SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

13 Mac 2009

Masjid Bukit Malut 21 tahun tanpa pembaikan



BUKIT MALUT - Selama 21 tahun penduduk di Bukit Malut menunaikan solat jemaah harian dan solat Jumaat dalam keadaan berpanas dan ada ketikanya terkena tempias hujan. Imam Masjid Bukit Malut, Abdullah Muhammad, 38, berkata, masjid tersebut hanya mampu menampung seramai kira-kira 1,000 jemaah dalam satu masa. Menurutnya, masjid ini juga adalah markas tabligh utama di Langkawi, sejak ditubuhkan pada 1988. “Semakin hari semakin ramai jemaah yang hadir, selain dari kalangan penduduk tempatan, terdapat orang luar juga yang menggunakannya. “Kami jadikan masjid ini sebagai tempat berdakwah sambil mengukuhkan iman, selain berjemaah, ada juga jemaah yang mengaji dan menunaikan solat sunat tanpa mengira waktu,” katanya ketika ditemui wakil Sinar Harian.

Abdullah yang menjadi imam selama enam tahun di masjid itu berkata, masjid ini uzur dan memerlukan beberapa bahagian untuk diganti seperti siling zink, dinding, jalan menuju ke masjid dan tandas. Menurutnya, jika hujan, keadaan semakin parah apabila tempias memasuki perkarangan masjid menyebabkan lantai basah dan terpaksa dibersihkan. “Namun demi menunaikan tanggungjawab kami sentiasa bergotong-royong membersihkan setiap hari bagi memastikan rumah Allah sentiasa terpelihara,” katanya.

:Sementara itu, ketua kampungnya Dahaman Ahmad, 52, berkata, masalah ini akan dirujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi memohon peruntukan membaik pulih. “Kawasan masjid ini seluas 28x24 meter, jika waktu tengah hari jemaah akan bersolat dalam keadaan panas, kerana silingnya zink dan kipas terhad. “Tetapi jemaah tidak pernah bersungut cuma kami memohon tandas dan jika ada peruntukan kami memerlukan karpet, di masjid ini hana beralaskan tikar getah dan sebahagian sejadah,” katanya. Abdullah berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mana-mana pihak tampil menyalurkan keperluan sebagai pelengkap rumah Allah ini.