SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

13 Mac 2009


Anwar diminta letak Surendran atau Thanenthiran di Bukit Selambau
Oleh G.MANIMARAN

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi diminta memilih sama ada peguam hak asasi manusia, N. Surendran atau penyelaras kumpulan Hindraf yang telah diharamkan, RS Thanenthiran sebagai calon pilihan raya kecil kerusi Bukit Selambau.
Permintaan itu diketengahkan bagi mengelakkan perpecahan sokongan kepada PKR dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri tersebut 7 April ini.
Mereka merupakan antara beberapa nama yang disebut-sebut oleh kumpulan Makkal Sakthi yang menyokong Pakatan Rakyat Mac tahun lalu.


Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, S. Manikavasagam berkata, dalam pertemuan itu yang turut dihadiri Naib Presiden R. Sivarasa dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar yang juga pemimpin pusat parti, Anwar telah "mengatakan bahawa ia akan dipertimbangkan."


"Anwar mengatakan bahawa ia akan diserahkan kepada pucuk pimpinan bahagian (Merbok) untuk diputuskan," katanya ketika dihubungi.
Kata beliau, pihaknya mahu Anwar yang juga Penasihat PKR memutuskan perkara tersebut bagi mengelakkan sokongan kepada Pakatan Rakyat daripada terjejas.
PKR Bahagian Merbok dijadual mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu itu petang ini.
Surendran yang terlibat secara langsung dalam beberapa kes hak asasi manusia termasuk penyiasat persendirian P. Balasubramaniam dan A. Kugan yang mati ketika dalam tahanan polis telah membesar di kawasan Merbok lebih dua dekad termasuk mengikuti pendidikan asas.
Beliau merupakan anggota PKR kawasan Kepong.
Dalam pada itu, Thanenthiran pula lahir di Kuala Kedah dan terlibat dalam kumpulan Hindraf sejak dua tahun lalu.


Kedua-dua mereka dikaitkan dengan gerakkan Makkal Sakthi yang membawa aliran sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.
Manikavasagam berkata, ketiga-tiga pemimpin tersebut telah menekankan supaya salah seorang daripada mereka diberikan peluang atas pertimbangan telah memperlihatkan komitmen untuk membantu orang ramai.
Kedua-dua mereka pun dikenali ramai, katanya.
"Kami difahamkan kepimpinan PKR mahu seorang wakil tempatan dipilih untuk bertanding di sana... ini adalah pilihan raya kecil, dan kita berharap seorang calon yang benar-benar boleh berkhidmat akan dipilih.
"Kami juga bimbang bahawa jika orang luar (bukan kalangan Makkal Sakthi) dipilih, kami bimbang ia akan membawa kepada perpecahan dalam sokongan dan merugikan PKR dan Pakatan dalam pilihan raya kecil," katanya.
Setakat ini hampir 10 nama disebut-sebut menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi tersebut.


Kerusi itu kosong selepas ADUNnya, V. Arumugam yang juga Exco melepaskan jawatan awal bulan lalu.
Beliau bertanding atas tiket Bebas dan kemudian menyertai PKR.
ADMIN - KedahLaNie TIME - 9:25 PM