KUAH - Demam perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bermula Ahad ini, kian dirasai di segenap pelusuk Pulau Langkawi.
Di mana sahaja semua masyarakat memperkatakan tentang perlumbaan ini termasuk dari bangsa asing yang menetap di pulau ini.
Pihak berkuasa tempatan juga giat memperindahkan beberapa laluan yang bakal dilalui pelumba jagoan dunia termasuk orang kenamaan.�
Tidak terkecuali, pihak polis trafik yang mengumumkan beberapa jalan yang bakal ditutup secara berperingkat.
Pemangku Ketua Trafik Langkawi Inspektor Mohd Fairus Mohd Ghazi berkata, penutupan jalan akan dilakukan secara sekejap-kejap pada laluan perlumbaan sejauh 94 kilometer.
Menurutnya, jalan dari lampu isyarat Pokok Asam ke lampu isyarat Pekan Kuah di laluan kiri dan kanan akan ditutup mulai 10 malam Sabtu ini hingga 2 petang Ahad bagi persiapan garisan penamat serta penyampaian hadiah kepada pemenang.
“Orang ramai boleh menggunakan Jalan Persiaran Mutiara Kuah atau Jalan Langkawi Mall/Lebuhraya Kuah untuk ke pekan Kuah atau ke Jeti Kuah.
“Seramai 80 pegawai dan anggota trafik terutama dari Langkawi dan Alor Setar akan bertugas di peringkat pertama LTdL 2011,” katanya.
Mohd Firuz berkata, pengguna jalan raya dinasihati supaya memberi laluan kepada pelumba dan petugas kejohanan.
Menurutnya, kayuhan bermula dari Dataran Lang Kuah ke Jalan Persiaran Putra, kemudian membelok ke Jalan Ayer Hangat, bulatan Jalan Hangat, Pantai Kok, pekan Padang Matsirat, Pantai Cenang ke Jalan Bukit Malut belok ke Jalan Perana Ulu Melaka, Jalan Lubuk Semilang sebelum berakhir di Kuah.
Sementara itu, lebih 100 pelumba dari 23 pasukan akan menyertai kejohanan itu edisi ke-16 membabitkan 10 peringkat perlumbaan dengan jarak kayuhan sejauh 1,315.4 kilometer.