SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

16 Mac 2008

Ugut Mukhriz bukti Umno tidak demokratik

Abdul Halim Mohd Rashid Sun Mar 16, 08 5:21:41 am MYT

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Hrkh) - Tindakan Datuk Seri Abdullah Badawi mengarahkan Pemuda Umno yang turut dipimpin menantunya mengambil tindakan terhadap Datuk Mukhriz Mahathir adalah bukti bahawa Umno adalah parti yang sangat tidak demokratik. -->-->
"Arahan Abdullah itu adalah satu ugutan terhadap Mukhriz. Menuduh orang yang menyampaikan suara hati ahli-ahli Umno sebagai tidak bertanggungjawab adalah satu lagi bukti bahawa Umno adalah parti yang sangat tidak demokratik," katanya.

Kebengisan Abdullah terhadap anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga membuktikan Abdullah sedang diancam ketakutan akan hilang jawatannya, kata beliau lagi.
"Beliau bukan sahaja enggan mengkaji dan memuhasabahkan dirinya apabila Mukhriz menuntut beliau berundur, malah menuduh anak Dr Mahathir itu tidak bertaggungjawab dan mengarahkan Pemuda Umno mengambil tindakan pula," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sepatutnya, katanya, Abdullah menjadikan teguran anak kepada orang yang mengangkatnya sebagai Perdana Menteri itu sebagai cermin untuk "menyemak dirinya".
"Tetapi, Abdullah tetap berkeras untuk meneruskan keangkuhannya yang sudah sampai ke peringkat tidak mahu menerima teguran," katanya.

Mahfuz juga menyatakan sokongan, penghargaan serta rasa hormatnya kepada Mukhriz yang mengulangi keberanian bapanya.
"Dr Mahathir pernah menulis surat mendesak (Allahyarham) Tunku (Abdul Rahman Putra al-Haj) mengundur diri selepas kemerosotan sokongan kepada Perikatan dalam tahun 1969.
"Mukhriz bukan sahaja mengulangi sejarah yang bapanya, malah, jika beliau dipecat, beliau juga akan mengulangi sejarah bapanya yang dipecat dari Umno," kata beliau.
Abdullah menyifatkan tindakan Mukhriz meminta beliau berundur sebagai tidak bertanggungjawab dan mengarahkan Pemuda Umno mengambil tindakan.

Mematuhi arahan Abdullah, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan lantang mengugut akan mengambil tindakan terhadap Mukhriz sambil menyifatkannya sebagai satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Pemuda Umno Selangor pula menyifatkan tindakan Mukhriz sebagai perbuatan biadab manakala Umno Pulau Pinang meminta supaya Pemuda Umno memecat Mukhriz.
"Apakah jenis manusia ini, adakah ini pemimpin Pemuda yang bakal mewarisi pucuk pimpinan?" Setiausaha Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Azhar Ibrahim mempersoalkan Mukhriz.