KUAH - Menara setinggi 135 meter di pekan Pandak Mayah bakal siap menjelang 2013.
Pelbagai reaksi diterima dari penggiat industri pelancongan dan pemimpin serta penduduk tempatan.
Pengerusi Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah, Pishol Ishak berkata, mercu tanda ini menjadi salah satu tarikan baru ke Langkawi.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membawa pembangunan mampan dalam membangunkan industri pelancongan di pulau ini.
“Langkawi mempunyai kereta kabel, litar go-kart, Pantai Kok yang dibanjiri kapal-kapal mewah, dan hotel bertaraf lima bintang selain program bertaraf dunia.
“Dengan terbinanya menara ini, pengusaha pelancongan turut digesa menambah satu lagi lokasi lawatan dalam pakej percutian dan menikmati sajian di restoran yang bakal dibina kelak,” katanya ketika ditemui wakil Sinar Harian.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas, Zubir Ahmad berkata, selain industri pelancongan, penduduk tempatan juga boleh mendapat peluang pekerjaan.
Menurutnya, pembangunan yang dilaksanakan memberi pelaburan terhadap Langkawi dan produk tempatan juga boleh dipasarkan dengan lebih banyak lagi.