SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

19 Mei 2009



Jawatankuasa tangani masalah sosial

KUAH - Satu jawatankuasa menangani masalah sosial diwujudkan berikutan peningkatan kes di Kedah semakin membimbangkan. Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, jawatankuasa itu diwakili oleh pihak polis, Imigresen, jabatan agama Islam dan majlis perbandaran serta dipengerusikan beliau sendiri. Menurutnya, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana pusat-pusat hiburan khususnya di Langkawi, tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan.
“Kami di kerajaan negeri membenarkan hiburan, tetapi premis perniagaan dan kakitangan yang menjalankan perniagaan tersebut mestilah mematuhi undang-undang. “Kami akan membuat kajian keperluan seperti pelesenan, had waktu operasi iaitu sehingga jam 1 pagi dan penjualan minuman keras,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Exco di Majlis Perbandaran Langkawi di Kuah dan melakukan lawatan ke kawasan pelupusan sampah di Belangga Pecha. Phahrolrazi berkata, penguatkuasaan akan dikenakan kepada peniaga beragama Islam yang menjual atau yang memberikan perkhidmatan penjualan arak kepada orang Islam atau sebaliknya.
Menurutnya, pemantauan juga akan dilakukan bagi mengelakkan salah guna kuasa atau lesen yang diberikan. “Kami akan mengambil tindakan tegas dan kini di peringkat awal, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan kajian terperinci ke atas lesen premis," katanya.
Beliau berkata, jenis tindakan itu akan ditentukan mengikut akta perundangan yang bersesuaian dengan jenis kesalahan yang dilakukan. “Tindakan bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada persediaan penganjuran LIMA pada Disember nanti. “Ketika kehadiran LIMA, Langkawi bakal menerima kunjungan pelancong domestik dan luar negara dalam jumlah yang besar, maka persediaan dari segi kebersihan, restoran dan landskap mula diberikan perhatian penuh,” katanya.