SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

25 Mac 2009

MB dedah dalang rompak hasil Kedah
Mar 25, 09 5:49pm

Golongan kaya dan berada mendalangi kerja menceroboh tanah haram dan mencuri hasil bumi di Kedah, kata menteri besar.Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pandangannya berdasarkan banyak jentera berat bernilai jutaan ringgit yang dirampas pihak berkuasa dalam operasi membanteras aktiviti pencerobohan haram, lapor Bernama."Ini membuktikan golongan ini memiliki banyak wang. Orang kaya sahaja yang mampu beli semua ini dan beroperasi dengan cekap, sementara orang kampung hanya guna kapak dan parang sahaja," beliau dipetik berkata selepas mesyuarat exco kerajaan negeri.

Azizan tidak menolak kemungkinan sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan orang politik, namun Jabatan Hutan sedang mengenal pasti golongan itu.Beliau berkata dalam kes terbaru malam tadi, sebuah pontun - yang membawa 4,200 kilogram pasir hitam bernilai lebih RM330,000 yang dicuri di Langkawi - telah ditahan.Tambahnya, pencerobohan tanah secara haram membabitkan beribu hektar dipercayai telah lama berlaku dan menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian besar.
Menurut agensi berita itu lagi, lebih 800 hektar kawasan hutan di Bukit Kachi di daerah Kubang Pasu yang mengandungi kayu bermutu tinggi seperti cengal dan meranti, manakala beribu hektar di Padang Terap telah dicerobohi."Kerajaan negeri mendapat hasil sebanyak RM16,000 bagi setiap satu hektar kawasan balak yang ditender dan jumlahnya itu boleh mencecah puluhan juta ringgit sekiranya beribu hektar yang diceroboh secara haram dapat dibanteras," kata Azizan lagi.