SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

27 Ogo 2011

3 Ahli Parlimen dari kawasan Sungai Petani, Merbok dan Jerai berjumpa 3 jam dengan YDP MPSPK Ahli majlis diminta henti boikot

Ahli majlis diminta henti boikot

SUNGAI PETANI – Seramai 17 Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) yang memboikot

untuk tidak menghadiri kesemua mesyuarat sejak 29 Mei lalu diminta supaya tidak lagi berbuat demikian setelah perundingan dilakukan bersama Yang Dipertua (YDP) MPSPK, Rozaina Datuk Radzi kelmarin.

Keputusan itu diambil berkuat kuasa pada 25 Ogos setelah tiga Ahli Parlimen dari kawasan Sungai Petani, Merbok dan Jerai melakukan perbincangan khas bersama YDP petang kelmarin di sini, sebelum mempersetujui supaya masalah yang berlaku boleh diselesaikan secara baik sekiranya kedua-dua pihak bertoleransi.

Tiga Ahli Parlimen berkenaan termasuk Datuk Johari Abdul (Sungai Petani), Datuk Rashid Din (Merbok) dan Mohd Firdaus Jaafar (Jerai) membuat arahan berkenaan setelah kata putus dicapai menerusi perbincangan yang dilakukan selama dua jam.

Johari berkata, YDP bersedia berhadapan dengan permasalahan yang berlaku dan bersetuju akan memberikan perhatian terhadap apa yang diluahkan ahli majlis menerusi memorandum yang sudah diserahkan kepada beliau.

“YDP bersedia ingin memulihkan keadaan dan berharap ahli majlis juga bersedia untuk berbincang dan masuk semula mesyuarat supaya tugasan yang tergendala berjalan lancar.

“Kita juga tidak mahu ada rungutan daripada rakyat bahawa tiada tempat mahu mengadu masalah setelah 17 ahli majlis boikot untuk tidak mahu masuk mesyuarat,” katanya semasa sidang media diadakan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar tidak dapat bersama media kerana ada urusan lain di kawasannya.

Johari berkata, tindakan ahli majlis juga dijadikan alasan kepada kakitangan lain dengan menyatakan mereka tidak boleh buat kerja apabila ahli majlis tiada.

Katanya, mana-mana ahli majlis yang tidak dapat mengikut arahan berkenaan akan dikenakan tindakan.

“Kami akan memantau pergerakan mesyuarat bagi memastikan kelancaran yang baik selain mahu tugasan berjalan seperti biasa kerana tidak mahu hak rakyat yang menjelaskan cukai terabai,” katanya.

Selain itu, apabila ditanya beliau menafikan keputusan yang dibuat menyebabkan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu berpihak kepada YDP tetapi lebih memikirkan kepentingan rakyat yang menanggung kesan akibat pergolakan itu.

Sinar Harian pada 30 Mei lalu menyiarkan laporan berhubung tindakan 17 ahli majlis yang memboikot dari menghadiri kesemua mesyuarat setelah tidak berpuas hati dengan pentadbiran YDP.

Sementara itu, usaha wartawan menghubungi Ketua Whip Ahli Majlis Ishak Man, enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Kita tunggu masa lain, saya sendiri akan panggil media berhubung perkara ini,” katanya.