Meriahnya Langkawi..
Langkawi maju penduduk mesra
SEBAGAI warga yang berkhidmat di Kuala Lumpur lebih daripada 10 tahun, saya sentiasa menunggu peluang untuk bercuti bersama keluarga di musim cuti sekolah. Kesempatan cuti sekolah baru-baru ini membawa saya berehat bersama keluarga di Pulau Langkawi selama empat hari.
Langkawi sentiasa berubah wajah setiap kali saya berkunjung ke sana. Tahniah kepada pelbagai pihak yang membangunkan Langkawi. Apa yang membanggakan saya, walau pun wujud perubahan dari segi pembangunan dan prasarana, sikap warga Langkawi tetap sama dan tidak banyak bezanya.
Tiba di Jeti Kuah sudah meriah dengan pelbagai tawaran istimewa penyewa kereta, perkhidmatan teksi, malah ada yang bersikap ramah menawarkan perkhidmatan rekreasi dan tempat tinggal. Sungguh mudah urusan saya dari jeti hingga ke hotel tempat tinggal saya dengan bayaran teksi yang berpatutan.
Saya tidak ketinggalan menyewa sebuah kereta Proton Wira yang hanya RM70 untuk satu hari yang pada saya sungguh berbaloi dengan keadaan kereta yang bersih dan berkeadaan baik. Harga makanan juga sungguh berpatutan dan saya masih boleh membeli kuih dan nasi lemak dengan harga seolah-olah seperti dua atau tiga tahun yang lepas.
Tidak nampak di mata saya warga Langkawi cuba mengambil kesempatan menaikkan harga makanan di musim cuti sekolah walaupun sedar saya ‘orang luar’ yang berkunjung ke tempat mereka. Saya sungguh terharu mendapat layanan ramah mesra mak cik-mak cik dan kakak-kakak yang menjual kuih-muih bertanyakan itu dan ini kepada saya.
Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Langkawi dan berharap Langkawi terus kekal sebagai destinasi yang menjadi pilihan pelancong. Ingatlah, kekalkan kualiti Langkawi, pasti pengunjung akan datang lagi.
Kuala Lumpur