SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT -505 KELANA JAYA

18 Mac 2008

Azizan Minta Semua JKKK Bekerja Seperti Biasa
- Laman M@RHAEN


ALOR STAR, 17 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak hari ini meminta semua anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta majlis kerajaan tempatan supaya bekerja seperti biasa dan terus memberi khidmat kepada rakyat.
Beliau berkata kerajaan negeri yang kini dipimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga kini tidak memecat sesiapapun dan mereka masih boleh terus berkhidmat sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.

"Kami dengar ada JKKK tidak mahu tandatangan borang murid sekolah dan sebagainya sedangkan mereka masih boleh berkhidmat. Jangan rasa takut kerana kami akan beritahu tempoh perkhidmatan mereka pada satu tarikh yang akan ditentukan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Polis Kedah Datuk Syed Ismail Syed Azizan di pejabatnya di sini.

Azizan berkata kerajaan tidak mahu membuat perubahan drastik sebaliknya akan dilakukan secara beransur-ansur.

Beliau berkata semua pegawai kerajaan juga diminta untuk meneruskan projek yang telah dirancang kerana kerajaan negeri tidak berhasrat untuk membatalkan mana-mana projek malah akan mempertingkatkan kemajuan negeri untuk kesejahteraan rakyat.
Mengenai kemungkinan kerajaan negeri akan menutup semua kedai perjudian, beliau berkata perkara itu akan dilaksana secara berperingkat.
--BERNAMA