SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

30 Jan 2011

PENJUAL SAYUR MENJATUHKAN PRESIDEN

Regim zalim Hosni Mubarah akan tumbang juga akhirnya

Oleh KALAM REVOLUSI

Melihat demonstrasi besar-besaran rakyat Mesir yang berazam kuat untuk menggulingkan Presiden Hosni Mubarak, saya yakin revolusi Jasmin yang mula tercetus di Tunisia akan berjaya melebarkan sayapnya di Kaherah. Regim yang menindas selama 30 tahun itu akan berakhir tidak lama lagi percayalah, sama-samalah kita berdoa agar saudara seagama dan mereka yang tertindas akan dapat mengusir elit pemerintah kuku besi dan autoritarian itu.
Apa yang berlaku kepada diktator Zine El Abidin Ben Ali akan berjangkit bukan ke negara-negara rantau Arab, malah mampu menggerakkan rakyat di negara-negara lain yang juga diperintah oleh pemimpin zalim.

Kita juga harus mengambil iktibar daripada situasi di Tunisia, Yemen dan Mesir itu agar perubahan yang positif dapat dimanfaatkan juga di negara ini. Malaysia juga amat perlukan perubahan segera. Negara kita mesti diselamatkan daripada kerakusan pemimpin zalim yang menghanguskan wang dan kekayaan rakyat.

Kalau isteri Ben Ali, Leila Trabelsi terkenal kerana ketamakannya dan pembeziran melampau, apa bezanya dengan pemimpin di negara kita. Oleh itu, sama-samalah kita fikirkan apa yang terbaik untuk Malaysia ini.

Semut menggulingkan gajah - blog family-marsis
Bahang iklim politik di Tunisia baru-baru ini kian membakar. Kes penggulingan kerajaan di Tunisia telahpun menjadi peristiwa pembuka tirai tahun baru 2011 apabila Kerajaan Tunisia digulingkan menerusi gelombang kebangkitan rakyat. Sememangnya peristiwa ini merupakan salah satu peristiwa revolusi yang berlaku kini. Seperti mana peristiwa penggulingan Ferdinand Marcos di Filipina, Juan Peron di Argentina, Jeneral Chun Doo Hwan di Korea Selatan dan juga Shah Reza Pahlevi di Iran, Zeine El Abidin Ben Ali juga turut digulingkan melalui gelombang kebangkitan rakyat.

Kisah pengulingan di Tunisia ini bermula seorang pemuda berusia 26 tahun yang berdagang sayur dan buah-buahan membakar dirinya apabila pihak polis bertindak ganas merampas barang dagangannya pada 17 Disember 2010. Peristiwa itu telah menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat di Tunis untuk keluar daripada cengkaman pemerintahan yang zalim dan mengamalkan korupsi. Nama Mohamed Bouazizi memang tidak dapat dilupakan oleh keluarga Ben Ali kerana telah menjatuhkan kerajaan yang diperintah oleh Ben Ali selama 23 tahun ini.

Gerakan yang bermula akibat daripada insiden pembakaran Mohamed Bouazizi ini telah menggerakkan satu gerakan demonstrasi besar-besaran. Demonstrasi ini bermula daripada daerah Sidi bouzid yang terletak kira-kira 265 Kilometer daripada ibukota Tunis. Golongan reformis pada mulanya mengkritik keadaan ekonomi dibawah pemerintahan Ben Ali agak teruk dan kadar pengangguran yang tinggi di Negara tersebut. Gerakan anti-kerajaan telahpun merebak ke beberapa daerah seperti merebaknya jangkitan virus pada komputer.

Pemerintahan yang zalim di bawah Zeine El Abidin Ben Ali dilakukan sejak mulanya rampasan kuasa terhadap Habib Bourquiba. Kudeta tidak berdarah itu menyaksikan Zeine El Abidin Ben Ali menjatuhkan Habib Bourquiba dengan alasan Habib Bourquiba mempunyai masalah kesihatan dan perlembagaan yang mengantinya sebagai presiden Tunisia yang kedua.

Pencabulan hak asasi oleh pemerintah merancakkan lagi peristiwa tunjuk perasaan ini. Kebebasan bersuara rakyat disekat apabila beberapa orang blogger ditahan akibat daripada menyebarkan risalah anti-pemerintah di internet. Laporan menyatakan bahawa lebih kurang enam orang blogger telah ditahan dan kemudiannya dibebaskan. Ada yang menyatakan bahawa rusuhan ini dirancakkan lagi oleh laman sosial seperti facebook dan twitter. Gambar polis yang melakukan penyalahgunaan kuasa disebar luas di laman facebook.

Pemerintahan yang mengamalkan korupsi ini telahpun menjatuhkan ekonomi di Negara pengeluar kurma terbesar dunia ini. Hal inilah yang menyebabkan kepada kejatuhan ekonomi Negara terbabit dan hasilnya mengakibatkan kepada kadar penganguran yang tinggi. Menurut laporan daripada Al Jazeera, kadar pengangguran yang berlaku di Tunisia ini melebihi 30 peratus. Dengan kuasa membeli yang berkurangan, ditekan lagi dengan harga barangan yang melonjak naik mengakibatkan kekecewaan rakyat. Kekecewaan inilah mencetuskan semangat ingin berubah oleh golongan penunjuk perasaan.

Laporan daripada wikileaks juga ada melaporkan bahawa keluarga Ben Ali pernah menerbangkan Yogurt dari St Tropez menggunakan pesawat peribadi beliau kerana ingin meraikan sebuah parti. Isterinya, Leila Ben Ali sering ke luar Negara terutamanya Dubai untuk membeli belah dan dicop sebagai Imelda Ali di negara Arab oleh rakyat Tunisia. Pembaziran yang dilakukan oleh keluarga Ben Ali ini membuatkan rakyat jijik dengan apa yang dilakukan oleh keluarga Ben Ali. Tidak hairan lah kalau ada yang menyatakan revolusi Jasmine/Melati ini sebagai revolusi wikileaks atau media sosial.

Presiden Zine El Abidine Ben Ali pada mulanya melarikan diri ke Perancis untuk bersama dengan anaknya yang kini menetap di hotel mewah di Disneyland tetapi kapal terbang yang membawa Presiden Ben Ali itu tidak dibenarkan mendarat di Perancis oleh Presiden Sarkozy. Kesannya, Presiden Ben Ali ke Jeddah, Arab Saudi. Kerana kerajaan Arab Saudi memberikan suaka politik kepada Presiden Ben Ali.

Sejarah terkadangnya bermula daripada perkara yang remeh-temeh. Penulis yakin bahawa Mohamed Bouazizi tidak pernah merancang revolusi bagi menjatuhkan presidennya sendiri. Dia mungkin mengiginkan kehidupan yang lebih baik untuk dirinya dan keluarga. Namun, apa yang beliau lakukan telahpun mengubah wajah orang disekelilingnya, corak pemerintahan negaranya dan sekali gus melakar sejarah dalam peristiwa revolusi dunia. Perbuatan yang kecil telahpun mengakibatkan impak yang besar. Mohamed Bouazizi bermula sebagai Mahasiswa menganggur dan menjual sayur bagi menyara hidupnya akhirnya dapat menumbangkan pemerintahan yang kejam dan zalim.