SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

3 Mei 2011

Semuanya sudah terbalik - Yang betul nampak salah, yang salah nampak betul.

Kita tidak payah untuk membuat andaian bila pilihanraya akan tiba. Akhirnya ia akan tiba juga. Masa masih panjang sehingga tamat penggal sekarang ini. Bagi PM Najib untuk membuat keputusan memanggil pilihanraya bukan kerja yang mudah apatah lagi dalam situasi politik hari ini. Sebagai pemimpin yang sedang berada di tampuk kuasa beliau lah yang akan menentukkan tarikh dan waktu untuk memanggil pilihanraya itu.

PM Najib tentunya akan melihat dari berbagai-bagai aspek sebelum membuat keputusan dan keputusan itu hanya akan dibuat sesudah beliau yakin yang rakyat sedang bersama kerajaan pimpinannya. Dalam keadaan sekarang PM Najib masih belum mendapat ilham kerana politik negara termasuk yang melibatkan parti-parti dan ahli-ahlinya yang berada di dalam BN sendiri belum lagi berada di tahap yang meyakinkan.

Bagaimana PM Najib hendak mengadakkan pilihanraya sekarang? Masalah terlalu besar yang ada di hadapannya termasuklah masalah beliau sendiri. Najib sedang berhadapan krisis kepimpinan yang sangat besar kerana beliau tidak dapat menguasai sokongan padu dari dalam UMNO itu sendiri serta tidak mampu untuk mengawal tingkah dan laku pemimpin-pemimpin di dalam komponen BN itu sendiri.

Najib tidak ada ‘privilege’ untuk membuat keputusan dengan tenang dan aman kerana beliau terlalu terpengaruh dengan pengaruh dari tepian parti seperti pengaruh bekas pemimpin raksaksa negara dan banyak lagi elemen yang mengganggu beliau di dalam membuat keputusan dengan sendiri.Pendeknya Najib bukan bermasalah dengan musuh yang terang, tetapi beliau bermasalah dengan harimau yang menghendapnya dari celah belukar dan semak.

Apabila persepsi ramai melihat Najib sebagai seorang yang kurang diyakini maka ramai di kalangan pemimpin yang tinggi dalam hairaki parti begitu jelas sedang mengambil ‘position’ politik bagi menyesuaikan dengan keadaan jika Najib mengambil tindakan untuk berhenti dan terus bersara. Oleh kerana tradisi di dalam UMNO itu memudahkan orang nombor dua mengambil alih di atas nama peralihan kuasa secara aman, maka sudah ramai pula yang sekarang menghampiri Muhyiddin kerana Muhyiddin adalah ‘putra mahkota’ UMNO sekarang ini.

“Bang, marilah bergiat balik bang. Nampaknya Muhyiddin akan mengambil alih dan abang bolehlah aktif balik. Muhyiddin sedang mengesut sedikit demi sedikit kepada kerusi yang diduduki oleh Najib bang” Kata seorang pemimpin bahagian dengan yakin. Saya menjawab, “Terima kasih lah bro, abang kau ni dah berehat dan menunggu mati aje. Kau bergiatlah. Abang nak tengok juga sejauh mana politk kau boleh pergi. Abang kau ni dah ramai cucu. Biarlah duduk jauh-jauh dan jadi pemerhati sahaja sambil-sambil menjaga cucu. Kalau abang nak komen abang komen melalui blog abang. Itu cukup dah!”

Kata-kata pemimpin bahagian itu, kalau dikaji betul-betul membayangkan ada pihak dalam UMNO sendiri yang ingin melihat Najib itu bersara secepat mungkin kerana ada orang yang sedang menunggu untuk mengambil alih kerusi yang di duduki Najib itu. Kabarnya usaha itu secara halus di dalangi oleh orang yang berpengaruh untuk memudahkan Muhyiddin menjadi PM dalam kadar yang segera kononnya untuk menyelamatkan UMNO dari ditinggalkan oleh orang Melayu.

Itu masalah dalaman UMNO. Masalah di kalangan parti-parti komponen di dalam BN juga merupakan masalah yang tidak boleh di abaikan oleh pucuk pimpinan BN di Kuala Lumpur. Keretakan di kalangan parti-parti di Sabah sudah mula dikesan dan sudah dizahirkan oleh LDP supaya UMNO tidak lagi menjadi ketua kepada BN di negeri itu. Mampukah keretakan ini dihalang dari menjadi pecah dan terbelah, belum lagi dapat dipastikan. Yang pasti keretakan wujud di kalangan parti-parti dalam komponen BN itu sendiri.

Oleh yang demikian saranan Najib untuk PAS bekerjasama dengan BN memang tidak salah. Tetapi masalahnya UMNO hanya mahu bekerjasama dengan PAS semasa keadaan terdesak sahaja. Semasa dalam keadaan kuat UMNO tidak melakukan usaha memperkuatkan kekuatan yang sedia ada tetapi di sebaliknya memaki PAS dan pimpinannya setiap kesempatan yang ada. Semua ulamak PAS dipersendakan kerana orang sudah ramai Melayu memilih PAS kerana parti itu mengambil landasan Islam dalam perjuangannya.

Dalam keadaan terdesak barulah UMNO hendak mencari PAS sedangkan dengungan kutukan pemimpin dan penyokong UMNO masih kedengaran di mana-mana. Apabila PAS ada ‘apprehension’ nya untuk menerima tawaran itu maka PAS juga yang di kutuk dan dikata dengan bermacam panggilan. Kita seolah-oleh bersikap dan berperangai seladang….kalau berjalan di hadapannya kita akan ditanduknya, tetapi apabila berjalan di belakangnya kita akan ditendangnya.

PAS mempunyai pengalaman bersama UMNO di dalam BN dahulu kerana UMNO hampir pupus semasa pilihanraya 1969 dahulu. Semasa itu UMNO terdesak maka PAS diminta untuk bersama dan PAS setuju. Tetapi apabila PAS sudah bersama maka PAS dianggap sebagai masalah pula. Dr Mahathir telah mengakui ini beberapa hari yang lalui di Alor Setar yang PAS membawa masalah kepada BN semasa itu. Itulah sebabnya PAS ditendang keluar dari BN.

Sekarang perasaan terdesak UMNO itu kembali semula dan meminta PAS kembali bekerjasama dengan UMNO. Jika PAS kali ini menolak adakah itu salah PAS lagi? Kita telah membuktikan yang kita tidak selesa dengan perjuangan yang dilandaskan agama itu dan lebih mesra dengan parti-parti liberal seperti parti-parti di dalam BN sekarang. Maka itu juga hak UMNO untuk memilih.

Tetapi apabila UMNO cuba hendak menggunakan PAS kembali maka hak PAS untuk menolaknya jangan dipersoalkan lagi. PAS ada pengalaman bersama UMNO ini. PAS pun ada juga sedikit harga diri dan tidak mahu dipergunakan oleh UMNO hanya semasa mereka terdesak. Pemimpin PAS juga manusia biasa seperti pemimpin UMNO. Mereka ada perasaan dan perasaan itulah yang perlu kita fahami.

Pemimpin kita tidak sedar yang pemikiran orang sudah membangun dan UMNO tidak pernah berusaha untuk membangunkan pemikiran selari dengan pemikiran manusia sejagat. Kita wajar sedar yang Islam itu membangun mengikut masa dan zamannya. Bukan sahaja minat terhadap Islam ini berlaku di negara kita, malahan kecenderungan manusia di zaman ini terhadap Islam memang besar, termasuk di Amerika Syarikat sendiri di mana ratusan ribu orang putih Amerika memeluk Islam sebagai cara hidup mereka sejak akhir-akhir ini.

Pemimpin kita berucap di pentas dunia menuduh orang lain memberikan persepsi buruk terhadap Islam tetapi di negara sendiri pemimpin yang beriya-iya mempersendakan agamanya dan pemimpin yang berusaha kearah mengaddinkan Islam itu. Salah benar cerita lain, tetapi usaha mereka ada sedangkan kita masih lagi tersepit dengan pemikiran sempit yang parti itu adalah lebih besar dari agama.

Melakukan rasuah tidak menjadi isu besar, tetapi mengkritik UMNO itu dosa besar. Berkata benar itu salah tetapi meminda hukum agama mengikut kemahuan kita tidak salah. Mengaibkan orang lain tidak salah tetapi pihak untuk menutup keaibannya itu salah. Semuanya diambil dari sudut yang terbalik. Sedangkan Tuhan sendiri sentiasa menutup keaiban umatnya, kita pula yang melakukan perkara yang bertentangan denganNya. Kita tidak takut mengaibkan orang lain serta berbangga pula bila mangaibkan diri sendiri.

Agaknya kita ini memang sudah hampir kepada keadaan matahari akan terbit dari barat seperti yang saya sebut dalam posting saya yang lepas.

Wallaahualam.

-Aspan Alias