SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

17 Feb 2011

PEMBELI TAMAN SENTOSA TIDAK PUAS HATI?

ULU MELAKA - Seramai 32 pembeli rumah Taman Sentosa memfailkan tuntutan ganti rugi serahan lewat kunci rumah dan kecacatan teknikal kepada Panel Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) Zon Utara di Dewan Orang Ramai, Kampung Mata Air.

Tuntutan itu dilakukan ketika pasukan TTPR Zon Utara yang berpangkalan di Wisma Persekutuan Kepala Batas, Pulau Pinang mengadakan promosi memberi khidmat nasihat dan membuka kaunter pemfailan secara terus kepada pembeli rumah yang mempunyai masalah dengan pemaju.

Wakil dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mohd Nizam Aziz berkata, semua yang hadir adalah pembeli rumah Taman Sentosa, Mukim Ulu Melaka, Langkawi yang memfailkan tuntutan mereka.

Menurutnya, Akta Perumahan 118 memperuntukkan tuntutan pampasan atau ganti rugi yang boleh dikemukakan sekiranya pemaju lewat menyerahkan kunci melebihi tempoh 2 tahun.

“Dalam kes Taman Sentosa, kira-kira 50 peratus daripada 83 unit disiapkan terdiri dari mereka yang membeli sejak 2006 dan hanya menerima kunci rumah pada pertengahan Januari lalu.

“Mengikut formula yang disediakan tribunal, setiap pembeli berhak menuntut ganti rugi kelewatan dalam anggaran RM20,000 tidak termasuk kecacatan binaan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, namun keputusan tribunal dijangka bermula pada Mac di Mahkamah Majistret, Langkawi bergantung kepada perkiraan hakim.

Beliau berkata, 14 hari notis surat tunjuk sebab kelewatan akan dihantar oleh tribunal kepada pemaju dan mereka diberi tempoh masa 14 hari sebelum tribunal bermula.

Isu kelewatan penyerahan rumah Taman Sentosa pernah disiarkan akhbar ini pada Disember 2010, di mana Pengurus Besar Pan Odyssey Sdn Bhd, M Sivakumar meletakkan dirinya sebagai mangsa keadaan selepas mengambil alih syarikat berkenaan pada 2009.

Bagaimanapun, Sivakumar tidak dapat dihubungi, namun beliau mewakilkan Amizah Mohd Ali berurusan dengan Pegawai Tribunal.