SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

13 Mac 2008

11 MAC
Agenda Ekonomi Malaysia akan memacu pertumbuhan


Agenda ekonomi KeADILan telah jelas terbukti menerima mandat rakyat pada 8 Mac yang lalu, apabila rakyat Malaysia telah mengundi dan menambah empat kali ganda bilangan kerusi Parlimen yang dipegang parti pembangkang, justeru memberikan kami 50% kerusi Parlimen di Malaysia Barat. Selepas sedekad tadbirurus ekonomi yang lemah, inflasi yang tidak terkawal dalam beberapa tahun yang lepas, dan daya saing yang semakin merosot berbanding negara-negara jiran kita, kami yakin bahawa di bawah kepimpinan kami, bersama-sama berganding bahu dengan pasangan-pasangan kami, kami akan dapat melaksanakan dasar-dasar baru untuk menjamin ekonomi Malaysia yang jauh lebih kuat dan bertenaga tinggi.


Pakatan kami, dengan kuasa yang telah diberi di negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, akan melaksanakan dasar-dasar pasaran bebas yang mesra-perniagaan demi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan melahirkan ketelusan dan kepertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam urusan perniagaan.
Salah satu prioriti kami dalam minggu-minggu yang akan datang ini adalah untuk mula berdialog dengan para pelabur asing yang sudah bertempat di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Ini akan memastikan bahawa keyakinan para pelabur kekal kukuh dalam tempoh peralihan ini, di samping mengenalpasti masalah-masalah yang perlu ditangani kerajaan-kerajaan baru kami, dalam meningkatkan lagi prestasi operasi mereka di sini.
Dasar toleransi sifar kami terhadap rasuah akan dapat memberi kesan yang besar dari segi mengurangkan kos urus niaga dan membina keyakinan dalam perusahaan kecil dan sederhana. Kami juga merancang untuk menyekat kakitangan kerajaan daripada berurusniaga dengan kerajaan, seterusnya mengurangkan insentif untuk kronisme dan perjanjian dalaman yang begitu membelenggu kerajaan sekarang.

Agenda Ekonomi Malaysia, yang merupakan salah-satu titik-tolak janji pilihanraya KeADILan, akan dapat dilaksanakan di peringkat negeri demi mengurangkan impak dasar bertunjangkan kaum, seterusnya memperkenalkan sistem berdasarkan merit yang akan lebih berdaya-saing. Ini akan serta-merta meningkatkan pelaburan asing, menambahkan hasil percukaian negeri, seterusnya mengurangkan jurang pendapatan dan sosio-ekonomi. Kami juga akan menunaikan janji kami untuk melindungi mereka yang tersisih dari semua komuniti etnik di Malaysia.

Tahap kemenangan kami yang tidak terjangka sememangnya agak mengejutkan negara dan rantau ini. Penyesuaian jangka pendek di BSKL dan ringgit yang lebih lemah telah dijangka. Namun begitu, situasi tersebut tidak akan melarat kecuali jika Barisan Nasional memilih untuk cuba menghukum rakyat dengan menyekat dana pembangunan yang sepatutnya pergi ke negeri-negeri yang kini telah tumbang kepada pembangkang. Akan tetapi, kami memberi amaran kepada Barisan Nasional: tindakan sebegitu akan hanya memburukkan lagi kedudukan mereka dalam pandangan rakyat Malaysia.

ANWAR IBRAHIM