Minggu lalu media maya dihidangkan dengan sebuah artikel yang membelasah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Kononnya kerana mahu menghalau nyamuk, beliau membakar kelambu.
Artikel ditulis oleh Buluhmadu, Sungai Petani (tidak mesti orang Sungai Petani). Isi penulisan menggambarkan seolah-olah si Buluhmadu seorang aktivis PAS. Secara peribadi saya tidak terfikir penulis adalah ahli yang lahir dari acuan tarbiyah PAS yang sempurna.
Dia mengganyang Mahfuz bagai orang mabuk samsu, lebih menggunakan kreativiti nafsu dari akal. Lebih meletakkan aulawiyat ‘kepuasan serakah’ dari ‘keluhuran hasil’. Maaf, teremosi. Sebab pantang tok nenek saya tengok penulis hentam orang lain guna nama samaran. Tak bertanggungwab dan tak bertelur.
‘Kesalahan’ yang dilakukan oleh Mahfuz sangat besar baginya, iaitu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd. Akibatnya Ahli Parlimen Pokok Sena itu diserang secara peribadi yang hakikatnya tiada kena mengena langsung dengan isu Kedah Sato.
Betul Mahfuz letak jawatan tetapi dia tidak pernah menyusul peletakan jawatan dengan apa-apa kenyataan. Dia tidak memburukkan sesiapa. Dia tidak mengkritik kepimpinan parti di peringkat negeri mahupun kerajaan. Dia tidak bakar apa-apa. Dia tidak bertindak macam Zulkifli Nordin.
Walaupun Mahfuz menyepi tapi 1Malaysia tahu bahawa isunya berhubungkait dengan projek menyiapkan kampus Insaniah. Enam syarikat menghantar tender tetapi ia diberi secara terus kepada IJM.
Di Parlimen, Mahfuz orang yang lantang mengkritik projek pembinaan Istana Negara yang diberi secara anugerah. Sampai menteri tak panggung kepala. Bila tiba-tiba, dibawah syarikat di mana belia adalah pengerusi, pemilihan kontraktor dibuat secara runding terus bukan tender terbuka.
Buluhmadu bercakap soal aulawiyat. Secara aulawiyatnya tentu wajar dia letak jawatan dari dicop cakap tak serupa bikin, tuduhan yang sangat menyakitkan bagi seorang ahli politik.
Adakah Mahfuz tidak setuju pemilihan IJM? Siapa kata…? Orang bahlol saja yang tuduh macam tu. Tender terbuka bukan bermakna memilih yang terendah tetapi memberi peluang semua kontraktor membuat tawaran, lalu syarikat memilih yang terbaik.
Kalau macam tu, sertakan IJM bersama 6 kontraktor yang lain. Lembaga pengarah bermesyuarat dan pilih satu yang terbaik. Berdasarkan prestasi, kemampuan dan keupayaan, kontraktor yang layak semestinya IJM. Semua maklum bahawa IJM ibarat gajah, manakala 6 yang lain macam semut dan kuman. Tak apalah, pilihlah IJM dalam mesyuarat lembaga pengarah yang boleh dibuat atau diputuskan tak sampai lima minit! Yang penting dasar tender terbuka yang dicanangkan dalam manifesto direalisasikan.
Di pihak CEO Kedah Sato dan pihak yang membuat keputusan terhadap IJM, ia tidak semestinya salah. Mereka juga ada hujah dan alasan. (Saya telah menghuraikan untuk Nota Utara keluaran akan datang). Kesimpulannya, tindakan Mahfuz betul dan CEO Kedah Sato pun tidak silap.
Yang salah, silap dan tidak betulnya ialah tindakan Buluhmadu membelasah Mahfuz di luar konteks isu sebenar. Sebahagiannya prasangka dan fitnah. Mahfuz memulakan perjuangan dalam PAS bukan selepas pencen kerajaan tetapi sejak dibangku sekolah. Beliau pernah ditahan ISA dan pernah merengkok dalam penjara kerana perjuangan. Kalau pengalaman hingga ke tahap itu pun nak dilihat sebagai ‘poligame’ Mahfuz, maka elohlah Buluhmadu menukar nama kepada Butuhmadu… (jangan marah nanti kena jual).
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA