Oleh: Ramli Shaarani
Kisah dan realiti tentang permohonan tanah usaha telah lama diperkatakan oleh penduduk Langkawi dan Kedah amnya. Salah satu punca kekalahan BN pada 2008 kerana kerenah pejabat tanah agak mengabaikan permohonan kelulusan permohonan hakmilik tersebut. Dan paling malang tanah permohonan mereka telah dipalam oleh orang-orang politik dengan tanpa usaha dapat memiliki tanah tersebut dengan kabel kuat mereka melobi orang tertentu didalam pejabat tanah.
Dan kita berharap supaya pihak kerajaan sekarang dapat memberi perhatian dalam hal ini jangan isu ini dipolitikan, yang penting perlu diambil tindakan bagi menyelesaikan permasalahan masa lalu bagi menyakinkan kemampuan kerajaan yang mereka pilih boleh buat kerja. Sudah kedengaran pihak penduduk agak merasa rimas segala keluhan mereka tidak diambil peduli oleh ahli politik PR malah dengan mudah menyatakan ini susah diatasi dengan alasan permohonan baru, padahal permohonan mereka lebih dari 15 tahun. Setidaknya permasalahan ini perlu dimajukan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dipertimbangkan.
Ini lanjutan dari permasalahan penerokaan hutan di Langkawi yang dibangkitkan oleh
EXCO S.Manikumar dan komen Ahli parlimen Langkawi di bawah
Luluskan permohonan peneroka 20 tahun lalu
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri diminta meluluskan segera permohonan pemilikan tanah yang dibuat penduduk di Pulau Langkawi, yang mengusahakan tanah di situ sejak 20 dan 30 tahun lalu.
Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Abu Bakar Taib berkata, terdapat beberapa kawasan hutan di Pulau Langkawi sebenarnya sudah diterokai penduduk untuk diusahakan secara kecil-kecilan sejak 20 hingga 30 tahun lalu namun tindakan mereka tidak sampai menyebabkan hutan itu ‘cerah’.
Menurutnya, ada penduduk di Pulau Langkawi mengusahakan tanah di situ sejak sekitar 1950-an dan 1960-an lagi namun permohonan pemilikan terhadap tanah terbabit yang dibuat masih belum diluluskan sehingga kini.
“Isu permohonan pemilikan tanah oleh penduduk yang sudah mengusahakan tanah selama lebih 20 tahun itu pernah saya bincangkan dengan beberapa Menteri Besar Kedah sebelum Pas mengambil alih pentadbiran lagi namun tiada tindakan diambil.
“Saya harap Kerajaan Negeri sekarang ini dapat meluluskan segera permohonan penduduk Langkawi yang sudah lama mengusahakan tanah itu, bukan kepada mereka yang baru mengusahakannya,” katanya semalam.
Abu Bakar berkata, Pulau Langkawi hanya pulau yang kecil dan permohonan itu perlu diluluskan demi kepentingan penduduk yang sudah lama mengusahakan tanah itu.
“Terdapat beberapa kawasan tertentu yang sudah lama diterokai penduduk tetapi setelah Langkawi menjadi tarikan pelancong dari seluruh negara, baru ada pihak ambil kisah mengenainya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa usaha memelihara kehijauan hutan di Pulau Langkawi sebagai tarikan pelancong tetap perlu dilakukan termasuklah pemantauan terhadap penebangan hutan dan pengusahaan tanah secara berleluasa di situ.
“Aktiviti dijalankan penduduk di atas tanah di Kubang Badak, berhampiran Taman Buaya sebagai contoh, bukanlah penyumbang yang menyebabkan kawasan hutan di Langkawi menjadi ‘cerah’, malah saya difahamkan, terdapat beberapa kawasan yang kini diselia agensi tertentu.
“Pemantauan terhadap kawasan hutan di Pulau Langkawi tetap perlu dijaga dan dipelihara, contohnya kawasan di sekitar Telaga Harbour Park, bagi mengekalkan keindahan pulau ini,” katanya.
Terdahulu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, S Manikumar mendedahkan hutan di Pulau Langkawi semakin ‘cerah’ berikutan penebangan hutan berleluasa.[sinarharian]