SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

6 Feb 2011

AKIBAT PENYAKIT KRONI...??


Krisis Sabah kecai misi Pakatan kuasai Putrajaya
Oleh Jahabar Sadiq
Editor


February 06, 2011

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (kanan) bersalaman dengan bekas Ketua Parti Keadilan Sabah Pajudin Nordin (kiri) sebagai simbolik beliau keluar dari PKR dan menyertai Umno di Rumah Rasmi Ketua Menteri Gaya. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 6 Feb — Misi presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu di Sabah hari ini kelihatan bertambah luas — perlu memulihkan keyakinan ke atas komponen Pakatan Rakyat tersebut ekoran tindakan mengejutkan Pajudin Nordin menyertai Umno semalam.

Naib ketua cabang Tuaran yang tidak popular itu memutuskan untuk keluar PKR semalam dan menyertai Umno sehari sebelum Dr Wan Azizah tiba di Kota Kinabalu dalam usaha menyelesaikan kemelut yang berpanjangan.

“Kita boleh berikan kucupan selamat tinggal Putrajaya,” kata seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR) kepada The Malaysian Insider sebaik sahaja mendengar tindakan Pajudin menyertai Umno.

Sejak dilantik sebagai ketua PKR Sabah pada 10 Januari lalu Pajudin berhadapan dengan bantahan keras 18 daripada 25 ketua cabang yang tidak bersetuju dengan pelantikannya.

“Saya sudah hilang keyakinan pada kepimpinan PKR,” kata Pajudin 42, yang belumpun sebulan memegang jawatan tersebut semasa membuat pengumuman itu pada sidang media bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di kediaman rasminya di Sri Gaya.

“Maka saya menganggap PKR di Sabah ini sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang dikatakan akan menuju ke Putrajaya... maka saya mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan saya di dalam parti,” katanya.

Pemimpin-pemimpin PR juga berkongsi sentimen itu memandangkan Pajudin bertindak sedemikian kira-kira seminggu selepas Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan meninggalkan parti itu yang mereka sertai pada 1999.

“Kepimpinan PKR perlu melihat apa kesilapannya dan mengambil langkah untuk memulihkan keadaan dan kembali mengepalai Pakatan,” kata seorang pemimpin PR memandangkan PKR merupakan “pengikat” dalam perikatan tiga parti itu.

Dua parti lain dalam Pakatan ialah PAS dan DAP, yang berhadapan dengan sedikit masalah ekoran pemilihan parti baru-baru ini tetapi telah diselesaikan atas nama perpaduan.

PKR juga berhadapan dengan pemilihan yang membawa kepada perpecahan parti termasuk tindakan bekas menteri pusat Datuk Zaid Ibrahim keluar ekoran persaingan jawatan timbalan presiden yang didakwa diselubungi kepincangan dan kini mengetuai sebuah parti baru — Kita.

Selepas dilantik mengetuai PKR negeri, Pajudin juga gagal mengadakan mesyuarat perhubungan Sabah seminggu selepas pelantikan beliau apabila pemimpin-pemimpin cabang terlibat dalam pertengkaran, menyebabkan mesyuarat sulungnya terganggu.

PKR Sabah tidak pernah memenangi sebarang kerusi di negeri itu dan dilihat berhadapan dengan siri masalah sejak kebelakangan ini disebabkan kewujudan tiga puak yang mahu menguasai kepimpinan negeri.


Pajudin yang bukan merupakan calon berpotensi untuk mengetuai PKR Sabah dilihat sebagai proksi puak diketuai Ansari Abdullah, yang mengetuai cabang Tuaran.

Ansari adalah ketua PKR Sabah sebelum pelantikan Azmin Ali sebagai pengerusi Sabah.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah memegang jawatan Ketua PKR Sabah dalam usaha menyelesaikan masalah di antara beberapa kumpulan di negeri itu.

PKR memenangi 31 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008 dan dengan kerjasama DAP dan PAS mereka menguasai 82 kerusi di Dewan Rakyat.

Tetapi kini PKR hanya memegang 23 kerusi