SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

4 Jul 2011

Najib Tidak Hayati Titah Agong, Kata PKR


SHAH ALAM 4 JULAI :Dengan menawarkan stadium untuk perhimpunan Bersih, Perdana Menteri Najib Razak cuba mengelak daripada menagani isu asas penganjur majlis itu iaitu keperluan memastikan pilihanraya ke 13 adalah adil dan telus.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua berkata Najib juga gagal menghayati pesanan yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mahukan kerajaan menggalas amanah rakyat secara adil dan bijaksana.

“Isunya bukan stadium, isunya adalah isu pokok seperti yang telah dinasihat oleh Yang diPertuan Agong iaitu Kerajaan mesti ada keikhlasan untuk menangani dan menjawab penyelewengan dalam sistem pilihan raya. Itu isu pokoknya,” kata Tian.

Najib pagi tadi mendakwa kerajaan kini bersedia untuk membenarkan perhimpunan Bersih diadakan di sebuah stadium. Bagaimanapun beliau sekali lagi meremehkan tuntutan-tuntutan Bersih bersabit kewibawaan pilihanraya negara ini.

“Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” Najib dipetik berkata oleh Bernama.

Menurut Tian Chua , Najib tidak menunjukkan keikhlasan terhadap semangat titah Yang di Pertuan Agong semalam yang mengutarakan dialog dalam mengatasi sebarang kemelut.

“Nampaknya Najib tidak faham akan nasihat daripada Agong . Agong suruh Bersih dan kerajaan duduk berunding untuk menyelesaikan penyelewengan dalam sistem pilihan raya supaya demokrasi dapat di peliharakan,” kata beliau.

Tambah Tian Chua tujuan rakyat berarak untuk satu jarak yang pendek Sabtu depan adalah bagi memperlihatkan suara rakyat.

“Kita berarak kerana kita ingin tunjukkan bahawa suara rakyat ini harus dihormati . Juga kita mempunyai hak untuk berhimpun dan bersuara dan kerajaan tak pernah menghormati hak itu,” kata beliau.

Menurut Tian Chua, Himpunan Bersih 2 dilakukan setelah rundingan hampir setahun dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak mendatangkan hasil.

“Bersih dah lalui hampir satu tahun berunding dengan SPR dan SPR tidak memberi sebarang komitmen untuk pertama hapuskan undi pos atau untuk gunakan dakwat kekal serta mengemaskinikan pendaftaran pengundi dan sebagainya. Tidak ada sebarang kemajuan dalam isu-isu ini walaupun kita sudah runding satu tahun ,” kata Tian.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Hatta Ramli menerima baik titah Yang DiPertuan Agong.

Tuanku Mizan semalam bertitah bahawa bagi “setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Dr Hatta kecewa kerana polis bertindak sebaliknya dan menangkap hampir 200 orang semata-mata kerana memakai baju dengan logo Bersih.

“Jadi ertinya dalam memastikan Himpunan Bersih ni aman dan baik jadi kerajaan kena berlaku adil bukan dengan menangkap , bukan dengan menyumbat orang ke dalam lokap , merampas sana sini,” kata beliau.

“Tapi kerajaan hendaklah berlaku adil dengan memberi kawalan . Jadi itu yang saya berpandangan perutusan Yang DiPertuan Agong itu. Memang Baginda risau. Baginda prihatin terhadap tangkapan-tangkapan dan kenyataan polis bahawa tak boleh berbincang lagi, sedangkan Baginda suruh berbincang.” tambahnya.

Beliau turut meminta kerajaan Pusat menerima nasihat Yang DiPertuan Agong untuk mengadakan rundingan dengan pihak Bersih.

“Jadi itu yang kita pinta supaya kita dikawal dan Agong mengarahkan supaya pintu perbincangan dibuka , bukan seperti polis, Timbalan Ketua Polis Negara kata, dah tutup,tak mahu bincang lagi dah. Itu tindakan sombong polis.” kata beliau.