggi," ujarnya menjawab pertanyaan penduduk.