SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

4 Dis 2009

Selangor perlu ambil iktibar dari Kelantan

Neo Chee Hua | Dec 03, 2009 06:23:52 pm



Selain menstruktur semula ekonomi Selangor, Menteri Besar Selangor Pakatan Rakyat, Khalid Ibrahim juga memperbetulkan pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh bekas kerajaan negeri Barisan Nasional.

Antaranya, kerajaan PR negeri Selangor mengumumkan untuk menghentikan model kerjasama hartanah yang diamalkan selama ini, iaitu membekalkan tanah kepada kontraktor secara percuma, kemudian keuntungan dibahagi mengikut nisbah 7:3. Penyelewengan kerap berlaku dalam projek sedemikian. Dalam tempoh 30 tahun yang lalu, penyelewengan sedemikian dianggarkan telah mengakibatkan kerugian kerajaan negeri sebanyak RM30 bilion.

Pada masa yang sama, Khalid Ibrahim (gambar kiri) telah menutup saluran Rent Seeking, yang menjadikan syarikat GLC sebagai kroni. Kerajaan Selangor telah mengarahkan agar semua wakil rakyat dan ADUN tidak boleh terlibat dalam dasar dalam Jabatan Tanah.

Malah, beliau menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada MB dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mendeklasifikasikan dokumen sulit, lantas mendedahkan kes penyelewengan yang berlaku. Bekas kerajaan bersama kontraktor kroni telah melobi 383 orang pemilik tanah untuk menyertai rancangan pembangunan tanah, yang berakhir dengan akibat kerugian 3,436 orang pembeli rumah, sebaliknya pembangun telah memperoleh tanah yang bernilai lebih daripada RM300 juta.

Antara nama yang disebut termasuklah Miskon @ Miskam, dan dua orang bekas MB, iaitu Hormat Rafei dan Abu Hassan Omar.

Selain itu, Khalid mendedahkan 7 anak syarikat di bawah kerajaan negeri Selangor telah menunggak hutang cukai tanah yang jumlahnya lebih daripada RM 100 juta, dari tahun 2007 hingga 2009, dan menuntut balik hutang ini dengan pelbagai langkah.

Menteri Besar Incorporated

Menteri Besar Incorporated (MBI) yang diterajui Khalid Ibrahim sendiri telah memainkan peranan yang penting dalam penguasaan sumber ekonomi negeri melalui syarikat GLC.

Menurut laporan Star pada 3 November, MBI telah menjadi sayap pelaburan kerajaan negeri Selangor setelah disusun semula pada awal tahun ini. Hampir semua syarikat GLC Selangor telah diletakkan di bawah MBI, termasuklah Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Permodalan Negeri Selangor Bhd, MSNS Holding, Pusat Pelaburan Selangor Berhad, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Rantaian Mesra Sdn Bhd, Pendidikan Industri Yayasan Selangor Berhad, Kelab Golf Bukit Beruntung dan Tourism Selangor Sdn Bhd.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, pelaburan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008 telah bertambah sebanyak RM80.72 juta. Antaranya, pelaburan am telah bertambah RM59.50 juta, terutamanya di Kelab Golf Bukit Beruntung (RM55.00 juta), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM2.5 juta) dan Rantaian Mesra Sdn Bhd (RM2.00 juta).

Dalam pelaburan di Kelab Golf Bukit Beruntung, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor telah mengalihkan saham kepada MBI dengan RM55.00 juta, sebagai pampasan sebahagian daripada pinjaman. Selain itu, Kumpulan Semesta yang ditubuhkan pada Jun 2008, bertanggungjawab kepada industri pasir dan perlombongan di Selangor. Rantaian mesra pula, menawarkan insuran Islam dan perkhidmatan perubatan percuma untuk warga emas.

Selain itu, Khalid Ibrahim telah memansuhkan Power of Attorney yang diperuntukkan kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad untuk menguruskan Dana Kumpulan Perbadanan Menteri Besar, dan mengalihkan baki dana sebanyak RM300 ribu kepada MBI.

MBI mendominasi pembelian air

Di samping itu, MBI telah mengarahkan Permodalan Negeri Selangor (PNSB) untuk menyerahkan senarai kebajikan dan kemudahan yang diberikan untuk stafnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sebagaimana yang diketahui, PNSB memberi kebajikan dan kepentingan kepada stafnya, termasuk Pengerusi dan Lembaga Pengarah dalam bentuk material atau tunai, termasuklah kereta dan pemandu, malah pelancongan. Misalnya, bekas MB merangkap bekas Pengerusi PNSB, Mohamad Khir Toyo (gambar kiri) telah mendapat sebuah kereta Honda pada tahun 2005, dan seorang pemandu pada tahun 2006. Walaupun Khir Toyo menikmati kebajikan ini, namun sehingga beliau meninggalkan pejabat pada Mac 2008, kebajikan ini tidak dilaporkan dalam borang EA.

Selain itu, MBI juga mengupah penasihat untuk membantu mempertingkatkan prestasi dan keberkesanan pengurusan syarikat di bawah kerajaan negeri. Tugas penasihat termasuklah menilai pembelanjaan anak syarikat ini. Dalam satu kes, juruaudit mendapati wujudnya urusan kewangan yang tidak jelas dalam PNSB. PNSB pada awalnya telah meluluskan pembelian 5 unit di Wisma Al Marwa, Arab Saudi dengan jumlah nilai RM8.35 juta, berakhir dengan pembelian 12 unit yang berjumlah RM25.60juta.

Dalam pembelian aset air, MBI juga memainkan peranan penting. SPLASH dan ABASS dimiliki Kumpulan Darul Ehsan dan Kumpulan Perangsang Selangor, yang mana kedua-dua syarikat ini dikuasai MBI.

RM400 juta aset hutang

MBI menjadi tumpuan media apabila terlibat dalam satu kes pembelian. Pembelian ini mengakibatkan Khalid Ibrahim diserang dari dalam dan luar parti. Sidang Mesyuarat DUN pada 9 September telah memperuntukkan RM392 juta kepada MBI untuk membeli Kumpulan Talam daripada KDEB, PNSB dan Yayasan Pendidikan Selangor. Selepas pembelian, MBI akan berkuasa sepenuhnya untuk menuntut balik aset hutang daripada Talam.

Adalah tidak sukar untuk memahami keputusan Khalid Ibrahim dalam isu ini. Kumpulan Talam telah berhutang sebanyak RM392 juta daripada tiga anak syarikat negeri Selangor dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Namun, anak syarikat ini tidak menyimpan rekod penuh dalam laporan kewangannya, malah tidak cuba untuk menuntut balik aset hutang ini.

Khalid Ibrahim telah berjanji untuk mengembalikan hutang ini dalam jangka tiga bulan. Pada masa yang sama, kerajaan negeri akan membantu Kumpulan Talam untuk membangunkan projek agar syarikat ini mampu membayar hutang. Mengimbas rekod Khalid Ibrahim, bukan susah untuk beliau mencapai matlamat ini.

MBI memiliki kuasa yang terlalu besar?

Dari latar belakang dan pengalaman, sememangnya Khalid Ibrahim merupakan calon terbaik untuk menerajui pembangunan ekonomi Selangor. Namun, kebergantungan kepada pimpinan seseorang tanpa dipantau juga mungkin menimbulkan masalah yang lain.

World's greatest IT company seeks the best finance professionals


Jika dilihat daripada apa yang didedahkan oleh Setiausaha Agung PKR Salehuddin Hashim (gambar kiri) dalam emailnya, keputusan membeli aset hutang Kumpulan Talam dibuat tanpa berunding dengan kuasa eksekutif, dan DUN hanya memainkan peranan sebagai rubber stamp yang mengangkat tangan untuk meluluskan usul tanpa pertikaian.

Kerana keyakinan terhadap pimpinan Khalid Ibrahim, semua pemantauan dan pengimbangan kuasa dipikul oleh dirinya. Malah, kerajaan PR negeri Selangor mungkin berakhir seperti kerajaan BN sebelum ini, iaitu mempercayai segala-gala dasar yang diputuskan kerajaan tanpa check and balance.

Namun, perlu diingatkan bahawa Khalid Ibrahim bukan lagi CEO seperti dahulu, yang boleh memberi setiap arahan dalam pejabat sepanjang hari. Beliau perlu meletakkan kuasanya ke bawah. Seandainya kualiti pihak pengurusan MBI tidak baik, lebih-lebih lagi tanpa pemantauan yang berkesan, maka penyelewengan mungkin akan berlaku pada masa yang akan datang.

Dalam hal ini, kerajaan negeri Selangor perlu mengambil iktibar daripada Kelantan. Disebabkan imej MB Kelantan Nik Abdul Aziz yang bersih, maka tiada orang mempertikaikan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantunya, Ariffahmi Ab. Rahman.

Mengundang tuduhan nepotisme

Menurut laporan, setelah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan bahawa wujudnya amalan nepotisme dan penyalahgunaan kuasa dalam PMBK, SPRM telah menyerbu ke pejabat PMBK untuk siasatan sebanyak dua kali. Ariffahmi Ab. Rahman juga disoal siasat selama tiga jam. Selepas menerima nasihat PAS Pusat, Nik Aziz Nik Mat telah bersetuju agar Ariffahmi Ab. Rahman meletak jawatan.

Selain itu, blogger terkenal, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang berkhidmat di PMBK juga mendakwa secara terbuka bahawa beliau memegang dokumen yang sensitif untuk membuktikan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam PMBK. Kini, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata akan berkerjasama dengan SPRM.

Juga, Nik Aziz (gambar kiri) juga terjerat ke dalam pertikaian tajaan ke Mekah. Ariffahmi Ab. Rahman dikatakan sebagai dalang di sebalik tabir dalam penajaan ini. Untuk menamatkan pertikaian, Nik Aziz mengumumkan untuk membatalkan program ini.

Kerajaan negeri Selangor perlu menjadikan isu ini sebagai iktibar. Sistem check and balance adalah penting untuk menjamin pentadbiran yang baik dan bersih, agar apa yang berlaku di Kelantan tidak berulang di Selangor . (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian Pertama: Khalid peneraju, Selangor terus unggul

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.