BUKIT MALUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat sejarah apabila Pengkalan Wilayah 3 di Bukit Malut bersedia menampung kapal frigat dan anggota mulai hari ini. Panglima Wilayah Laut Tiga, Laksamana Pertama Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kapal frigat dan korvet TLDM seperti kapal korvet misil KD Laksamana Tun Abdil Jamil dan KD Inderapura boleh menggunakan pangkalan itu yang berharga keseluruhannya mencecah RM160 juta. Menurutnya, jeti sepanjang 200 meter memulakan projek pembinaan pada Disember 2006 dan telah diserahkan kepada TLDM pada 4 Mac lalu.
“Kawasan keseluruhan pangkalan ini adalah 32.5 hektar dan terdapat 102 meter jambatan yang menghubungkan pangkalan ke jeti. “Manakala fasa kedua iaitu projek perumahan yang menempatkan 122 keluarga masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada Mac tahun depan,” katanya ketika merasmikan operasi jeti tersebut. Abdul Ghani berkata, dengan kemampuan kapal frigat dan korvet TLDM ke pangkalan ini, maka urusan melaksanakan tugas keselamatan perairan di negara ini lebih efisien. Menurutnya, pangkalan TLDM ini adalah kedua terpenting selepas Lumut bagi menjaga kapal pedagang yang menggunakan laluan dari lautan Hindi ke Selat Melaka. “Kapal frigat dan korvet TLDM juga beroperasi sejauh 7,000 batu nautika dari tanah air untuk menjaga kapal dagang dari syarikat perkapalan negara dari tawanan lanun yang menggunakan laluan dari Teluk Aden.
Beliau berkata, TLDM sentiasa membantu agensi maritim yang lain untuk penguatkuasaan undang-undang maritim, selain tugas-tugas teras dan sekunder lain. Sementara itu, kapal korvet misil KD Laksamana Tun Abdul Jamil akan berlabuh di pangkalan itu selama 24 jam. Menurut pegawai pemerintahnya, Laksamana Mohd Taufik Sabikis berkata, KD Laksamana Tun Abdul Jamil ditauliahkan ke perkhidmatan TLDM pada Julai 1997 dan Julai 1999 setelah radar Navigasi Kelvin Hughes baru ditambah. “Kapal ini membawa enam peluru berpandu Otomat Teseo Mark2 yang mempunyai jangkauan sehingga 120 kilometer untuk memusnahkan sasaran permukaan. “Torpedo anti kapal selam pula dilancarkan dari dua pelancar Alenia ILAS-3 di kedua-dua sisi kapal, reka bentuk kapal Itali ini mem:punyai kelajuan maksima 36 knot,” katanya.