SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA
4 Dis 2009
MIER: Pelabur asing tak endah 'gula' insentif
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyeru agar kerajaan mengkaji semula, dan membatalkan sistem insentif yang diberikan kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI). Secara terus terang, MIER menyatakan bahawa insentif gagal menarik pelaburan asing.
Sebaliknya, kerajaan perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan gejala rasuah dan birokratik di Malaysia agar mewujudkan suasana perdagangan yang mesra kepada pelabur asing.
Selain itu, MIER menganggap Model Ekonomi Baru yang diketengahkan kerajaan Najib mungkin menghadapi masalah. Pengurangan kebergantungan kepada eksport, dan mengalih kepada ekonomi perkhidmatan yang berdasarkan keperluan dalaman sebagai langkah perangsangan ekonomi, mungkin tidak sesuai memandangkan Malaysia hanya mempunyai populasi yang rendah.
Seandainya kerajaan tetap menongkah arus globalisasi, maka ia mungkin berakhir dengan kesudahan yang negatif.
Ketika berucap dalam National Economic Outlook Conference 2010-2011 semalam, Pengarah Eksekutif MIER, Prof Emeritus Mohammed Ariff Abdul Kareem mengutarakan pandangannya bahawa tawaran insentif mungkin tidak membantu untuk menarik pelabur asing, kerana mereka tidak mengendahkan "gula" sedemikian.
Tidak tamakkan insentif
Mohammed Ariff berkata, apa yang diperlukan oleh pelabur asing adalah suasana yang mesra dan memberi kemudahan untuk pengurusan perdagangan, supaya perniagaan diusahakan dengan cepat dan berkesan. Berbanding dengan "gula" seperti insentif, gejala rasuah dan birokratik mendatangkan kesan yang lebih besar dalam operasi perniagaan.
Mohammed Ariff (gambar kiri) berkata, "Seandainya kerajaan mampu menyediakan satu suasana yang mesra kepada perniagaan, pelabur asing tidak akan mengendahkan 'gula' di atas kek (ekonomi) ini. Kerana pelabur asing akan memperolehi keuntungan dalam suasana perniagaan yang baik, manfaat yang diperolehi lebih besar berbanding dengan insentif."
Selain itu, Mohammed Ariff menganggap insentif yang dibekalkan akan mengehadkan pasaran dan persaingan bebas, tidak membantu untuk menarik pelabur asing jika dilihat dari jangka panjang. Justeru itu, Mohammed Ariff mencadangkan agar kerajaan membatalkan sistem insentif untuk FDI agar mereka dapat bersaing dengan bebas.
Pada masa yang sama, Mohammed Ariff menyeru kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang mendatangkan kesan besar dalam perdagangan, misalnya birokratik dan rasuah, agar mewujudkan satu suasana yang mesra untuk perniagaan. Seandainya pelabur asing mengaut keuntungan dalam suasana perniagaan yang baik, maka kerajaan akan memperolehi manfaat melalui cukai.
Malaysia jauh ketinggalan
Mohammed Ariff mengambil Singapura sebagai contoh, untuk menunjukkan bahawa sesebuah negara tidak perlu menawarkan insentif, tetapi hanya perlu untuk mewujudkan suasana perniagaan yang ideal untuk pelabur asing.
Dalam hal ini, Malaysia jauh ketinggalan, malah gagal membandingkan diri dengan negara di rantau ini. Mohammed Ariff memetik "Doing Business 2010 Rank" yang dikemukakan oleh Bank Dunia pada 2009 untuk menunjukkan bahawa negara maju seperti Singapura, New Zealand, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Britain menduduki lima tempat tertinggi. Malaysia yang sedang menuju ke arah negara maju, hanya menduduki tempat ke-23.
Selain itu, Indeks Persepsi Rasuah Malaysia jatuh dari tempat ke-36 pada tahun 2001 ke tempat ke-56 pada tahun 2009 (kedudukan semakin tinggi bermaksud semakin bersih), jauh ditinggalkan negara maju yang lain.
Malah, dari segi pencukaian individu dan perusahaan, Malaysia juga gagal mengikut rentak pesaingnya seperti Singapura dan Hong Kong. Kini, pencukaian individu dan perusahaan di Singapura dan Hong Kong berada di antara 15% hingga 17%, namun Malaysia pula mencatat 25% hingga 26%.
Pada masa yang sama, menurut Global Cities Index 2008 oleh A.T.Kearney, Kuala Lumpur jauh ketinggalan berbanding dengan bandar-bandar utama di Asia, seperti Tokyo, Hong Kong, Singapura dan Seoul, dari segi aktiviti komersial, sumber tenaga manusia, kelancaran informasi, budaya dan penyertaan politik.
Mohammed Ariff beranggapan bahawa kerajaan Malaysia perlu menyelesaikan masalah-masalah tersebut terlebih dahulu.
Apa yang baru dalam Model Ekonomi Baru?
Selain itu, Mohammed Ariff secara terus terang mendakwa bahawa tiada sesuatu yang "baru" dalam Model Ekonomi Baru atau negara berpendapatan tinggi yang dikemukakan oleh Najib, sekadar memenuhi apa yang termaktub dalam Wawasan 2020 yang diutarakan Mahathir Mohamad. Pada hakikatnya, ketika Wawasan 2020 dikemukakan pada tahun 1990-an, matlamat yang digariskan adalah peralihan ekonomi kepada negara berpendapatan tinggi.
Namun, Mohammed Ariff menganggap pengurangan kebergantungan kepada negara Eropah dan Amerika (iaitu eksport), malah beralih kepada ekonomi perkhidmatan yang berorientasikan keperluan dalaman, mungkin bukan pilihan yang sesuai.
Menurut Mohammed Ariff, Malaysia hanya sebuah negara kecil dengan populasi sebanyak 27 juta orang, gagal mewujudkan satu pasaran besar yang didorong keperluan dalaman. Dalam keadaan sedemikian, agak sukar untuk Malaysia meniru cara sesetengah negara membangun dengan populasi yang besar.
"...(keperluan dalaman) bukan, dan tidak dapat menjadi pengganti kepada pasaran eksport. Seandaianya kerajaan tetap menongkah arus globalisasi, mungkin akan menerima akibat di sebaliknya," kata Mohammed Ariff.
Beliau berpendapat, langkah yang lebih realistik adalah memperluaskan intra-regional trade, atau meneroka pasaran baru, untuk mengurangkan kebergantungan kepada negara Eropah dan Amerika Syarikat