SETIAUSAHA AGUNG PARTI KEADILAN RAKYAT
RAMPASAN AKHBAR SUARA KEADILAN OLEH KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Belum pun 10 hari Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak kembali memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, tindakan keras dan tidak demokratik kerajaan UMNO/ Barisan Nasional telah berterusan dan keangkuhan beliau juga kini terserlah semula apabila ribuan naskah akhbar lidah rasmi Parti KEADILAN Rakyat, Suara KEADILAN telah dirampas dari kedai-kedai pembekal dan pengedar di seluruh negara.
Dalam tempoh 24 jam mulai semalam, pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak untuk merampas dan mengancam untuk menangkap pembekal dan pengedar akhbar Suara KEADILAN di beberapa tempat. Di Ipoh malam tadi, tujuh orang pegawai KDN telah menyerbu premis salah seorang pembekal Suara KEADILAN dan merampas 214 naskah akhbar tersebut. Pegawai-pegawai tersebut bagaimana pun enggan memberi sebarang bukti surat kuasa rampasan. Di Melaka pula, pada jam 10 pagi hari ini 70 naskah Suara KEADILAN telah dirampas dari seorang pengedar yang menurut beliau, pegawai-pegawai KDN hanya memberi alasan bahawa ia telah menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kejadian yang sama juga telah berlaku hari ini di Johor Bahru, Johor, Seremban, Bangi dan juga di Kota Bharu, Kelantan. KEADILAN menjangkakan bahawa tindakan kasar, zalim dan sangat tidak demokratik ini akan berterusan, seperti yang dilihat dalam penangkapan beberapa tokoh dan aktivis pembangkang seperti sdr Nik Nazmi Nik Ahmad, sdr Adam Adli, sdr Tian Chua, sdr Haris Ibrahim dan sdr Tamrin Ghafar dan 18 orang aktivis lain yang menunjukkan sokongan kepada sdr Adam Adli.
KEADILAN mengecam tindakan rampasan akhbar Suara KEADILAN ini dan jelas melihat ia sebagai satu lagi pembuktian bahawa kerajaan UMNO/ Barisan Nasional terus-terusan mahu memperbodoh rakyat Malaysia dengan cubaan menyorokkan berita dan laporan alternatif dari rakyat yang sebenarnya mampu menilai dengan bebas tentang perkembangan politik negara. KEADILAN juga melihat bahawa rampasan akhbar Suara KEADILAN ini bermotifkan politik dendam serta cubaan menyekat penyebaran maklumat terutama mengenai penipuan pilihanraya.
KEADILAN juga merasa kesal kerana kerajaan UMNO/ Barisan Nasional masih dengan kesombongan mereka kerana gagal untuk mengubah sikap terhadap berita dan pandangan alternatif walaupun mereka telah menguasai sepenuhnya media di negara ini dan tanpa henti meneruskan kerja jahat melaporkan dengan sangat negatif dan penuh berunsur fitnah tentang parti-parti pembangkang dan pimpinannya.
Tindakan ini juga jelas membayangkan ketakutan kerajaan UMNO/ Barisan Nasional sendiri kerana mereka memperolehi kuasa hanya berdasarkan mandat minoriti dan kerana itu terpaksa mengunakan kaedah tidak demokratik untuk mengekalkan kekuasaan.
Parti KEADILAN Rakyat ingin menegaskan bahawa kami tidak gentar dengan tindakan terbaru ini kerana yakin dengan kebijaksaan rakyat yang akan mengadili dan menghukum UMNO/ Barisan Nasional dalam tempoh waktu yang pasti.
Sekian, terima kasih.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT