SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

15 Jan 2011

'Tempeleng' DSAI sebelum PKR jadi Keadilan Sdn. Bhd.
Oleh: Tinta Tun Adil@blog marhaen

Keadilan berpasak kukuh pada prinsip mempertahankan yang hak dan memerangi yang batil. Prinsip ini akan terus kekal konsisten tidak kira sama ada seseorang itu menyokong Pakatan mahupun Barisan, atau sekadar seorang rakyat biasa yang tidak mengikuti arus perkembangan politik semasa.

Sekadar berdiri melaungkan KEADILAN tidak bermakna kita mengamalkan prinsip keadilan. Dalam membicarakan soal hak, gagasan keadilan mestilah disertai dengan pelaksanaan kata-kata. Setakat bercakap "kami tentang kezaliman!" tidak membawa apa-apa makna jika dalam masa yang sama kita menzalimi orang lain.

Akhir-akhir ini khabar buruk mengenai Parti Keadilan Rakyat benar-benar mengguris hati saya. Seperti sudah ada kecenderungan politik 'cas keting' di dalam PKR, beberapa pemimpin kanan parti itu telah pun dianiaya dan dizalimi oleh sosok-sosok tertentu yang berselindung di sebalik aura saudara Anwar Ibrahim.

Memandangkan Suara Keadilan dan media sekutunya memilih untuk menyorok sampah di bawah tikar mengkuang, maka kita di BMI tiada pilihan lain selain bersuara menegur dan menempelak amalan jijik politik matlamat menghalalkan cara yang sedang bermaharajalela di kalangan pemimpin tertinggi PKR.

Eloklah kita mengkritik dahulu sebelum politik jahat ala Umno ini bersepah dan meloroh masuk memusnahkan benteng perjuangan PKR, lalu menghakis kepercayaan rakyat lantas memusnahkan harapan kita untuk menawan Putrajaya.

Biarlah tulisan ini dibaca sebagai peringatan sebelum PKR tinggal 3 orang Ahli Parlimen (Lembah Pantai, Permatang Pauh dan Gombak), sebelum Selangor terlepas dari tangan Pakatan Rakyat, sebelum PR menerima nasib yang buruk seperti Barisan Alternatif dan sebelum Najib Razak angkuh mendabik dada di atas kejayaan BN menguasai 90% kawasan parlimen hasil penipuan undi dan gerrymandering pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Dalam politik Malaysia di mana BN mengatasi undang-undang dan perlembagaan, segala-galanya adalah mungkin.

Saudara saudari yang saya hormati,

Suka saya bertanyakan jika Najib Razak menang di Parlimen Pekan hasil penipuan undi pos, apakah kita mengiktiraf kemenangan beliau? Sudah pasti TIDAK!

Kalau kita boleh mengatakan tidak, mengapa pendirian kita berbeza apabila Azmin Ali diangkat sebagai Timbalan Presiden walaupun jelas terdapat kesangsian wujudnya kecurangan di dalam Pemilihan PKR 2010, terutamanya di cabang Libaran dan Sandakan?

Bukankah sikap bias dalam menangani isu politik bermakna prinsip keadilan itu sendiri telah selamat dibakul sampah?

Kalau Umno yang memandang enteng soal hak dan asas prinsip keadilan kita fahamlah kerana puak mereka berjuang demi ketuanan lahanat melayu.

Tetapi jika parti yang menggunapakai nama KeADILan tidak mengamalkan keadilan, pada saya ini sangat jelik lagi meloyakan!

Kes kedua, andai kata SPR membuat pengumuman:-

"Dengan ini, encik Pirdaus dari Barisan Nasional telah dipilih sebagai ahli Parlimen P044 Permatang Pauh dengan majoriti..... aaa.... RAHSIA!"

Sudah pasti saudara Anwar Ibrahim meraung meradang marah kerana jumlah majoriti undian tidak diketahui.

Sudah pasti kita di medan Reformasi bangkit melaung tentangan melawan kemenangan yang tidak bermoral itu.

Mengambil contoh yang sama, bagaimana kita boleh menerima Shamsul Iskandar sebagai ketua Angkatan Muda tanpa mengetahui majoriti undi yang telah diperolehinya?

Taktik dan modus operandi jahat ini tidak berhenti di situ sahaja, terbaru di Perak Mustafa Kamil Ayub telah kecundang akibat percaturan politik kotor apabila nama Muhamad Nur Manuty telah dilantik sebagai Pengerusi PKR Perak sekalipun 13 ketua cabang mengundi Mustafa berbanding 11 memihak kepada Nur Manuty.

Silap mata ala David Copperfield telah berjaya memukau hadirin hadirat yang akhirnya percaya angka 11 lebih besar dari 13.

Pakar silap mata ini bukan baru sehari dua menunjuk belang, malah virus Kurang Kasih Sayang (KKS) ciptaan magiknya telah terbukti berjaya mengukuhkan cengkaman beliau sejak dari dulu lagi.

Virus KKS akan dilempar kepada mana-mana sosok yang dilihat berpotensi mencabar kedudukan beliau di dalam organisasi Parti Keadilan Rakyat.

Hasil virus KKS ini ramai pemimpin PKR tewas seorang demi seorang. Ada yang berubah menjadi barua katak lalu berubah lagi menjadi senatak. Ada yang dahulunya disanjung dan dihormat alih-alih dibuang macam sampah, lalu berkira-kiralah dia membelot membentuk parti baru.

Mutakhir ini sang pencipta virus KKS merasakan Mustafa Kamil Ayub memiliki kredibiliti yang mampu menghakis pengaruhnya. Sudah hampir pasti, Mustafa bakal menjadi mangsa seterusnya.

Nasib baiklah intrik beliau terhadap MB Selangor tidak mendapat sokongan, jika tidak... Wallahulalam.... kucar kacir punah ranahlah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Selalunya pembelot akan menuduh orang lain sebagai pembelot.

Okay, dia boleh menggelarkan sesiapapun kuda trojan, tetapi siapa tahu rupa-rupanya dialah bapak segala trojan!



Berkaitan:

* Apakah PKR Perak Akan Berkecai?
* PKR Perak: Siapa Yang Sudah Nyanyuk?