Siapakah KITA? / Who is KITA
Parti KITA (Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air) akan dilancarkan pada 19hb Januari nanti. Pelancaran ini bererti KITA akan memperkenalkan pendirian, rangka dan imej parti untuk pertama kalinya. Saya juga akan menghuraikan pada hari itu intipati prinsip perjuangan parti.
Ramai yang sudah menulis tentang betapa sukarnya untuk parti kecil ini mendapat sokongan; malah ramai pemerhati politik sudah pun meramalkan bahawa ia tidak akan kekal lama. Yang saya hairan: kalaulah begitu nasib KITA, mengapa pula ada yang marah kerana kononnya ini akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat dalam pilihan raya nanti? Kalau KITA ini tidak ada penyokong dan tidak akan kekal lama, mengapa perlu bimbang?
Buat masa ini saya hanya ingin menarik perhatian pembaca bahawa KITA adalah jauh berbeza daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pertama, KITA akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab. KITA tidak akan membantah semata-mata kerana dasar dan cadangan itu datangnya dari kerajaan. KITA akan menjadi pengkritik yang membina dan tertumpu pada isu-isu yang boleh memperbaiki kepentingan rakyat. KITA tidak akan menumpukan kepada masalah peribadi pemimpin ataupun menyerang hal-hal yang tidak ada dasar fakta yang jelas.
Kedua, KITA tidak akan takut untuk memperjuangkan perkara yang benar. Misalnya, KITA akan memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih berkesan dan meluas. KITA ingin melihat kaum bumiputera lebih berupaya mencari ilmu dengan penguasaan yang lebih meluas di dalam bahasa itu. Anwar Ibrahim akan berdiam diri kerana isu ini boleh menghilangkan sokongan pengundi, tetapi KITA tidak takut kehilangan undi kalau perkara itu penting untuk rakyat negara ini.
Ketiga, KITA tidak akan membuat janji yang tidak berasas. Misalnya, KITA tidak akan berjanji untuk memberi itu dan ini secara percuma kepada rakyat tanpa turut memberitahu rakyat beban baru yang perlu mereka pikul ekoran daripadanya. Kenyataannya, dalam dunia kewangan ini tidak ada yang percuma. Kemudahan yang diberi percuma mesti dibiayai oleh pihak lain, seperti melalui percukaian dan sebagainya. Gambaran yang penuh mesti diberi. Sumber baru kewangan mesti dicari dan diusahakan. Inilah tindakan parti yang lebih bertanggungjawab.
Keempat, KITA tidak akan menjadi parti yang mengampu dan memuji sesiapa. KITA juga tidak mahu berpolitik secara agresif dan selalu melawan, atau yang hanya tahu menentang sahaja. KITA akan berusaha untuk menjuruskan ke arah cara berpolitik yang lebih sihat, berdialog dan mencari konsensus secara baik.
Nantilah perkembangan KITA secara terperinci pada 19hb ini.