SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA
20 Jan 2011
NELAYAN MAHU JETI BARU DIPERCEPATKAN PEMBINAANYA
Jumlah bot meningkat
KEDAWANG - Kira-kira 200 nelayan mendesak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempercepatkan projek pangkalan nelayan baru di Kuala Chenang.
Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Sungai Chenang, Asri Shaaban berkata, pembinaan pangkalan itu perlu dipercepatkan kerana sering kali berlaku kesesakan bot nelayan hampir setiap hari.
Menurutnya, jumlah bot kini semakin meningkat dari kira-kira 200 bot nelayan tertumpu ke kawasan pangkalan itu.
“Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke pangkalan ini Februari tahun lalu, hingga kini keadaannya masih sama.
“Ketika itu beliau berjanji meluluskan peruntukan sejumlah RM7 juta dan terdapat pertambahan RM2 juta lagi, namun hingga kini keadaan masih sama,” katanya.
Asri berkata, pihak KPSP memohon pihak berkaitan membina pangkalan nelayan lengkap dengan restoran dan kemudahan lain seperti yang dijanjikan dengan segera ketika lawatan Perdana Menteri lalu.
Menurutnya, keadaan pangkalan kini hanya berubah sedikit selepas LKIM menyiapkan pangkalan sedia ada bernilai RM470,000 yang dimohon ketika tahun 2007.
“Projek menaik taraf ini dipohon empat tahun lalu dan siap pada Disember lalu, jika projek bernilai jutaan ringgit seperti yang dijanjikan, tidak tahu bila akan siap.
“Pangkalan ini berupaya menggamit pelancong dan berpotensi besar, pada Februari nanti pertandingan sauk sotong akan dilakukan di sini,” katanya.
Beliau berkata, kini penduduk kampung giat menyiapkan sebuah restoran ikan bakar sebagai tarikan baru pengunjung.