SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

31 Jan 2011

TSUNAMI ASIA BARAT MEREBAK KE MALAYSIA??

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Adakah Malaysia akan menjadi seperti Mesir dan Tunisia?

Persoalan ini dikemukakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia susulan kebangkitan rakyat di beberapa negara umat Islam seperti Tunisia, Mesir dan Jordan.

Pemimpin-pemimpin politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat berbalas mesej Twitter sejak petang semalam mengenai persoalan ini. Malah, beberapa pihak sudah pun menulis mengenainya sejak seminggu lalu menerusi blog dan laman web masing-masing.

Kemenangan BN dengan majoriti 3,707 undi di Tenang — di kubu kuat tradisinya di Johor menunjukkan perikatan kekal popular di kalangan pengundi meskipun gagal mendapatkan balik undi masyarakat Cina — halangan besar di kebanyakan kawasan bandar.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin politik mempercayai bahawa wujud beberapa situasi di mana persekitaran politik di negara-negara berkenaan kemungkinan tidak boleh dihindari pada satu hari nanti, jika diambil kira amalan menekan dan rasuah di pihak kerajaan BN.

Pun begitu, di pihak lain pemimpin-pemimpin kerajaan menegaskan situasi di Malaysia jauh berbeza berbanding keadaan di Tunisia dan Mesir. Ini kerana negara Asia Tenggara ini tidak berhadapan dengan masalah pengangguran, rakyat tidak kebuluran manakala negara pula terus mengamalkan demokrasi dengan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan.

Buat masa sekarang, pemimpin-pemimpin BN adalah betul. Undi diperoleh calon BN Azahar Ibrahim 6,699 berbanding 2,992 undi oleh calon PAS Normala Sudirman pada pilihan raya kecil ke-14 semalam sejak Mac 2008, menunjukkan perikatan kerajaan pusat mempunyai dasar-dasar yang boleh menarik sokongan.

Tetapi ada kesamaan antara apa yang berlaku di Tunis dan Kaherah dan pihak berkuasa perlu berhati-hati daripada mengalami kebangkitan seumpama itu. Ini termasuklah:

—Mengambil sikap tutup mata terhadap kes-kes rasuah khususnya yang membabitkan kalangan menteri, ahli-ahli politik kerajaan, kerabat diraja dan mereka yang ada hubung kaitan dengan kepimpinan negara.

— Presiden Hosni Mubarak memerintah Mesir dengan pengaruh dan kawalan kuat, dengan disokong polis rahsia dan tentera. Beliau enggan memberi sebarang ruang demokrasi dan disebabkan itu perasaan kecewa terus membina sehingga membawa kepada kebangkitan rakyat. Pilihan raya diseleweng, ahli-ahli politik ditekan dan kelas agama ditindas.

Krisis politik di Mesir selama enam hari telah mengorbankan lebih 100 orang setakat ini, sekali gus membawa gelombang kejutan di seluruh rantau Asia Barat di mana negara-negara autokratik juga mula berhadapan dengan cabaran sama.

Di Tunisia beberapa general tentera telah memujuk bekas presiden Zine al-Abidine Ben Ali agar meninggalkan negaranya bulan lalu ekoran protes beberapa minggu.

Ia tidak berlaku di Malaysia meskipun ketika kemuncak reformasi pada 1998 ekoran pemecatan bekas timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkembangan dalam PKR yang diketuai Anwar menunjukkan bahawa ketua umum parti itu dan Pakatan Rakyat perlu memperkemaskan genggaman dalam parti berbanding mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam usaha mengambil alih Putrajaya.

Keputusan pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang menunjukkan bahawa BN sudah memperoleh sokongan orang Melayu, yang mengambil sikap bertentangan pada 2008, dan juga masyarakat India yang kelihatan memperoleh manfaat daripada gerakan Hindraf pada 2007.

Bagaimanapun BN masih belum memperoleh sokongan pengundi Cina, masyarakat kedua terbesar tetapi menguasai sebahagian besar ekonomi negara.

Akhbar Mingguan Malaysia milik Umno semalam menyebut, dalam 13 pilihan raya kecil lalu yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008, tidak banyak perubahan pada pendirian pengundi Cina yang lebih memihak kepada pembangkang. Walaupun pemimpin BN menunjukkan kemurahan hati dengan memenuhi banyak permintaan NGO dan masyarakat Cina setempat, ia tidak diterjemahkan dalam bentuk undi, di sebalik kebimbangan bahawa situasi di Asia Barat boleh menular ke Malaysia.

Dengan BN memenangi enam daripada 14 pilihan raya kecil sejak 2008, tumpuan sekarang adalah ke atas pilihan raya kecil ke-15 - DUN Merlimau di Melaka pada 6 Mac. Ia diadakan dua hari sebelum genapnya tiga tahun sesudahnya pilihan raya umum ke-12.

Ia satu lagi ujian sama ada BN akan mengekalkan memoentum dan memenangi kerusi Melaka.

Sokongan yang meningkat kepada pentadbiran Najib dalam beberapa pilihan raya kecil akan membantu kerajaan bahawa apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir tidak akan berlaku di negara ini dalam waktu terdekat.

Perkembangan itu akan meletakkan pembangkang dalam kedudukan terus perhati tetapi pentadbiran perlu meneruskan pembaharuan-pembaharuannya untuk kekal berkuasa. Jika tidak, hanya masa yang akan menentukan sebelum protes seperti di Tunisia atau Mesir, malah apa yang berlaku di Indonesia lebih satu dekad muncul di sini.