Pertandingan Timbalan Presiden Keadilan melucukan
>> September 11, 2010
Perebutan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat nampaknya sekarang telah memasuki fasa melucukan.
Kem Azmin membuat tindakan-tindakan yang sebenarnya tolol apabila mengumumkan sokongan terhadap Azmin daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Amat memalukan apabila sebahagian daripada nama yang disenaraikan sebagai kononnya menyokong, tidak hadir dan kemudian membuat penafian.
Saya kira tidak sewajarnya Ahli Parlimen dan ADUN Keadilan membuat pembohongan. Parti perlu bertindak tegas terhadap AP Teluk Kemang — Kamarul dan ADUN Kota Anggerik — Yaakob kerana membuat pembohongan dan memperalatkan nama wakil rakyat lain untuk kepentingan politik pihak tertentu. Jika siasatan mendapati bahawa wakil rakyat yang menafikan itu sebenarnya membuat penipuan, tindakan perlu diambil terhadap mereka.
Kenyataan kedua-dua pihak ini ternyata berlawanan. Justeru pasti salah satu pihak membuat pembohongan. Kegagalan parti untuk bertindak mengisyaratkan bahawa penipuan adalah “tidak apa” di dalam Parti Keadilan.
Jika dalam perkara terbuka sebegini mereka membuat pembohongan dan parti berdiam diri; apa kualiti yang boleh kita harapkan daripada wakil rakyat Keadilan?
Zaid Ibrahim pula sekejap membuat kenyataan tidak akan bertanding apa-apa jawatan. Tiba-tiba membuat kenyataan mahu bertanding “jawatan itu” dengan syarat Khalid Ibrahim tidak bertanding “jawatan itu”. Apakah ini? Jawatan yang diberahikan pun Zaid tidak berani sebut. Apakah kerana dia “pun Melayu” maka sangat segan silu?
Dahulu Zaid mengkritik keras kod etika pemilihan. Beliau paling tidak berpuas hati calon tidak dibenarkan menganjurkan rumah terbuka untuk berkempen. Nampaknya ancaman Zaid untuk mengadakan rumah terbuka besar-besaran mungkin terbantut kini.
Tiba-tiba Zaid membandingkan diri dengan Tun Ghafar Baba. Bahawa riwayat politik beliau akan ditamatkan seperti Tun Ghafar. Siapa yang mahu disindir Zaid? Apakah Anwar Ibrahim yang disindir? Kerana Tun Ghafar kecundang di peringkat pencalonan kepada Anwar.
Kini muncul pula cadangan agar Anwar dicalonkan menjadi Presiden dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail dicalonkan Timbalan Presiden. Jika tidak Syed Husin diminta kekal sebagai Timbalan Presiden. Saya mempunyai hormat yang tinggi kepada Pak Kudus yang membuat kenyataan tersebut.
Tetapi sampai bila taktik ini hendak dilaksanakan? Sampai bila Syed Husin perlu terus hidup dan bertenaga untuk menangguhkan pemilihan ini padahal sejak sebelum pemilihan 2007 lagi sudah ada ura-ura beliau akan melepaskan jawatan.
Kenapa tidak Wan Azizah mengekalkan jawatan dan Anwar saja menjadi Timbalan? Calonkan Nurul Izzah dan adik beradiknya menjadi Naib Presiden semuanya. Ketua Angkatan Muda dan Wanita juga seharusnya disandang oleh Anwar anak-beranak. Enam beradik sesuai untuk 4 Naib Presiden, seorang Ketua AMK dan seorang Ketua Wanita yang dipilih.
Parti ini perlu mempunyai keyakinan dan keberanian untuk melalui proses pematangan. Saya yakin Pak Kudus yang begitu banyak pengalaman cukup faham perkara ini. Beliau tinggal pun dekat Matang. Tidak mengapa sekiranya kita melalui pertandingan. Meski saya tidak gemar Azmin menjadi Timbalan Presiden dan saya tidak akan tahan ketawa jika Zaid yang lucu menjadi orang nombor dua parti, pertandingan adalah perlu.
Benar akan ada yang tidak puas hati. Ada juga yang akan menangguk di air keruh. Ada yang akan keluar parti. Tetapi kita sudah lalui semua itu.
Pemilihan 2001 (Kemaman) lebih perit dan ganas. Tetapi Mohd Nur Manuty yang kalah Timbalan Presiden masih dengan parti. Mustafa Kamil yang ditumbangkan oleh Saifudin Nasution untuk Timbalan Ketua AMK kedua-duanya masih dengan parti. Malah kini Saifudin menjadi Setiausaha Agung, jawatan yang pernah disandang Mustafa selepas 2001.
Pemilihan 2004 (Ipoh) juga tidak kurang meriahnya. Campur tangan melampau termasuk oleh Anwar Ibrahim memaksa pertandingan Timbalan Ketua AMK dielakkan. Tetapi akhirnya Ezam yang beriya-iya tidak mahu pertandingan tersebut tidak lagi dengan parti.
Hakikatnya setelah tiga kali pemilihan (2007 — Seremban), parti ini masih tidak mati. Jika parti kita ini mati hanya kerana perebutan dua manusia dan ratusan ribu ahli yang lain tidak mampu menyelamatkan parti; maka selayaknya lah parti ini mati. Tidak ada gunanya kita cuba mempertahankan parti yang tidak punya jiwa dan ruh begitu.
Biarkan berlaku pertandingan, tetapi adab dan disiplin mesti dipelihara. Penipuan seperti oleh Kamarul dan Yaakob atau oleh beberapa wakil rakyat terlibat mesti diambil tindakan tegas. Yaakob, jika terbukti dengan sengaja membuat penipuan, sekurang-kurangnya perlu diminta mengosongkan jawatan EXCO Kerajaan Negeri Selangor kerana ternyata tidak tulus dan tentunya tidak boleh diyakini memikul tanggungjawab besar itu.
Tetapi parti yang demokratik mesti mempertahankan demokrasi dan bukan “demokrasi terpimpin”. Jika tidak parti ini akan menjadi lucu dan kita para anggota sudah tentu tidak lebih daripada sekadar menjadi penonton sarkis di mana badut-badutnya ialah para pemimpin parti.