SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

30 Jan 2011

Red 1 bakal ganti enjin ekor biawak

KEDAWANG - Seramai 36 nelayan pesisir pantai di Langkawi menikmati penjimatan kos petrol selepas menerima enjin Red 1 bagi menggantikan bot enjin ekor biawak.

Enjin Red 1 yang diilhamkan oleh Ridzuan Hashim, 44, mampu menjimatkan kos petrol sehingga 70 peratus dan lebih mudah dikendalikan.

Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Sungai Chenang, Asri Shaaban berkata, di kawasannya sebanyak dua bot akan diperoleh.

Menurutnya, beban nelayan akan berkurangan malah hasil inovasi itu bot juga mudah dikendalikan kerana mampu undur dan bergerak pantas.

“Dahulu setiap kali ke laut kami mengeluarkan kos RM30 untuk perjalanan pergi dan balik kini hanya RM10 sahaja.

“Enjinnya juga tidak mengeluarkan asap dan mampu mengekalkan kebersihan alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan enjin baru itu.

Hadir sama, Naib Presiden Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Perkhidmatan Korporat Taman Teknologi Malaysia, Ahmad Husni Johari dan Pengurus Besar TPM Engineering Sdn Bhd Aggus Salim Halmee Haidar dan nelayan Kuala Chenang.

Ridzuan berkata, cetusan idea untuk mengilhamkan enjin bot itu selepas mengalami pengalaman perit ketika kejatuhan ekonomi pada tahun 1997.

Dia yang juga bekas mekanik berkata, ketika itu dia beralih menjadi nelayan dan mengharungi kepayahan menjadi seorang nelayan.

“Saya memodifikasi enjin sedia ada kepada yang lebih jimat dengan mengambil masa dua tahun.

“Selepas itu ternyata ia praktikal dan kini ciptaan saya telah diluluskan dan diguna pakai oleh banyak nelayan di negara ini,” katanya.

Enjin berharga sekitar RM6 ribu itu telah digunakan menerima tempahan sebanyak 456 seluruh negara bagi tahun ini berbanding 145 pada tahun lepas.