SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

12 Sep 2010

PENYOKONG AZMIN MELAMPAU?



Rabu, September 08, 2010
AZMIN dan ZAID dibidas...
Jawatankuasa pemilihan PKR hari ini membidas tindakan penyokong naib presiden parti itu, Azmin Ali dan juga Zaid Ibrahim yang didakwa sudah mengatur strategi meskipun penamaan calon masih belum bermula.

Dalam kes Azmin, pengerusi jawatankuasa itu, Dr Molly Cheah berkata penyokongnya telah menyalah-gunakan ibu pejabat PKR untuk tujuan berkempen.

"Amat dikesali sidang media yang dianjurkan oleh beberapa ahli parlimen untuk menyatakan sokongan terhadap naib presiden, Azmin Ali dibuat di ibu pejabat parti itu baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, menurut Cheah, mulai hari ini, berkempen untuk seseorang dalam pemilihan parti dengan menggunakan premis pejabat PKR akan menjadi satu kesalahan.

Isnin lalu, ahli parlimen Teluk Kemang Kamarul Baharin Abbas menggunakan ibu pejabat parti untuk mengumumkan sokongan 18 ahli parlimen PKR dan dua senatornya yang menyatakan sokongan kepada Azmin.

Bagi Zaid pula, meskipun Cheah tidak menamakannya secara langsung tetapi mereka diingatkan agar sebarang aduan hendaklah diajukan kepada jawatankuasa itu dan tidak melaporkannya kepada pihak media, termasuk memuat-naikkan aduan berkenaan di blog peribadi masing-masing.

Lapor terus

“Semua aduan hendaklah diajukan kepada jawatakuasa pemilihan PKR di ibu pejabat parti dan bukannya disuarakan di media, termasuk blog peribadi,” katanya.

Pada 6 September lalu, Zaid dalam satu kenyataan berkata nasib politiknya mungkin akan terkubur seperti apa yang dialami oleh Tun Ghafar Baba pada pemilihan Umno pada 1993 yang terpaksa menarik diri mempertahankan jawatannya akibat taktik kotor pihak lawan.

Zaid juga mendakwa seorang penulis blog telah dibayar RM20,000 untuk memburuk-burukkannya.

Menurut Cheah, jawatankuasa yang diterajuinya juga telah mengeluarkan beberapa garis panduan kod etika mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan ketika berkempen dan semasa pemilihan parti itu.

"Larangan lain ialah tuduhan politik wang dan kempen memburuk-burukkan peribadi calon dan hendaklah dilaporkan kepada JPP," katanya.

Menurut Cheah lagi, "amalan politik wang adalah suatu kesalahan yang serius dan jika didapati bersalah maka seseorang itu boleh digantung dari penyertaan dalam proses pemilihan."

Menurut kod etika itu juga, calon-calon yang meraih sokongan mestilah juga tidak mencemar imej parti atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan perkhidmatan terhadap parti, termasuk menjaga kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.