SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

10 Mei 2009

Langkawi Sudah Dapat 'BOT AMBULANS' Setelah menanti bertahun..

Bot ambulans mula beroperasi (sinar harian)



PANTAI KOK - Penduduk Langkawi kini boleh menarik nafas lega apabila kehadiran bot kecemasan Jabatan Laut Malaysia M V Suhail yang menjadi penantian sejak bertahun kini diperoleh.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, bot itu diberi bagi memastikan kebajikan, perkhidmatan bantuan kecemasan dan perubatan di Langkawi berada pada tahap baik.

Menurutnya, Jabatan Laut Malaysia (JLM) melalui Rancangan Malaysia ke lapan dan sembilan mengambil langkah membina tujuh bot perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan dengan peruntukan RM56 juta.

“Daripada tujuh buah bot itu, sebuah ditempatkan di Langkawi, baki enam buah bot ditempatkan di Pelabuhan Klang, Mersing, Pulau Tioman, Pangkor, Kuala Terengganu dan Labuan yang mana masih dalam proses.

“Bot di Langkawi ini adalah permuafakatan antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan," katanya pada majlis pelancaran bot perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan Jabatan Laut Malaysia M V Suhail di Telaga Harbour, Pantai Kok.

Tee Keat berkata, bot kecema- san pertama itu akan ditempatkan secara tetap di Tanjung Lembung, di Langkawi.

Menurutnya, bot berkenaan lengkap dengan bilik khas bagi menempatkan paramedik, rua- ngan dek terbuka bertujuan pemindahan beramai-ramai (mass evacuation) dan bilik pengasingan lengkap dengan alat bantuan perubatan.

“Kehadiran bot ini juga adalah tepat pada masanya, apabila Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga ketika penularan wabak A H1N1 biarpun pada ketika ini Malaysia bebas dari jangkitan itu,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan bot ini mampu memberi keyakinan kepada penduduk Langkawi dan pelancong terhadap keupayaan pihak berwajib dalam menangani sebarang kejadian kecemasan.

Pada majlis itu, kehadiran bot itu dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Jabatan Laut Malaysia Datuk Kapten Ahmad Othman.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Azmi Shafie dan Pengarah Hospital Langkawi, Dr Serlahuddeen Abd Aziz dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Abu Bakar Taib.