SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

16 Mei 2009

RISDA BUAT APA???

Penduduk dakwa Risda gagal salur bantuan


NYIOR CHABANG - Bagi merealisasikan hasrat kerajaan, penduduk kampung di Nyior Chabang sanggup bergadai bagi memulakan projek penanaman getah secara tanam semula di bawah Projek Rancangan Tanam Pinggir yang disarankan. Namun, hasilnya menghampakan, apabila pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, gagal menyalurkan bantuan seperti yang dijanjikan kepada 21 penduduk di Kampung Nyior Chabang dan Lubuk Setol. Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Nyior Chabang, Mahmud Hasan berkata, pada 2007 Risda memberikan bantuan sebanyak RM1,500 ke RM3,000 kepada setiap pekebun.
Namun menurutnya, mulai 2008 sehingga kini, bantuan yang dijanjikan masih belum diterima dan status projek tersebut juga tidak diketahui. “Kami mahukan hitam dan putih mengenai projek ini, kami gunakan wang sendiri untuk membeli baja dan benih dan penanaman pokok telah dilakukan sejak 2007. :“Namun pulangan wang yang digunakan sendiri untuk dibayar semula oleh RISDA masih belum diterima,” katanya ketika ditemui wakil :Sinar Harian:.
Mahmud berkata, pegawai Risda yang datang pernah berjanji, peruntukan itu akan diberikan di antara Januari hingga Februari, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan. Menurutnya, secara purata penduduk telah menggunakan wang persendirian sehingga mencecah RM1,100 kerana minat mendalam dalam bidang perladangan. “Kami mengikut seruan kerajaan untuk memulakan projek pertanian dan bakal dikomersialkan bagi menjana pendapatan tetapi masalah ini yang kami hadapi," katanya. Dakwanya, bayaran bantuan rancangan pemulihan kebun sepatutnya dibayar secara tahunan kepada pekebun yang terlibat tetapi tiada seorang pun pegawai daripada Risda yang datang menguruskan perkara terbabit.
“Jika berlaku penyelewengan atau masalah diharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera kerana kami telah hilang sumber pendapatan. “Kami berharap segala tunggakan atau bayaran yang sepatutnya dibayar kepada kami disalurkan kepada pejabat wakil rakyat bagi membolehkan kami berurusan dengan mereka berbanding pihak Risda yang tidak langsung prihatin dengan masalah kami,” katanya. Mahmud kesal kerana tiada seorang pun daripada pegawai Risda yang datang meninjau kawasan penanaman getah yang diusahakan mereka selama ini.